Oleh Shahfizal Musa
Foto Mohammad Zukri Ahmad
IPOH, 5 Jun 2012 – Satu kajian yang dibentangkan di Persidangan Ekonomi Kebangsaan Malaysia (PERKEM) di sini hari ini mendapati pekerja wanita di sektor swasta dibayar gaji lebih rendah berbanding pekerja lelaki untuk bebanan kerja dan tanggungjawab yang sama.
Dr Mohd Aizat Othman dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberikan rumusan itu dalam kertas kerjanya ‘Diskriminasi dalam Industri Buruh: Kajian di sektor swasta’.
Beliau berpendapat diskriminasi bayaran gaji yang tidak adil itu tidak akan membantu mengekalkan bakat yang komited dalam pekerjaan hanya kerana tanggapan yang membezakan wanita atas dasar biologi mereka.
Persidangan tiga hari itu yang berakhir hari ini di anjurkan oleh FEP menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri, ahli akademik dan pakar ekonomi dari seluruh negara telah berlangsung di Kinta Riverfront Hotel di sini.
Sejumlah 160 pembentangan dibuat dalam persidangan itu, iaitu suatu jumlah kertas kerja yang terbesar sejak persidangan sedemikian dijalankan tujuh tahun lalu.
Dr Mohd Aizat berkata rasional yang digunakan majikan swasta untuk melakukan diskriminasi tersebut adalah kerana kaum wanita kerap mengambil cuti terutama selepas berkahwin. Ini termasuk cuti bersalin dan ada kalanya terpaksa meninggalkan kerja apabila anak jatuh sakit atau gagal mendapat pengasuh.
Tanggapan ini tidak tepat kerana ramai pula wanita yang menangguhkan perkahwinan untuk menumpukan perhatian kepada pekerjaan walaupun mereka tidak dibayar gaji yang sepatutnya sebagaimana diberikan kepada kaum lelaki.
Kajiannya itu mendapati 27.9 peratus perbezaan gaji itu boleh dijelaskan walaupun ia bukanlah suatu justifikasi yang adil. Bagaimanapun 72.1 peratus selebihnya tidak dapat dihuraikan.
Ini memberi gambaran bahawa diskriminasi adalah suatu perkara biasa and ia perlu diatasi dari akar umbinya sekiranya Malaysia serius mahu mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata Dr Mohd Aizat.
Isu sumber manusia telah diberi perhatian dalam persidangan kali ini kerana ia bakal menjadi halangan utama untuk menjayakan pelan transformasi ekonomi negara.
Ahli Lembaga Pengarah UKM, Dato Dr Azmi Abdullah ketika merasmikan persidangan itu berkata negara perlu mencari pendekatan ekonomi baru, kerana situasi ekonomi global menunjukkan sistem yang sedia ada tidak akan berkesan di Malaysia.
Beliau berharap para pembuat dasar akan mendapat manfaat daripada hasil penemuan baru yang dibentangkan dalam persidangan itu.
Ia penting kerana maklumat daripada kajian dan penemuan yang diperolehi dan dibentangkan dalam persidangan itu boleh membantu pembuat dasar mengolah ekonomi Malaysia agar terlindung daripada ketidakpastian global sekarang ini, kata Dato' Dr Azmi Abdullah.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Noor Azlan bin Ghazali, Dekan FEP, Prof Dr Nor Ghani Mohd Nor turut hadir dipersidangan itu. Pengerusi Persidangan ialah Professor Madya Dr Norlida Hanim Mohd Salleh. ![]()