UKM Sumbang RM26,300 Kepada Rumah Anak Yatim At-Taqwa

Khamis, 14 Julai 2011 16:11
Cetak PDF

Oleh Radzuan Ghazali

Foto oleh Mohd Hairul Azmi Jahid

HULU LANGAT, 13 Julai, 2011 - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menyampaikan sumbangan sejumlah RM26,300 termasuk RM5,000 wang zakat kepada Rumah Anak Yayim At-Taqwa yang ditimpa kemalangan mengerikan Mei lalu.

Sumbangan itu telah diserahkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr Saran Kaur Gill kepada Yang Dipertua Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia, Dr Idris Musa di rumah penempatan sementara anak-anak itu di Pusat Latihan Yadim (Yayasan Dakwah Islamiah) di sini.

Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan daripada warga universiti yang prihatin bagi meringankan beban yang ditanggung oleh anak-anak yatim itu supaya dapat meneruskan kehidupan seharian mereka.

Profesor Dr Saran Kaur melahirkan rasa simpati warga UKM di atas peristiwa pada 21 Mei lalu itu dan beliau yakin pengurusan rumah anak yatim tetap cekal dan tabah serta dapat berdikari teguh membina hidup seharian selepas tragedi itu.

Beliau berharap bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat meneruskan usaha murni rumah itu untuk terus memberikan perlindungan dan didikan kepada anak-anak jagaannya.

"UKM sanggup memberikan bantuan kepakaran dan tenaga manusia kepada rumah anak yatim menerusi Pejabat Hubungan Universiti-Masyarakat dalam sebarang aktiviti yang dijalankan kerana adalah wajar bagi kami memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan”.

Beliau berkata pihak rumah anak yatim boleh menghubungi pejabatnya bila-bila masa untuk memohon bantuan untuk apa-apa program yang diperlukan.

Dr Idris berkata, Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia bercadang mengumpul dana untuk membina semula Madarasah At-Takwa untuk keselesaan penghuninya yang datang dari pelbagai latar belakang kebajikan keluarga.

Pengarah Pejabat Yayasan Canselor, Profesor Madya Syed Mohd Ghazali Wafa, Pengurus Pejabat Hubungan Universiti-Masyarakat, Prabha Sundram dan wakil-wakil fakulti UKM turut hadir di upacara itu.

 


 

Berita Kampus

Arkib Berita