Oleh Aini Raudhah Roslam Pelajar Latihan Industri UKM
Foto oleh Izani Syafiq Samsudin
BANGI, 5 Mei, 2011 – UKM Technology Sdn Bhd (UKM Tech) sebuah anak syarikat milik penuh Universiti Kebangsaan Malaysia akan bekerjasama dengan Syarikat Nanopac (M) Sdn Bhd (Nanopac) untuk mengeluarkan produk berteknologi nano untuk pasaran.
Satu MOU (Memorandum Persefahaman) antara kedua syarikat itu telah di tandatangani di sini semalam untuk menjalinkan kerjasama memperkasa, mempromosi dan membangunkan penyelidikan selain mengeluarkan produk untuk lima tahun bermula dari tarikh perjanjian itu.
MOU itu ditandatangani oleh Encik Ikmaluddin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif UKM Tech dan Ketua Pegawai Eksekutif Nanopac, Dato Dr. Cheng Kok Leong di pejabat UKM Tech di aras 3 Bangunan Wawasan UKM.
Nanopac yang ditubuhkan pada 2003 adalah sebuah syarikat yang menjalankan R&D, pembuatan dan pengedaran produk berteknologi nano manakala UKM Tech yang ditubuhkan pada 2009 berfungsi membawa hasil kajian dan penyelidikan UKM ke peringkat global.
Dengan termeterainya MoU itu kedua-dua syarikat akan menjalin kerjasama dalam berbagai usaha termasuk penjenamaan produk, meningkatkan jaringan semua produk mereka yang sedia ada dan produk-produk baru yang bakal dihasilkan, pembangunan produk, kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan khidmat luaran produk.
Kedua-dua syarikat itu dijangka akan menjalinkan lebih banyak kerjasama untuk menjana kekayaan serta meningkatkan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan mutu kehidupan rakyat dan masyarakat dunia.
Upacara itu disaksikan oleh Prof Dr Rahmah Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), pengurusan UKM serta pegawai kanan kedua syarikat itu. ![]()