Oleh Norafandi Muhamad Zazli Pelajar Latihan Industeri UKM
BANGI, 4 April 2012- Gugusan Pentadbiran yang berjaya merangkul 10 pingat emas, 8 perak dan 4 gangsa telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan Staf UKM 2012 yang berakhir di sini hari ini. Ia membawa pulang Piala Pusingan dan wang tunai RM1000.
Gugusan Perubatan mendapat tempat kedua dengan Gugusan Ikhtisas di tempat ketiga dan Gugusan Sains tempat keempat. Tempat kedua menerima wang tunai RM750 manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang wang tunai RM500 dan RM250.
Kejohanan telah bermula dari 22 Mac dengan mempertandingkan 24 jenis sukan yang disertai oleh tujuh pasukan terdiri dari Gugusan-gugusan Perubatan, Pentadbiran, Perkhidmatan, Sastera, Kampus Kuala Lumpur, Sains dan Gugusan Iktisas.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah hari ini diserikan dengan pertandingan akhir bola sepak dan tarik tali dengan Gugusan Perubatan memenangi bola sepak dan Gugusan Sains memenangi acara tarik tali.
Pro Canselor UKM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang telah menyampaikan hadiah kepada pemenang di majlis penutupnya itu berharap pertandingan sukan itu telah memberi peluang kepada warga universiti untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara mereka.
Kejohanan itu juga adalah suatu usaha persediaan warga UKM menghadapi Kejohanan Sukan Antara Staf Universiti-universiti di Malaysia yang akan berlansung awal bulan Julai nanti.
Sementara itu Gugusan Perkhidmatan telah menjuarai acara perbarisan dengan Gugusan Kampus Kuala Lumpur di tempat kedua dan Gugusan Pentadbiran tempat ketiga.
Hadir di upacara penyampaian hadiah termasuk Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali serta pegawai-pegawai kanan UKM.






![]()