Oleh Nurmayamin Sulaiman, Pelajar Latihan Industri UKM BANGI, 13 Jan. 2011- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meningkatkan kemudahan untuk pelajar antarabangsa dengan usul menjadikan Kolej Antarabangsa Ibu Zain sebagai Pusat Pelajar Antarabangsa (ISC) iaitu pusat sehenti khas pelajar luar negara.
Foto oleh Salima Leman
Sempena itu juga sebuah laman web khusus untuk pelajar luar negara dilancarkan semalam oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal-ehwal Antarabangsa) Prof. Dato’ Dr Ir Hasan Basri di Pusanika dalam kampus UKM di sini.
Usul itu akan dibawa kepada mesyuarat Lembaga Pengurusan Universiti dan dijangka diluluskan tidak lama lagi.
Beliau berkata usaha itu adalah selaras dengan pelan transformasi UKM untuk menambah pengambilan pelajar antarabangsa dan pada masa sama menambahbaik sistem pengurusan pelajar luar.
UKM, katanya, sedar selain soal visa, isu membawa bersama keluarga terutama bagi pelajar pasca-siswazah adalah perkara yang perlu dihuraikan demi kesejahteraan mereka.
Laman Web ISC itu diisi pelbagai maklumat yang diperlukan oleh bakal pelajar antarabangsa serta mereka yang sudah menjadi pelajar UKM.
Prof Hasan berkata laman web merupakan tempat pertama dilawati secara talian oleh bakal pelajar yang memilih UKM untuk melanjutkan pengajian mereka.
Maka itu anggapan atau persepsi awal para pelajar menjadi penentu untuk mereka memilih UKM. Lantas kandungan laman web itu telah dibangunkan berdasarkan piawaian serta aras tanda perkara yang diperlukan oleh pelajar melalui alam maya, tambah beliau.
Prof Hasan berkata pengantarabangsaan dan pelajar antarabangsa adalah satu unsur yang menjadi Projek Perkara Kritikal dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara. Sebab itulah usaha menambah pengambilan pelajar antarabangsa amat dititikberatkan oleh UKM.
“Dalam merealisasikan agenda ini, seorang Timbalan Pengarah (Hal-Ehwal Pelajar Antarabangsa), telah dilantik pada April 2009. Selain itu juga, Kolej Ibu Zain telah dinaik taraf sebagai Kolej Antarabangsa Ibu Zain juga pada 2009.
“Langkah menyedia dan membangunkan ISC maya pula dibuat berikutan satu projek penyelidikan untuk menyediakan perkhidmatan bagi pelajar antarabangsa seperti penempatan awal dan tetap, perumahan, suai kenal, kaunseling dan kegiatan berpersatuan melalui Jabatan Pembangunan Pelajar,” katanya.
Prof Hasan berkata semua langkah itu adalah sejajar dengan matlamat menjayakan aspirasi UKM dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mencapai satu tahap pengantarabangsaan pengajian tinggi yang boleh dibanggakan.
“Ia juga diharap dapat memacu Malaysia menjadi hub pengajian tinggi serantau dan di peringkat global yang disegani,” tegasnya.
Beliau berkata penggunaan alam maya amat perlu dan amat berkesan dalam menyampaikan citra UKM kepada bakal pelajar antarabangsa kerana ia boleh mempercepatkan lagi pencapaian hasrat itu.
Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa UKM, Prof. Madya Dr. Imran Ho Abdullah berharap ISC akan dapat dijadikan wadah kunjungan wajib pelajar antarabangsa apabila mereka mencari tempat untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.![]()
