Laureate-in-Residence UKM Anggap Perlantikannya itu Suatu Keistimewaan

Jumaat, 15 Julai 2011 21:58
Cetak PDF

Oleh S. Sivaselvam

Foto oleh Saliman Leman

BANGI, 15 Julai 2011 – Pemenang Hadiah Nobel, Prof Dr Muhammad Yunus menyifatkan keputusan UKM menamakannya sebagai Laureate-in-Residence sesuatu yang amat istimewa baginya kerana ia adalah kali pertamanya beliau menerima tugas seumpama itu. 

Bercakap dalam syarahan sulung beliau di kampus UKM di sini hari ini, beliau berkata wujud satu perasaan istimewa juga untuk menjadi sebahagian daripada fakulti UKM dan beliau amat gembira mampu datang untuk mengajar di sini.

Malaysia juga istimewa baginya kerana ia adalah negara pertama di luar Bangladesh yang menerapkan skim pembiayaan mikro beliau dan masih menganggotai lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia, sebuah projek diilhamkan Grameen Bank.

Sebagai Laureate-in-Residence, Prof Muhammad Yunus akan menghabiskan masa sebulan dalam lingkungan setahun, untuk antara lain membantu membangunkan projek penyelidikan ikonik untuk UKM. 

Pemenang Hadiah Nobel itu turut menggesa generasi muda Malaysia menggunakan teknologi dan tenaga mereka sendiri untuk menyelesaikan masalah rakyat. 

“Sebagai manusia, kita memiliki lebih banyak kreativiti berbanding semua masalah yang kita hadapi,” katanya di hadapan kira-kira 2,000 pelajar universiti, pelajar dari Program Permatapintar UKM, pelajar beberapa sekolah menengah di Lembah Klang, ahli akademik dan orang ramai di Dewan Tun Abdul Razak di sini hari ini. 

“Isunya adalah bagaimana kita perlu memberi tumpuan hanya kepada usaha mengatasi masalah-masalah itu tanpa dipengaruhi perkara lain.” 

Beliau berkata generasi dewasa waktu ini lebih tertumpu pada usaha mengumpul harta bagi diri sendiri memandangkan mereka tidak memperolehinya ketika muda tetapi generasi muda sekarang berasal daripada keluarga lebih berada dan oleh itu lebih gemar melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh memberi kebajikan kepada masyarakat dan tidak lagi kepada usaha mengejar kemewahan. 

Prof Muhammad Yunus menyeru kalangan muda menyoalkan diri sendiri apakah potensi mereka terbatas dan oleh kerana itu apakah yang boleh mereka lakukan? 

Berucap atas tajuk “Perniagaan Sosial: Satu cara menghuraikan masalah paling mendesak masyarakat”, beliau menasihatkan generasi muda tampil dengan idea-idea bagaimana hendak menyelesaikan masalah rakyat secara menjalankan bisnes untuk kepentingan sosial. 

Sebagai contoh, katanya, di Itali perniagaan untuk kepentingan sosial sedang membantu usaha untuk menghapuskan ketagihan dadah dan menerangkan bahawa terdapat banyak peluang demikian yang wujud dalam bidang seperti persekitaran dan kesihatan.

Bisnes sosial digerakkan oleh matlamat, di mana pelabur/pemilik berusaha mencapai satu atau lebih objektif sosial melalui pengendalian syarikat berkenaan, tanpa mementingkan keuntungan peribadi. 

Syarikat seumpama itu mesti mampu membiayai semua perbelanjaan dan mendapat keuntungan tetapi pada masa sama mencapai matlamat sosial, seperti penjagaan kesihatan untuk golongan miskin, perumahan untuk orang miskin, perkhidmatan kewangan untuk si miskin, khasiat pemakanan untuk kanak-kanak kurang zat, menyediakan air minuman dan memperkenalkan tenaga keterbaharuan dalam cara bisnes.

