Karbohidrat & Polisakarida
Nama karbohidrat, yang bermakna "hidrat karbon", diterbitkan daripada formula glukosa C6H12O6 yang di sangkakan sebagai C6(H2O)6. Kini perkataan karbohidrat merujuk kepada siri sebatian aldehid dan keton terhidroksil (hydroxylated aldehydes and ketones) yang lebih dikenali dengan nama umum gula atau sakarida (daripada perkataan Arab saqar dengan makna yang sama).
Sakarida yang terbina daripada satu sahaja molekul aldehid atau keton dinamakan gula ringkas atau monosakarida. Glukosa dan manosa adalah monosakarida. Monosakarida boleh bergabung melalui ikatan asetal atau ikatan glikosida membentuk disakarida, trisakarida, tetrasakarida, malah polisakarida. Oligosakarida terbina daripada beberapa unit sakarida, berbanding dengan polisakarida yang terbina daripada ribuan unit sakarida yang sama atau yang berbeza.
Sakarida yang berkumpulan aldehid digolongkan sebagai aldosa, manakala yang berkumpulan ketos digolongkan sebagai ketosa. Penamaan lengkap juga mengambil kira bilangan atom karbon di dalam monosakarida berkenaan. Jadi, glukosa dinamakan juga sebagai aldoheksosa dan fruktosa sebagai ketoheksosa; kedua-dua monosakarida ini mengandungi enam atom karbon. Ribosa adalah aldopentosa kerana ia mempunyai lima atom karbon.
Disebabkan sakarida mempunyai kumpulan hidroksil –OH dan karbonil >C=O pada molekul yang sama, tindak balas penambahan intramolekul berlaku, membentuk hemiasetal siklik, sehingga keseimbangan di antara rantai linear dengan bentuk siklik terbentuk. Bergantung kepada sama ada aldosa atau ketosa, gelang 6-ahli (gelang piranosa) atau gelang 5-ahli (gelang furanosa) akan terbentuk.
Dalam keseimbangan rantai-gelang, ikatan O-C yang selalu terbuka dan tertutup. Dengan demikian, singkapan struktur furanosa atau piranosa karbohidrat berkenaan akan memberikan ia sama ada jenis aldosa atau ketosa.
Pembezaan di antara aldosa dengan ketosa adalah penting kerana aldosa terentan terhadap tindak balas penurunan, manakala ketosa tidak terjejas oleh reagen yang mengoksidakan aldosa.