Forum Serantau Membara Tanggungjawab & Kerja Sosial UKM

Jumaat, 22 April 2011 00:00
Cetak PDF

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Saliman Leman


BANGI, 21 April 2011 – Satu forum serantau mengenai tanggungjawab sosial universiti dan kelestariannya bulan depan dijangka akan menyemarakkan lagi kegiatan sosial dan komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


“Forum itu adalah suatu landasan bagi pakar bidang bantuan dan kerja amal sosial, para sarjana dan akademik untuk bertukar pengalaman dan amalan terbaik dalam usaha melaksanakan tanggungjawab sosial sesebuah universiti dan kelestariannya,” kata Timbalan Naib Canselor (Hal Elwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Saran Kaur Gill di sini hari ini. .


Beliau berkata pihak universiti kini semakin menyedari pentingnya  tanggungjawab sosial dan kerja amal komuniti yang mereka lakukan tetapi terdapat kelemahan dalam usaha meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang itu. Ini boleh menjejas kelestariannya walaupun para pensyarah dan pelajar terlibat dalam kerja amal komuniti.


Oleh sebab itu, Forum Serantau Jaringan Universiti ASEAN yang ke-2 mengenai Tanggungjawab Sosial dan Kelestarian yang dianjurkan UKM pada 9 – 11 Mei 2011 depan bertujuan, antara lain, menghasilkan pelan tindakan yang kukuh untuk memajukan aplikasi  tanggungjawab sosial universiti dan kelestariannya yang merangkumi penyelidikan, pendidikan dan perkhidmatan di ASEAN and di luar rantau itu.


Forum itu adalah lanjutan daripada yang pertama yang telah berlangsung di Burapha University, Negri Thai, tahun lepas. Ia disokong oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Asia-Talloires Network of Engaged Universities (ATNEU), sebuah jaringan universiti yang dianggotai UKM.


UKM  menjadi urus setia ATNEU bagi rantau Asia manakala Talloires ialah satu jaringan antarabangsa merangkumi universiti dan institusi yang dapat memberikan perhatian penuh kepada usaha mengukuhkan peranan dan tanggungjawab sivik institusi pengajian tinggi.


Prof Saran berkata pihak universiti perlu mengetahui apa yang dikehendaki masyarakat dan apa yang masyarakat itu boleh pula memberikan pengajaran kepada mereka.


Proses pembelajaran dua hala antara universiti dan masyarakat itu akan membantu sesebuah universiti memberikan sumbangan yang lebih “hidup” menerusi input daripada sesuatu komuniti yang terlibat.


“Jaringan itu tentu lebih memanfaatkan kita kerana ia akan memperkayakan korikulm dan ko-korikulum kita serta program kesukarelawan belia kita,” katanya.


Pejabat beliau sedang mengaturkan forum itu yang akan dihadiri oleh seramai 100 orang pakar, akademik dan pemimpin yang komited dan terlibat dalam soal tanggungjawab sosial daripada industri, agensi kerajaan, dewan perniagaan, yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Antara peserta terkemuka ke forum itu ialah Robert G. Bringle, Chancellor’s Professor dari Indiana University-Purdue University Amerika Syarikat; Sherine El Traboulsi dari Ma’an Alliance of Arab Universities for Civic Engagement dan ahli cawangan Talloires Network; Prof Madya Dr Nantana Gajaseni, Pengarah Eksekutif Jaringan Universiti ASEAN.


Turut hadir ialah Prof Dr P.N. Avadhani, Duta Pertubuhan Pencinta Alam Malaysia; Francesco Volpini, Pengarah Jawatankuasa Penyelaras International Voluntary Service dan Rob Van Leeuwan, Pegawai Projek Jabatan People-to-People Exchange, Yayasan  Asia-Europa.


Prof Saran berkata forum itu mengandungi tiga sesi perbincangan panel mengenai kebaikan dan pengalaman industri dan NGO dalam memandukan tanggungjawab sosial universiti di Asia, mekanisme untuk menambah baik kerja amal untuk masyarakat di rantau ASEAN dan Asia, dan berkongsi amalan terbaik menerusi kajian kes di ASEAN dan di luar rantau itu.


Prof Dato’ Dr Kamaruzzaman Sopian, Pengarah Institut Kajian Tenaga Suria UKM yang sedang menjalankan satu projek tenaga suria di Kampuchea akan berkongsi pengalamannya di satu sesi perbincangan panel itu. 

Berita Kampus

Arkib Berita