Oleh Abdul Ghani Nasir
BANGI, 21 Julai, 2011 – Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) serta Fakulti Perubatan (FP) telah mengharumkan nama baik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila menerima Anugerah Terbaik Juri dalam dua kategori di Sidang Puncak Pendidikan Sedunia (WES2011) yang berlangsung di New Delhi, India minggu lalu.
FKAB menerima anugerah dalam kategori Institut Pendidikan Tinggi kerana menyediakan Pendedahan Pelajar Global melalui projek ijazah berganda UKM-University Duisburg-Essen, Jerman menerusi Kolaborasi Akademik Antarabangsa.
Anugerah diterima oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Prof Dr Mohd Marzuki Mustafa dan Penyelaras Pejabat Antarabangsa UKM di UDE, Prof Dr Andanastuti Muchtar. Turut serta Prof Dr Hafizah Hussain, seorang pensyarah fakulti itu.
Fakulti Perubatan pula menerima Anugerah Terbaik Juri untuk Inovasi dalam Pendidikan Vokasional dan Latihan Kemahiran bagi projek Modul Peribadi dan Profesional dalam Kurikulum Bersepadu Program Perubatan.
Turut menerima Anugerah Terbaik Juri untuk Inovasi dalam Keperluan Pendidikan Khas adalah Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Prof Dr Andanastuti dalam satu kenyataan hari ini berkata Sidang Pendidikan Sedunia 2011 itu adalah platform yang menghimpunkan pakar daripada pelbagai bidang dari seluruh dunia. Ia dianjurkan oleh Indira Gandhi National Open University (IGNOU) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sains dan Pengajian Media (Centre for Science Development and Media Studies - CSDMS) dan ELETS Technomedia.
Perhimpunan itu merangkumi pameran, pembentangan kertas kerja, bengkel dan juga majlis penganugerahan. Anugerah Pendidikan Sedunia itu adalah suatu majlis anugerah berprestij yang memberi pengiktirafan bertaraf dunia kepada institusi pendidikan dan penyelidikan awam dan juga swasta.
Ia diberikan mengikut kategori yang mana terdapat empat kategori utama iaitu Pendidikan Sekolah, Pendidikan Vokasional, Pendidikan Tinggi dan Inisiatif Sektor Swasta dan Anugerah Khas.
“Majlis penganugerahan itu secara keseluruhannya mengiktiraf penyelidik daripada institusi-institusi yang berjaya menjalankan penyelidikan dan menaikkan nama institusi khasnya di peringkat antarabangsa.
“Ini juga membuka peluang kepada para penyelidik untuk mempromosi dan mempertingkatkan jaringan global terutamanya bagi pembangunan dalam dunia pendidikan sekali gus dapat mengembangkan lagi bidang pendidikan ini ke seluruh dunia,” kata beliau.
Ia juga dapat memberi ilham dan idea baru seperti menyediakan kerangka penerangan yang baru serta paradigma yang baru untuk digunapakai para pendidik dan penyelidik yang boleh memahami pendidikan secara teori dan praktikal, katanya.
Seramai hampir 700 delegasi dari pelbagai negara telah menyertai persidangan itu yang turut dihadiri beberapa delegasi khas termasuk Menteri Pendidikan dari luar negara, Menteri – Menteri India, Timbalan Naib Canselor dari beberapa universiti dan juga pegawai atasan daripada syarikat-syarikat terkemuka.
Antara tetamu khas yang hadir pada persidangan itu ialah Dr A.P.J. Abdul Kalam, bekas Presiden India; Menteri Pendidikan Jordan, Dr Taseer Al Nuaimi dan Dr Vasant Kumar Bunwaree, Menteri Pendidikan dan Sumber Manusia Mauritius.
Kerjasama UKM dengan University Duisburg-Essen, Jerman yang sudah terjalin erat selama sedekad kini diiktiraf di mata dunia oleh para juri profesional.
Program dwi-ijazah yang diperkenalkan melalui kolaborasi antara UKM-UDE membuka peluang kepada UKM untuk menjadi hab kecemerlangan kepada pelajar luar negara khususnya sekali gus dapat mengukuhkan agenda pengantarabangsaan UKM. ![]()