Menyebarkan Ilmu Melalui kesukarelawan

Jumaat, 16 Disember 2011 17:21
Cetak PDF

Oleh Shahfizal Musa


BANGI, 15 Dis. 2010 - Akademik dan Penyelidik harus diyakinkan untuk menyumbang kepakaran mereka dalam kerja-kerja amal dan sukarela, kata Timbalan Naib Canselor (Hal Elwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Saran Kaur Gill.


Berucap di Majlis perasmian Bengkel Pasukan Tindakan AsiaEngage ‘Membangunkan Peta Strategik bagi penyertaan Universiti-Industri dan Komuniti yang Produktif dan Lestari Merentasi ASEAN dan Luar” , beliau berkata:
 


Aktiviti sukarelawan dan penglibatan para akademik dalam aktiviti demikian adalah suatu cabaran kerana teras utama sebuah universiti adalah penyelidikan dan pemindahan ilmu.


Dengan itu para akademik perlu mendapatkan sokongan rakan sekerja di tempat tugas supaya mereka tidak memandang serong terhadap penglibatan demikian itu.


Prof Saran berkata para akademik perlu memahamkan rakan mereka mengenai kebaikan kerja-kerja amal untuk memanfaatkan masyarakat setempat. Ini akan menggalakan mereka menjadi duta kepada kegiatan amal.


Bengkel itu dianjurkan oleh UKM dengan kerjasama Talloires Network of Industry and Community Engaged Universities (ATNEU) untuk menggalakkan ahli akademik di universiti menyumbang kepakaran mereka kepada masyarakat setempat.


Mesyuarat dua hari itu berharap dapat membuka jalan kepada universiti untuk
terlibat secara langsung dalam usaha menolong masyarakat tempatan dengan kepakaran dan pengetahuan yang ada pada mereka.


Prof Saran menyeru ahli akademik melihat penglibatan mereka dalam kerja-kerja amal dari segala sudut. Misalnya seorang pakar bedah mungkin terlibat dengan kerja amal seperti memberi rawatan di lokasi yang di alami bencana. 

 
Pertimbangan perlu diberi kepada bebanan kerjanya yang ditinggalkan supaya tidak membebankan rakan mereka dipejabat kerana kerja-kerja amal itu. Ini akan mewujudkan rasa tidak puas hati di kalangan rakan-rakan mereka.


Jika isu seperti itu tidak diberikan perhatian dan dibiarkan sahaja, kerja amal yang dilakukan oleh seseorang tidak akan berkekalan. Mereka mungkin merasa berat untuk mengambil masa dari kerja harian untuk membuat kerja-kerja amal.


Pakar itu mungkin akan lebih cenderung untuk menjaga hubungan dengan rakan sekerja di pejabat daripada menyelamatkan nyawa yang berada jauh dari tempat kerjanya.


Bengkel itu akan merangka pelan tindakan yang boleh dilaksanakan universiti-universiti di Asia terhadap bagaimana kepakaran yang ada pada mereka boleh dimanfaatkan untuk membantu masyarakat setempat apabila perlu.


Peserta dari Thailand, Filipina, Brunei, Singapore, Indonesia, Perancis dan Malaysia menghadiri bengkel itu.


Turut hadir pada upacara perasmian adalah Dr.Nantana Gajaseni, Pengarah Eksekutif Rangkaian Universiti ASEAN; Brogdan Imre, Pengarah Projek, Jawatan Kuasa Penyelidik Khidmat Sukarela Antarabangsa dan wakil dari pertubuhan kemanusiaan MERCY Malaysia. 

Berita Kampus

Arkib Berita