|
Koleksi Rujukan
Koleksi rujukan menempatkan bahan-bahan rujukan dari pelbagai bidang. Koleksi rujukan mempunyai awalan ‘ruj’ dan hanya untuk rujukan di dalam Perpustakaan sahaja.
Jenis-jenis Bahan Rujukan
Abstrak - ringkasan kepada isi kandungan sesebuah karya.
Almanak - sebuah buku yang mengandungi maklumat seperti tarikh, kejadian astronomi, perayaan, cuti umum, statistik dan lain-lain. Almanak terdapat dalam bentuk almanak umum atau berkaitan dengan subjek tertentu.
Atlas - gabungan dari beberapa peta yang dikumpulkan dalam sebuah buku yang lazimnya berkaitan dengan sesuatu subjek. Mempunyai indeks di bahagian belakang untuk memudahkan pencarian sesuatu kawasan/tempat.
Bibliografi - senarai rujukan/terbitan dari pelbagai sumber seperti buku, jurnal, tesis dan sebagainya.
Biografi - buku yang menceritakan sejarah hidup seseorang yang ditulis oleh orang lain
Buku Panduan/ Handbook - buku rujukan yang mengandungi maklumat dalam sesuatu subjek, disusun secara sistematik untuk rujukan cepat.
Buku Tahunan / Yearbook - buku yang diterbitkan secara tahunan mengandungi maklumat semasa, sejarah, gambar, statistik dan lain-lain yang berkaitan dalam tahun yang berkenaan bagi sesebuah negara, institusi atau subjek.
Direktori - senarai nama orang, syarikat, institusi, persatuan atau lain-lain yang disusun mengikut abjad. Mengandungi alamat, nombor telefon, nombor faks dan lain-lain maklumat berkaitan yang disusun dalam format yang ringkas. Lazimnya diterbitkan secara berkala.
Ensiklopedia - buku atau beberapa jilid buku yang memberi maklumat dalam pelbagai bidang perkara atau perkara tertentu sahaja yang disusun secara berabjad.
Glosari - senarai atau daftar perkataan atau istilah dalam bidang tertentu yang diberikan penjelasan, penerangan atau huraian tentang maknanya. Sebuah glosari biasanya hanya mengandungi perkataan atau istilah dalam sesuatu bidang yang khusus yang disusun mengikut abjad.
Indeks - senarai berabjad nama orang, tempat, perkara yang terkandung di dalam sesebuah karya/bahan yang diterbitkan. Senarai ini memberi rujukan/penunjuk seperti nombor muka surat bagi setiap item di mana ia boleh dijumpai.
Kamus - buku yang memberi keterangan erti perkataan. Umumnya kamus terbahagi kepada dua iaitu kamus satu bahasa dan kamus dwi bahasa. Terdapat juga kamus khas dalam subjek tertentu. Perkataan dalam kamus disusun mengikut abjad.
Tesaurus - memberi perkataan seerti dan berlawanan untuk perkataan yang disenaraikan di dalamnya.
|