Perayaan Deepavali Perkukuh Keutuhan Negara

Jumaat, 09 Disember 2011 00:00
Cetak PDF

Oleh Abdul Razak Hussin
Foto oleh Abdul Razak Hussin

BANGI, 9 Dis. 2011 – Kepelbagaian budaya, agama dan adat resam yang wujud dalam negara mampu memperkukuhkan perpaduan dan keutuhan negara sekiranya kepelbagaian itu sama-sama dihargai dan diraikan.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata dengan menghargai kepelbagaian mereka, rakyat akan dapat bekerjasama sebagai satu pasukan yang mengandungi pelbagai potensi, kebolehan, kemahiran dan peranan. 

Berucap di perayaan sambutan Deepavali di UKM hari ini, beliau berkata kepelbagaian menjadi asas dalam menjana idea, keputusan dan tindakan yang diambil dalam semua urusan untuk meningkatkan kecemerlangan UKM dan negara seterusnya.  Majlis turut dihadiri pegawai pengurusan utama dan warga UKM.  

Prof Sharifah Hapsah berkata kejayaan akan tercapai kiranya kita menggunakan kebijaksanaan menangani dan mengendali kepelbagaian itu yang sewajarnya menjadi kekuatan kepada kita. 

Beliau turut melawat kollam yang disiapkan oleh pelajar di luar Bilik Bankuasi tempat berlangsungnya majlis perayaan Deepavali. Satu daripada tradisi Deepavali adalah kollam atau ranggoli, iaitu lukisan di atas lantai dengan menggunakan beras atau serbuk beras yang berwarna-warni. Perkataan kollam dalam bahasa Tamil bermaksud indah atau cantik.  

Secara simboliknya, kollam melambangkan kehidupan manusia kerana lukisan kollam mempunyai garisan-garisan yang berliku. Menempuh kehidupan tidaklah mudah tetapi seseorang itu boleh mencapai kesempurnaan dan kebahagiaan sekiranya menuruti segala panduan yang ditetapkan.

Kecantikan lukisan kollam yang telah siap melambangkan kebahagiaan dan kesempurnaan kehidupan. 

Beliau turut menyarankan agar perayaan besar seperti Gawai untuk kaum dayak Sarawak dan Kaamatan untuk kaum Kadazan dusun Sabah juga diraikan di kampus.
 

Berita Kampus

Arkib Berita