Oleh Saifulbahri Kamaruddin
BANGI, 9 April 2012 - Penilaian semula sistem pendidikan kebangsaan untuk meningkatkan kebolehan negara bersaing diperingkat antarabangsa akan memperolehi pandangan meluas dari berbagai golongan.
Suatu sesi dialog maklumbalas dan sumbang saran telah dimulakan di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia di sini semalam dengan kumpulan kepimpinan Kementerian Pelajaran dari seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran yang hadir di sesi itu berkata peluang meluas akan disediakan untuk mendapat maklum balas itu dari semua golongan rakyat.
Untuk itu beliau semalam telah melancarkan suatu laman web khas DNPN (Dialog Nasional Pendidikan Negara) untuk menerima maklumbalas selain menerima pendaftaran untuk beberapa siri dialog lain dengan semua pihak baik yang bersangkutan dengan pelajaran mahu pun pihak luar yang akan diadakan diseluruh negara dalam tempoh beberapa bulan ini.
Sesi dialog dengan pihak bersangkutan pelajaran akan disusuli pula oleh sesi dengan pihak lain yang membabitkan agensi lain dan badan bukan kerajaan. Muhyiddin mengalu-alukan pendapat cendiakawan mahu pun dari individu.
Semua pandangan itu akan di ambil kira dalam menyediakan laporan lengkap pelan induk berkaitan penilaian itu yang akan dirujuk kepada suatu panel dalaman dan panel pakar antarabangsa sebelum diumumkan bulan Oktober nanti.
Panel penilai bebas sistem pendidikan kebangsaan dalaman itu yang dipengurusikan oleh mantan Naib Canselor Universiti Pulau Pinang, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak yang juga termasuk Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin ditambah dengan lima ahli lagi terdiri dari Professor Tan Sri Kamal Hassan, Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah, Professor Datuk Chuah Hean Teik, Professor Madya N. Rajendran dan Dr Abdul Karim Rosline .
Panel antarabangsa itu pula terdiri dari pakar-pakar pendidikan dari Korea Selatan, Singapura, Canada dan OECD Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan Eropah.
Tan Sri Muyiddin melahirkan harapan bahawa laporan lengkap itu dapat mengsyurkan kaedah kaji semula sistem pendidikan, termasuk merangsangkan ciri pelbagai bahasa di kalangan murid sekolah.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan saranan yang dianggap sesuai boleh dilaksanakan sebelum laporan lengkap itu dapat disiapkan.