Ahli Akademik UKM Digalak Menggunakan Kaedah Interaktif Dalam Pengajaran

Jumaat, 17 Februari 2012 10:17
Cetak PDF

Oleh Radzuan Ghazali

Foto Oleh Ahmad Shahiddan Saidi

SEREMBAN, 15 Feb. 2012 - Ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan dibekalkan dengan kaedah pembelajaran dan pengajaran yang lebih dinamik dan kreatif menggunakan teknologi e-Kandungan secara interaktif bila menyediakan bahan kuliah.

Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato' Dr Noor Azlan Ghazali berkata, mereka tidak lama lagi akan diperkenalkan dengan aplikasi talian serta Web 2.0 yang berfungsi sebagai rangkaian sosial, perkongsian video dan blog sebagai media baru dalam mencari maklumat untuk perkuliahan.

Penggunaan rangkaian web itu akan memudahkan perkongsian maklumat dan kolaborasi yang boleh membangunkan bahan e-Kandungan untuk bantuan bagi membolehkan penyampaian kaedah pembelajaran dengan lebih berkesan.

Beliau berkata demikian di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian dengan uniCLIQ Sdn Bhd yang akan menyediakan perisian untuknya di Hotel Royale Bintang di sini hari ini.

Prof Azlan menandatanganinya bagi pihak UKM dan Apandi Dolah, Ketua Pegawai Eksekutif, uniCLIQ bagi pihak syarikat itu. Ia disaksikan Pengarah Pusat Pembangunan Akademik (PPA) UKM, Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah O K Rahmat dan Ketua Pengarah Operasi uniCLIQ, Analiz Alias.

Timbalan Pengarah e-Pembelajran PPA UKM, Prof Dr Mohamed Amin Embi dan pegawai kanan kedua pihak turut hadir.

Prof Azlan berkata ahli akademi UKM akan diberikan latihan berterusan bagi meningkatkan kemahiran pembangunan e-Kandungan supaya pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan interaktif.

Kehendak semasa memberikan cabaran kepada ahli akademik untuk menggunakan pendekatan terkini bagi memantapkan pengajaran dan pembelajaran dalam bidang masing-masing.

Dalam usahanya menggiatkan pelaksanaan e-Pembelajaran, beliau berkata UKM telah melantik Penyelaras e-Pembelajaran dan Jurulatih Utama di setiap fakulti dan pusat. Usaha itu adalah sejajar dengan Dasar e-Pembelajaran yang dilancarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada Mei tahun lalu.

UKM juga memberi insentif kepada mereka yang aktif menggunakan kaedah e-Pembelajaran melalui Anugerah e-Pembelajaran dan Anugerah Inovasi e-Pembelajaran.

Penyediaan perisian terkini yang mesra pengguna akan memudahkan warga akademik UKM membangunkan bahan kuliah interaktif dengan pantas dan cepat. Ini akan dapat memastikan UKM terus kehadapan dalam pembangunan e-Pembelajaran di kalangan Instutisi Pengajian Tinggi Awam di Malaysia, kata Prof Azlan.

PPA, katanya, berperanan penting dan bertanjunggjawab untuk memastikan usaha itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau berkata walaupun penyelidikan dan penerbitan penting kepada UKM, pengajaran dan pembelajaran juga perlu diberi perhatian serius kerana ia adalah nadi utama kepada semua warga akademik UKM.

Apandi Dollah berkata, MoA itu bukan kali pertama diadakan syarikatnya kerana 10 tahun lalu ia telah menyediakan perisian persekolahan.

Sejumlah tiga perisian akan diperkenalkan kepada warga UKM menerusi MoA itu selama 10 bulan iaitu LectureMaker, TestMaker dan eClas bagi memastikan warga akademik UKM akan terus aktif dalam pembelajaran dan pengajaran sewaktu di bilik kuliah.

Beliau yakin warga UKM akan berjaya mencapai tahap Indeks Pencapaian Utama (KPI) menerusi tiga perisian itu dan berharap ia akan menjadikan perisian yang diperkenalkannya itu sebagai perisian utama dalam kaedah pembelajaran dan pengajaran.