Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Ahmad Shahiddan Saidi
BANGI, 23 Mac 2012 – Seorang sarjana ekonomi dari UKM berkata Malaysia masih belum mengoptimumkan keupayaan modal manusia negara di mana kualiti pelaburan untuk mewujudkan pekerja mahir yang dikehendaki perlu diperbaiki.
Selain itu, kata Prof Dr Rahmah Ismail, Ketua Pusat Kajian Sumber Manusia, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, pengaliran keluar kemahiran dan kemasukan buruh asing tidak mahir juga menjadi penyebab.
Prof Rahmah yang menyampaikan Syarahan Perdana Profesor bertajuk “Modal Manusia dalam Pembangunan Ekonomi – Memacu Produktiviti dan Daya Saing” di sini hari ini, lantas mencadangkan agar kualiti pelaburan modal insan terutamanya pendidikan dan latihan dipertingkatkan.
Beliau menerangkan bahawa penekanan kepada pendidikan peringkat tinggi sahaja tidak boleh menjamin kualiti yang berterusan boleh dilahairkan.
Kualiti pendidikan di peringkat asas perlu juga dibaiki demi mengasah minda dan bakat pelajar dari peringkat awal dan sebagai kesinambungan ke peringkat tinggi.
“Penguasaan disipilin dan bahasa turut perlu bermula daripada peringkat asas,” katanya.
Beliau menerangkan bahawa pembangunan ekonomi berterusan dan seimbang memerlukan masyarakat yang berpendidikan serta wujudnya tenaga kerja yang berkemahiran, bermotivasi tinggi dan berdisiplin.
Pengalaman negara-negara lebih maju seperti Jerman dan Jepun menunjukkan pendidikan teknik dan vokasional diberi penakanan dalam menggerakkan pertumbuhan ekonomi secara lebih pantas.
“Malah ada kajian lalu menunjukkan pendidikan bidang ini penting untuk melahirkan tenaga kerja mahir yang sesuai dengan teknologi tinggi. Permintaan kepada mereka yang berkemahiran demikian meningkat secara berterusan,” katanya.
Beliau memberitahu lebih 200 orang hadirin bahawa status modal manusia di Malaysia kini masih terkebelakang dibandingkan dengan negara lain yang lebih maju di rantau ini seperti Korea Selatan, Taiwan, Singapura dan Hong Kong.
“Bagi mencapai wawasan negara maju, peranan modal insan amatlah penting kerana manusialah yang mampu menggembleng input selain modal kewangan dan bahan mentah untuk mengubah arah aliran pertumbuhan dan pembangunan ekonomi melalui penciptaan dan penggubalan pelbagai strategi dan dasar,” katanya.
Prof Rahmah menerangkan bahawa penggunaan teknologi tinggi turut mempunyai kaitan erat dengan permintaan pekerja berkemahiran tinggi yang boleh mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.
Namun di Malaysia teknologi secara umumnya masih pada tahap sederhana terutama bagi perusahaan bersaiz kecil dan sederhana.
“Malah dalam syarikat yang banyak dipelopori pelabur asing, pengeluaran masih beroperasi pada penggunaan buruh secara intensif. Ini menyebabkan mereka amat bergantung kepada buruh asing yang tidak berkemahiran dan separa mahir,” katanya.

![]()