Oleh: Aini Raudhah Binti Roslam - Pelajar Sarjana Analisis Keselamatan Dan Strategi UKM
BANGI, 20 Okt. 2011 - Sangkaan masyarakat bahawa remaja dan pemuda sekarang terlalu ketagih dengan laman sosial “Facebook” disangkal oleh sekumpulan penyelidik daripada Pusat Pengajian Media dan Komunikasi (PPMK), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Satu kumpulan penyelidik PPMK mendapati Facebook adalah di antara laman sosial yang paling dikerap dilawati pengguna internet. Sehingga Mei 2011 jumlah penggunanya sudah mencecah seramai 666 juta orang termasuk 10.6 juta dari Malaysia di mana seramai 3.5 juta darinya berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 24 tahun.
Kumpulan terdiri dari Dr Normah Mustafa, Dr Wan Amizah Wan Mahmud, Dr Fauziah Ahmad, Dr Chang Peng Kee dan dan Puan Maizatul Haizam Mahbob telah menjalankan penyelidikan mereka untuk mengetahui apakah ‘facebook’ adalah suatu kemudahan keperluan atau ketagihan di kalangan remaja.
Hasil kajian mereka telah dibentang dalam Siri Seminar Bulanan FSSK di sini hari ini.
Dr. Normah Mustafa yang membentangkan hasil kajian itu berkata terdapat lima kategori penerima Facebook, iaitu pencetus (innovators), penerima awal (early adopters), majoriti awal (early majority), majoriti akhir (late majority) dan penerima akhir (laggards).
“Kami menjalankan kajian ini untuk menjawab persoalan bagaimana dan mengapa remaja menggunakan Facebook untuk mengenal pasti tahap penggunaannya, tujuan penggunaan dan faktor-faktor yang mempengaruhi penggunaannya di kalangan remaja” katanya semasa membentangkan hasil kajian itu.
Ia mengambil kira pandangan daripada Song, Larose dan Eastin pada tahun 2004 yang menyatakan pengguna yang melayari Facebook melebihi 4 jam sehari dikatakan tergolong dalam kumpulan ketagih. Pendapat ini telah dijadikan pengukur tahap kajian ini.
Hasil kajian telah mendapati bahawa remaja Malaysia hanya menghabiskan masa selama 1 hingga 3 jam sehari untuk Facebook. Pengalaman mereka menggunakan Facebook ini adalah masih pada tahap permulaan dan tergolong dalam golongan majoriti akhir iaitu berhati-hati terhadap perubahan tidak selesa dengan sesuatu yang tidak pasti.
Tujuan utama mereka melayari laman ini adalah untuk berkomunikasi dengan rakan sebaya dan juga berhubung semula dengan rakan lama. Pengaruh rakan sebaya adalah faktor utama remaja menggunakan kemudahan laman sosial itu. Facebook juga didapati sudah menjadi suatu keperluan dan bukan lagi kerana ketagihan.
Penggunaan Facebook tidak harus dipandang dari dimensi buruk sahaja tetapi juga harus dilihat dari dimensi yang baik seperti pengguna dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana terbukti hubungan anak-anak dengan ibu bapa makin erat jika anak-anak memaukkan ibu bapa mereka sebagai “rakan”. Dan ini membolehkan anak-anak tidak dapat berbincang secara bersemuka dengan ibu bapa dapat melakukannya melalui Facebook.
Siri ceramah ini turut dihadiri oleh Prof Madya Dr Fuziah Kartini Binti Hassan Basri. Dalam ucapan aluannya Dr Fuziah berharap pelajar akan lebih jujur dan bertanggung jawab bila menggunakan internet seperti laman sosial Facebook.
Walau pun mereka tidak dipantau mereka seharusnya bersikap jujur dan bertanggungjawab apabila menggunakan internet termasuk Facebook, tambah beliau. ![]()