UKM mula tawarkan program pascasiswazah secara jarakjauh

Isnin, 20 September 2010 15:25
Cetak PDF

Oleh Shahfizal Musa

BANGI,  20 September – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mulai tahun ini telah meluaskan program pengajian separuh masa dan jarak jauhnya untuk eksekutif dan pekerja hingga ke peringkat pascasiswazah termasuk untuk ijazah PhD dalam pengajian Islam, Pendidikan dan Ekonomi.

Pada permulaannya seramai lebih 100 orang pelajar telah diambil untuk mengikuti program itu, kata Timbalan Naib Canselor  (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Dato’ Hassan Basri ketika mewakili Naib Canselor Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin di Majlis Ikrar pelajar baru program Pusat Kembangan Pelajar (PKP) sesi 2010 -2011 pada hari Sabtu 18 September.

Seramai 914 orang pelajar baru program separuh masa dan jarak jauh itu dari seluruh negara telah mengambil bahagian dalam upacara hari ini.

Program pembelajaran secara alternatif ini dirangka untuk memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk meningkatkan kelayakan mereka.

UKM sebagai sebuah Universiti Penyelidikan bertangungjawab untuk memastikan peluang untuk meningkatkan kelulusan dibuka seluas mungkin termasuk kepada mereka yang sedang bekerja, kata Prof Hassan.

Dengan adanya program pembelajaran alternatif  ini mereka yang terikat dengan komitmen kerjaya, keluarga dan sebagainya dapat meneruskan pengajian keperingkat yang lebih tinggi tanpa perlu meninggalkan komitmen mereka.

Selari dengan konsep 1 Malaysia program pembelajaran eksekutif dan program pengajian berterusan secara jarak jauh ini ditawarkan kepada semua tanpa mengira kaum , bangsa dan agama.

“Program pendidikan yang disediakan memastikan para pelajarnya terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia untuk memperolehi pendidikan dan pengetahuan bermutu tinggi secara sama rata,” kata Prof Hasan Basri.

Setakat ini seramai 3,970 pelajar sedang mengikuti pengajian program separa masa dan jarak jauh anjuran UKM .

Berita Kampus

Arkib Berita