Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 3 April 2012 – Pantun menggambarkan kecantikan Bahasa Melayu dan budi bahasa orang Melayu dan Gurindam juga adalah satu lagi peribahasa Melayu yang masih diminati ramai.
Demikian rumusan dua orang ahli simpulan bahasa Melayu dalam suatu wacana di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) “sehari bersama pemantun” di sini hari ini.
Penyiar veteran radio, Chuari Selamat yang pernah bertugas sebagai penyiar RTM selama 38 tahun dan telah menganjur banyak pertandingan berpantun serta penulis gurindam terkenal Mohd Sidek Adeki Mohd Dollah atau nama penanya Mas Adeki memberikan pandangan mereka itu sebagai ahli panel wacana tersebut.
Chuari telah menulis lebih 500 lirik lagu dan terkenal dengan bakatnya dalam berpantun secara spontan manakala Mas Adeki telah menulis sebuah Antologi Gurindam berdasarkan pengajaran dari perjalanan hidupnya.
Chuari yang telah banyak menganjur pertandingan berpantun berkata orang yang boleh mereka pantun mengenai isu-isu semasa lebih mendapat perhatian juri daripada mereka yang berpantun dalam tema lama.
Beliau berkata tanggapan bahawa pantun sudah tidak mendapat sambutan perlu diperhalusi kerana beliau sendiri menerima banyak jemputan untuk menjadi pengacara kerana kebolehannya berpantun.
Mas Adeki pula beberapa waktu lalu terkilan kerana tidak ada siapa yang sanggup menerbit antologi gurindam yang ditulisnya kerana mereka ragu-ragu terhadap pasarannya.
Beliau kemudiannya telah menerbitkan bukunya itu sendiri dan hingga kini telah berjaya menjual lebih dari 10,000 naskah. Ini jelas menunjukkan bahawa ia sememangnya mempunyai pasaran, tambahnya. Malah hingga sekarang pun beliau masih menerima permintaan untuk mendapatkan buku itu.
Mas Adeki juga menggunakan gurindam dalam latihan motivasi yang diberikan kepada pelajar dan guru. Nasihat akan lebih berkesan bila diberikan dengan cara yang menghiburkan melalui gurindam, katanya,
Hadir di wacana tersebut adalah Pengarah ATMA, Prof Dr Abdul Latif Hj Samian; Timbalan Pengarah ATMA, Prof Dr Teo Kok Seong; Felo Utama ATMA, Ding Choo Ming, pelajar dan pensyarah.