Prof Muhammad Yunus telah merintis pembiayaan mikro untuk orang miskin pada 1976, dan dalam proses itu mewujudkan Grameen Bank, yang aktivitinya beliau kemudian arahkan bagi melahirkan bisnes yang memberi tumpuan kepada cara menyelesaikan masalah sosial, seperti menyediakan akses kepada tenaga suria untuk masyarakat luar bandar dan membiayai pengemis untuk menjadi jurujual pintu ke pintu di samping menjual mainan dan makanan. 

Beliau menjangkakan program pengemis itu hanya akan menarik beberapa ribu pengemis sahaja tetapi lebih 100,000 telah mendaftar mengikuti program itu yang menyediakan pinjaman kecil tanpa cagaran. Mereka telah dapat membayar balik hutang untuk mendapatkan hutang yang lebih. Berikutan itu kini kira-kira 22,000 dari mereka tidak lagi hidup mengemis. 

“Adalah menakjubkan bagaimana hanya pinjaman sebanyak AS$15 telah berjaya mengubah penghidupan seseorang,” tegas beliau. 

Memandangkan beliau tidak memiliki sebarang saham dalam Grameen Bank atau di mana-mana daripada 30 anak syarikatnya, Prof Muhammad Yunus berkata beliau sering ditanya kenapa beliau tidak mahu membuat duit daripada bisnes itu hingga ada yang ragu-ragu dengan pendiriannya suka melihat orang miskin mengatasi kehidupan daif mereka. 

Beliau menyalahkan sikap lumrah manusia mahu mengumpul sebanyak wang, iaitu sesiapa menceburi perbniagaan mesti bermatlamat membuat duit untuk diri sendiri, kepada teori mementingkan kemewahan diri sendiri saja. 

Beliau kini sedar bahawa beliau sebenarnya melaksanakan satu teori bertentangan daripada yang mementingkan diri sendiri, di mana keuntungan diukur bukan dari segi kewangan sahaja tetapi dari faedah yang di terima rakyat. 

Prof Muhammad Yunus berkata bahawa manusia mempunyai pelbagai dimensi, bukan hanya satu seperti diandaikan oleh teori ahli ekonomi. Oleh itu, seseorang boleh mementingkan diri sendiri dan pada masa yang sama bersikap mahu pula membantu orang lain. 

Beliau yang telah berkongsi Hadiah Keamanan Nobel dengan Grameen Bank pada 2006 menggesa generasi muda agar memberi tumpuan kepada membina bisnes yang tidak mementingkan diri sendiri untuk membolehkan bisnes sosial berkembang maju. 

Beliau menceritakan bagaimana Grameen Bank berpadu dengan Kumpulan Danone untuk membuat tapai susu dengan bahan khasiat mikro untuk menurunkan kadar kekurangan khasiat makanan di kalangan kanak-kanak di Bangladesh. Tapai susu itu dihasilkan dengan penggunaan tenaga suria dan biogas dan dihidangkan dalam bungkusan mesra alam. 

Dalam satu lagi usaha niaga, Grameen dan Veolia Water menyatukan kemahiran mereka untuk menghasilkan air bersih dan selamat kepada penduduk kampung di daerah paling miskin di Bangladesh, di mana oleh kerana keadaan geologi bumi, hampir semua air bawah tanahnya mengandungi arsenik, sering pada tahap yang boleh membahayakan. 

Apabila Adidas meminta beliau cipta satu cogan kata yang boleh mempromosi syarikat itu di peringkat global, beliau mencadangkan, “Tidak ada seorang pun di dunia yang tidak memakai kasut,” dan mencabar mereka membuat kasut yang tidak melebihi satu euro sepasang. 

Mereka menolak cabaran itu, tetapi akhirnya mengeluarkan produk yang berharga kurang daripada satu euro.

Beliau menceritakan ini sebagai satu lagi contoh yang seharusnya merangsang generasi muda untuk meluaskan daya pemikiran mereka. 

Diterjemahkan oleh Abdul Ghani Nasir


 

Berita Kampus

Arkib Berita