Dua Kereta Binaan Pelajar UKM Menyertai Shell Eco Marathon

Isnin, 11 Julai 2011 19:10
Cetak PDF

Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Saliman Leman


BANGI, 11 July 2011- Dua pasukan UKM dengan dua buah kereta binaan mereka masing-masing adalah diantara 121 pasukan dari 13 negara Asia yang mengambil bahagian dalam Shell Eco Marathon selama empat hari di litar Sepang yang berakhir Sabtu lepas.


Sebuah ialah kereta yang menggunakan hidrogen sebagai tenaga diberi nama KencanaGen2 manakala sebuah lagi menggunakan tenaga suria diberi nama Tuah.


Kumpulan KencanaGen2 terdiri dari 30 orang pelajar dengan Dr. Eddy Herianto Abdul Majlan Felo Penyelidik di Institut Sel Fuel sebagai penasihat, manakala Tuah diusahakan 13 orang anggota dengan Timbalan Ketua Pusat Kajian Automotif,  Wan Mohd Faizal Wan Mahmood sebagai penasihat.


Ketua pasukan KencanaGen2, Marvin Madang Gau seorang pelajar Kejuruteraan Kimia berkata penyertaan mereka telah membolehkan mereka menimba pengalaman yang lebih bererti dari kemenangan. 


“Pertandingan ini telah mengajar kami bekerja sebagai satu pasukan walaupun dari berbagai bidang hingga dapat menentukan kereta itu berjaya sampai ke garisan penamat,” tambah beliau.


Mereka terdiri dari tiga bidang pengajian iaitu kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan kimia dan kejuruteraan elektrik yang telah bergabung tenaga untuk menghasilkan sebuah kereta yang menggunakan hidrogen dan oksigen sebagai bahan bakar.


Sebuah lagi kereta UKM yang dinamakan UKM3 atau tidak rasminya Tuah ialah kereta yang digerakkan dengan tenaga suria. Pasukan itu terdiri dari 13 orang anggota dengan Timbalan Ketua Pusat Kajian Automotif  Wan Mohd Faizal Wan Mahmood sebagai penasihat.


Seorang anggota pasukan kereta solar, Mohd Hafiezuddien bin Burhanuddin berkata pertandingan itu telah memberi mereka kesedaran  mengenai penjimatan bahan bakar.


Kesemua  ahli bertungkus-lumus untuk memastikan mereka dapat tiba pada garisan penamat. Ia bukan suatu perkara yang mudah kerana kebanyakan peserta gagal sampai ke garisan penamat buat percubaan yang pertama.


Objektif pertandingan tersebut adalah untuk menggalakkan para belia untuk menghasilkan kenderaan yang jimat tenaga. Kenderaan yang menggunakan tenaga yang paling minimum untuk mengelilingi litar lumba sebanyak empat kali diisytiharkan sebagai pemenang.


Keunikan pertandingan ini, peserta tidak dihadkan kepada satu jenis bahan bakar sahaja tetapi boleh saja menggunakan tenaga suria, hidrogen, petrol, diesel dan lektrik.


Thailand meraih tiga daripada anugerah di atas trek manakala Malaysia telah menangi kategori kenderaan elektrik melalui kereta dihasilkan oleh pasukan dari Universiti Teknologi Malaysia.

Berita Kampus

Arkib Berita