Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 13 Jun 2012 – Kelantangan kaum Cina Malaysia menuntut keistemewaan pendidikan dalam bahasa Mandarin diteruskan dengan biayaan kerajaan adalah suatu keadaan unik bagi negara ini.
Negara-negara lain yang mempunyai penduduk Cina sebagai minoriti besar seperti Amerika Syarikat tidak pula bersikap demikian dan lebih senang menyerap ke dalam sistem pendidikan arus perdana.
Demikian pandangan seorang ahli antropoligi Amerika, Prof Sharon Carstens yang telah banyak membuat kajian mengenai kaum Cina di Malaysia sejak 1978.
Berucap dalam satu seminar mengenai Soalan Baru, Arah Baru dalam Pengajian Cina Malaysia anjuran Institut Kajian Etnik (KITA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini pagi ini, beliau berkata Cina Malaysia tidak lagi melihat diri mereka sebagai rakyat China atau mempunyai hubungan keluarga dengan negara China.
Prof Carstens adalah Professor Antropologi dan Kajian Antarabangsa di Portland State University mengajar kursus-kursus mengenai Asia-Tenggara, negara China dan rakyat Amerika keturunan Cina. Beliau mula membuat penyelidikan mengenai Cina Malaysia pada 1978 dan telah melawat negara ini beberapa kali untuk kajiannya.
Beliau berkata etnik Cina Malaysia sudah menganggap negara ini sebagai tanah air mereka dan tidak mahu lagi dikenali sebagai Cina seberang (Overseas Chinese), satu ungkapan yang digunakan oleh penjajah British.
Oleh itu penyelidikan mengenai Cina Malaysia harus menyingkir stereotaip demikian, umpamanya apakah Cina Malaysia mempunyai kesetiaan yang tidak berbelah bagi terhadap negara ini.
Oleh itu, Prof Carstens menggesa kaedah lama antropologi yang ketinggalan zaman, seperti mencari hubungan keluarga di China atau persamaan dialek, adalah kurang relevan dalam keadaan globalisasi dunia sekarang.
Pengkajian mengenai rakyat Malaysia keturunan Cina harus menggunakan parameter baru penyelidikan yang mencerminkan perubahan besar dalam masyarakat Malaysia berbanding zaman penjajah selain mengelakkan daripada anggapan kolot.
Beliau menegaskan kaedah yang diguna oleh para Orientalis zaman lampau untuk mengkaji minoriti Cina di Malaysia, kurang tepat sekarang kerana perbezaan besar generasi masa kini daripada segi bahasa dan status masyarakat berbanding nenek moyang mereka.
Sekarang mereka tidak pandang ke negara China atau mencari sanak saudara di seberang laut.
Prof Carstens berkata globalisasi juga telah mengubah suasana budaya di Malaysia dan Asia Tenggara hinggakan lebih ramai rakyat Malaysia menumpu perhatian kepada idea dari Barat, umpamanya hasrat menjadi negara maju atau kaya.
Perbezaan etnik dalam negara kini kurang penting berbanding zaman lampau.
Globalisasi, katanya, juga telah merumitkan lagi perubahan masyarakat berbilang kaum dan memerlukan perubahan minda mengenai sikap terhadap budaya. Malahan perbezaan pendapat antara generasi muda dengan generasi sebelumnya sudah wujud.
Beliau mengsyorkan kajian yang menguna perbandingan, kolloboratif dan sikap lebih peka kepada kehendak mereka yang mahukan maklumat akademik.
Prof Carstens juga menyangkal beberapa klise dan anggapan kolot mengenai Cina Malaysia, umpamanya mereka mempunyai kelebihan berniaga dan lebih mudah untuk menembusi pasaran negara Cina.
Walhal hakikatnya kebanyakan perdagangan antara Malaysia dengan Cina membabitkan konglomerat pelbagai kaum dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bukan syarikat tradisional berasaskan keluarga.
Satu lagi tanggapan salah yang ditimbulkannya ialah Cina Malaysia yang fasih berbahasa Mandarin mudah untuk menjadi penuntut di institusi pengajian tinggi di negara China.
Beliau persoalkan tanggapan demikian kerana hasil dari kajiannya bersama beberapa orang rakannya mendapati rakyat Malaysia keturunan Cina rasa diri mereka di diskriminasi dan diasingkan oleh rakyat tanah besar China, walaupun tidak banyak beza dari segi loghat atau bahasa.
Sebaliknya mereka lebih senang bergaul dengan orang Cina Hong Kong yang bertutur bahasa Inggeris dan Kantonis.
Satu lagi faktor yang harus diberi pertimbangan ialah penghijrahan desa ke bandar sejak 1970 yang telah meningkat lebih dua kali ganda, kata Prof Carstens.
Kini terdapat lebih ramai orang Melayu berada di bandar dan mereka bekerja dalam sektor yang dahulunya dipenuhi kaum Cina. Maka, terdapat lebih interaksi dalam masyarakat walaupun pergaulan masih terhad.
Terdapat perbezaan besar sekarang dalam hal suasana hidup dan kerja berbanding 40 tahun dahulu. Ini bermakna kaedah pengkajian antropologi juga perlu dikemaskini, kata Prof Carstens. ![]()
