Program Khidmat Komuniti Dijadikan Jalinan Erat Universiti-Masyarakat

Ahad, 18 Disember 2011 00:00 administrator
Cetak PDF

Oleh Abd Razak Hussin      


MASAI, JOHOR, 18 Dis. 2011 – Program khidmat komuniti yang dijalankan
oleh universiti perlu dipertingkatkan menjadi Program Jalinan Erat Universiti–Masyarakat dan tidak harus dilakukan sebagai satu kegiatan sahaja tanpa adanya kesinambungan.


Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kegiatan universiti juga tidak harus terpisah daripada melibatkan masyarakat luar kampus dan perlu diusahakan sebagai kegiatan jangka panjang dan berterusan.


Beliau telah menutup Program Tanggungjawab Sosial Korporat Khidmat Komuniti Pasir Gudang Johor yang telah berlangsung dari 15 hingga 18 Disember. Beliau adalah ahli Parlimen Pasir Gudang.


Program anjuran bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Pelajaran Negeri Johor dan Pusat Khidmat Parlimen Pasir Gudang melibatkan seramai 120 pelajar UKM, pelajar sekolah, golongan belia dan masyarakat tempatan.
 


Ia dilaksanakan berpusat di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota Puteri di sini.


Khaled berkata masyarakat memandang tinggi universiti dan ingin menjadikannya sebagai tempat rujukan. Ini adalah kerana di universitilah berhimpunnya golongan ilmuan dan pemikir yang diyakini dapat mengemukakan penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi masyarakat.


Beliau menyarankan UKM menjadikan Pasir Gudang sebagai lapangan penyelidikan dalam pelbagai bidang seperti kesihatan penduduk, pendidikan dikalangan generasi muda, permasalahan sosial, kekeluargaan dan sikap terhadap pembinaan semangat kenegaraan.

 
Masyarakat di situ kini berhadapan dengan pelbagai masalah yang sebahagiannya adalah kesan daripada perubahan dan pembangunan pesat di Pasir Gudang yang perlu ditangani.


Hasil penyelidikan serta syor yang dikemukakan boleh memberi petujuk kepada pihak kepimpinan dan pentadbiran Pasir Gudang menyediakan penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi mereka.
 


UKM telah secara berterusan mengadakan program khidmat komuniti termasuk di Pasir Gudang dan Khaled percaya masyarakat Pasir Gudang telah menerima banyak manfaat daripada pelbagai aktiviti yang diadakan seperti motivasi pelajar, saintis muda, klinik bola sepak, tazkirah agama, rawatan kesihatan, persembahan kesenian dan sukaneka keluarga.
 


Hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Omar Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni), UKM Prof Ir Dr Othman A Karim, pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Johor dan pemimpin masyarakat tempatan.
 

Terakhir Dikemaskini pada Selasa, 20 Disember 2011 18:08

Berita Kampus

Arkib Berita