Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 13 Jun 2012 – Skrin LCD yang boleh mengesan wajah, papan tanda elektronik kawalan jauh, panel tenaga suria yang sentiasa menghadapi matahari, malah tenaga percuma dari bumi; semua teknologi yang canggih dan menakjubkan ini sedang dibangunkan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Malahan ada diantara usaha mereka itu yang telah mula menarik perhatian sektor swasta hingga memungkinkan pengkomersilan inovasi mereka itu.
Aktiviti kelas Jabatan Elektrik, Elektronik dan Sistem Tenaga fakulti itu telah dipamerkan di kampus UKM di sini awal bulan ini yang memaparkan bakat dan kreativiti siswa itu menyelesaikan masalah harian untuk faedah pengguna.
Aktiviti kelas mereka itu diusahakan Pensyarah Kanan, Hilmi Sanusi yang berkata beberapa orang rakannya kagum dengan inovasi para siswanya hinggakan meminta prototaip dipasang di pejabat fakulti untuk ujian berterusan.
Tiga belas pasukan menyertai pameran itu dan telah memberi keterangan mengenai hasil ciptaan mereka kepada pelawat-pelawat. Jika inovasi mereka menarik perhatian luar, langkah seterusnya ialah mengkomersilkannya.
Mereka kini sedang mendapatkan perlindungan hak cipta dengan bantuan Fakulti Undang-Undang.
Semua rekacipta yang menarik ini bertemakan Teknologi Hijau dan Pemuliharaan Kuasa Melalui Penggunaan Sistem Pintar.
Diantaranya ialah perisian untuk memadamkan skrin LCD pada komputer riba dan monitor komputer meja, telefon pintar dan peranti lain yang mempunyai skrin LCD apabila tidak digunakan. Selagi ada kamera pada komputer, ia akan mengesan mana-mana wajah manusia. Apabila mengalih pandangan dari skrin, ia mematikan paparan dan diaktifkan semula apabila seseorang melihatnya. Ciptaan ini menjimatkan kerana selain daripada kamera, tiada perkakas lain diperlukan.
Ia hanya berkehendakan satu perisian aplikasi dipasang. Pasukan yang membangunkan sistem pengesan muka ini berharap untuk menjual idea mereka kepada pengilang elektronik terkemuka tempatan.
Satu lagi inovasi yang berguna tetapi lebih rumit ialah apa yang digelar sistem “Elektrik Pintar” yang menggunakan ventilasi untuk menggerakkan udara antara bumbung dan lantai dalam bangunan tanpa perlu untuk membuka pintu. Kipas ekzos digunakan untuk menyalurkan aliran udara ke tempat-tempat yang memerlukan pengudaraan yang lebih.
Ia juga boleh mengawal penghawa dingin dengan membandingkan suhu bahagian dalam dengan luar dan ruang antara bumbung dan siling. Kumpulan yang mencipta sistem ini berkata ia akan membantu mengurangkan kos hawa dingin sambil membuangkan udara basi dan tercemar. Mereka percaya ia paling sesuai untuk bangunan besar seperti kilang dan pejabat.
Tenaga percuma mungkin dianggap luar biasa dan tidak munasabah, tetapi satu lagi pasukan pelajar mendakwa mereka menghampiri impian ini. "Kapagen" adalah ciptaan mereka yang cuba menghasilkan tenaga secara ekonomi. Ia adalah sebuah generator atau penjana yang menghasilkan tenaga elektrik daripada elektron dalam bumi.
Bumi bertindak sebagai kapasitor yang sangat besar yang menyerap elektron daripada kilat. Ia memang mampu menjimatkan tenaga, tetapi ia memerlukan penggunaan bekalan letrik sekurang-kurangnya 400 volt pada penjana untuk menghasilkan 4,000 volt.
Sistem "Kapagen" ini dibangunkan mengguna alat-alat elektrik di rumah dan peralatan elektrik lain seperti step-up transformer, transformer ketuhar gelombang mikro, kapasitor elektrik, gegelung penggulungan, mentol lampu dan batang pembumian. Walau bagaimanapun, pengguna mesti mempunyai bekalan elektrik yang lebih tinggi daripada 220 volt yang biasa didapati untuk menjana lebih 10 kali ganda voltan elektrik.
Tema tenaga bebas juga dilihat dalam rekaan lain. Beberapa pelajar tahun ketiga yang mahu menjadi usahawan telah mencipta “Bi-Axial Solar Tracker” atau Penjejak Suria Dua Paksi, yang membantu mengoptimumkan penjana suria konvensional dengan menggerakkan panel untuk sentiasa menghadapi matahari sepanjang hari.
Sebuah motor DC yang menggerakkan panel pada dua paksi disambungkan kepada perintang Sulfat Kadmium yang mengesan hala cahaya. Ia secara automatik akan menghadap ke arah matahari.
Peralatan ini sudah ada di pasaran dalam bentuk kit berharga hanya RM149 satu set. Pelajar-pelajar yang mencipta produk ini telah memetrai perjanjian dengan sebuah pengilang di Sungai Petani, Kedah.
Bagi seseorang yang berada dalam bilek pejabatnya dan tidak mahu diganggu melainkan kalau terdesak selain mahu pula tahu siapa pelawat di luar yang memicit loceng atau ketuk pintu, suatu alat “Electronic Wireless Signboard” atau papan tanda elektronik diwujudkan.
Papan tanda elektronik tanpa kabel itu menggunakan pemancar RF untuk menghantar mesej pada paparan LCD di dalam bilik dari luar tanpa memerlukan kabel. Ia menggunakan kuasa solar.

Seorang pelawat boleh menaip mesej dari sejauh 100 meter dan penerima boleh berfikir apakah perlu menemui pelawat itu atau tidak.
Ia di ilhamkan empat orang siswa berdasarkan pengalaman mereka. Mereka pernah mahu berjumpa pensyarah tetapi pensyarah tidak mahu diganggu dengan perkara remeh. Alat itu membolehkan pensyarah mengesahkan sama ada hal itu penting atau tidak apabila si pengunjung menaip mesej.
Papan Tanda Elektronik ini kini digunakan oleh beberapa pensyarah dengan izin dari pencipta-penciptanya. Mereka berkata sekarang pensyarah mudah untuk menentukan mana permintaan yang harus dilayan segera.
Suatu lagi pasukan mengelar diri mereka “Panda” yakin mereka mencipta pencas bateri yang pertama menguna elektrik yang dijana dari pemutaran tayar kereta, motosikal ataupun basikal.
Sistem ini dapat menyimpan elektrik yang dijana apabila brek kereta digunakan. Tenaga elektrik di simpan dalam kapasitor dan boleh diguna untuk mencas alat-alat kecil seperti telefon bimbit, komputer riba, komputer tablet dan pemain muzik MP3.
Alat penjana menyerupai “dynamo” yang pada suatu masa dahulu diguna di basikal untuk menjana elektrik untuk menyalakan lampu. Bagaimanapun penjana “Panda” dilampirkan di tengah tayar atau hab dimana axel memutarkan roda. Penjana ini separuh daripada saiz tin.
Pasukan “Panda” dengan bantuan fakulti kini berunding dengan sebuah syarikat tempatan untuk memasarkan penjana itu. Buat masa ini, penjana DC digunakan, tetapi “Panda” sedang berusaha untuk menggantinya dengan motor “tanpa brus” yang lebih kecil, seperti yang diguna untuk mengawal kapal terbang model kawalan jauh. ![]()

