Oleh Nur Azimah Mahmood
Foto oleh Shahiddan Saidi
BANGI, 14 Feb. 2012- Persatuan AIESEC Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mengumpulkan 592 muda mudi anggota AIESEC seluruh Asia berumur antara 18 hingga 25 untuk memperkenalkan budaya dan cara hidup masyarakat masing-masing dalam perjumpaan ‘Kampung Global’ di kampus UKM di sini.
Seminar enam hari diberi nama Pembangunan Kepimpinan Malaysia 2012 (MyLDS 2012) bermula Ahad lepas dan berakhir Jumaat ini menyaksikan peserta dari China, Mesir, Hong Kong, Indonesia, Iran, Iraq, Jepun, Mauritius, Filipina, Singapura, Taiwan, Yemen dan Malaysia.
Peserta Malaysia terdiri dari pelajar dari Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), The University of Nottingham Kampus Malaysia, University Taylor, Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta UKM sebagai tuan rumah.
Setiap universiti diberi tanggungjawab mempamerkan maklumat dan lokasi menarik mengenai sesebuah negara yang perlu diperkenalkan serta makanan dan minuman yang melambangkan negara tersebut.
Peserta luar negara banyak berurusan dengan kedutaan masing-masing di ibu negara untuk mendapatkan maklumat dan ini merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran dan komunikasi peserta dengan pihak luar.
Upacara “Kampung Global” itu telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UKM Prof Ir Dr Othman A. Karim pada hari Selasa 14 Feb.
Penganjur mengharapkan program kampung global itu sesuai bagi membuka mata dan meluaskan pandangan peserta di samping menimba ilmu bagi menyediakan diri sebagai pemimpin pada masa hadapan.

![]()