Penyelidikan Mengenai Seksualiti Rakyat Perlu Dijalankan

Isnin, 18 Jun 2012 00:00
Cetak PDF

Oleh Shahfizal Musa
Foto Oleh Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2012 – Penyelidikan mengenai seksualiti rakyat Malaysia terutamanya wanita walau pun amat mencabar perlu dijalankan untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenainya.

Kesulitan itu berpunca daripada anggapan salah masyarakat kononnya ia adalah lucah dan boleh menyentuh pantang larang masyarakat tempatan.

Seorang pakar psikoseksual di Jabatan Psikiatri di Pusat Perubatan UKM (PPUKM), Prof Dr Hatta Sidi berpendapat data demikian diperlukan kerana banyak masalah sosial seperti perceraian, pembuangan bayi, seks rambang dan masalah fungsi seks yang terpendam berpunca daripada seks hingga memberikan impak yang negatif kepada masyarakat.

Penyelidikan seksualiti khususnya di kalangan wanita bukan sahaja akan memberi kefahaman yang lebih tepat mengenainya tetapi boleh membantu menyediakan terapi yang lebih sesuai mengikut budaya tempatan, kata Prof Hatta.

Beliau menyampaikan syarahan perdananya bertajuk “Seksualiti dan Wanita: Teori, Fungsi dan Meleraikan Teka-teki” di PPUKM di sini hari ini.

Wanita Malaysia, katanya, secara umumnya memerlukan lebih daripada sentuhan fizikal untuk membangkitkan nafsu seks. Wanita selalunya tidak mempunyai nafsu yang spontan dan memerlukan keintiman dan perasaan yang mereka disayangi untuk membangkitkan keinginan untuk mengadakan hubungan seks.

Prof Hatta telah menulis beberapa buku dalam topik seksualiti antaranya “Seksualiti Manusia: Keharmonian antara jantina” dan “Keresahan Penyakit dan Rawatan”.

Ketiadaan sikap spontan dalam isu seks di kalangan wanita bukanlah suatu masalah seksual tetapi ia adalah sesuatu yang normal.

Ini disahkan oleh Model Tindak Balas Rangsangan Seksualiti Manusia (MTRSM) yang diutarakan oleh Rosemary Basson yang berlainan dari model konvensional, yang menekankan kespontanan dan rangsangan fizikal.

Berdasarkan model Bassons, keinginan seks wanita boleh dipengaruhi oleh keintiman dan faktor luar dan bukannya bergantung kepada sentuhan fizikal sahaja.

 

Prof Hatta berkata untuk membangkitkan keinginan seks, si isteri memerlukan lebih daripada sentuhan fizikal termasuk usaha seperti membawa si isteri ke Habib Jewels, membelikannya barang kemas serta memberikan puji-pujian, sebagai contoh.

Ini meleraikan teka teki, kenapa sesetengah wanita tidak bernafsu apabila suami inginkan hubungan seks. Mereka bukanlah tidak normal dari segi seksual tetapi hanya memerlukan keintiman dan rasa disayangi untuk membangkitkan keinginan itu.

Dengan itu wanita Malaysia yang mempunyai isu mengenai seks patut dianalisa menggunakan model ini sebelum dilabelkan tetapi tidak berfungsi sebagai normal secara seksual. 

Model MTRSM penting kerana ia digunakan untuk mengenal pasti rawatan yang sesuai bagi mengatasi masalah hubungan seks antara suami isteri.

Dengan menggunakan model konvensional wanita yang tidak responsif kepada sentuhan fizikal akan diklasifikasikan sebagai mempunyai masalah seksual. Ini tidak tepat kerana mereka memerlukan rangsangan dengan cara yang berlainan.

Ini boleh menyebabkan mereka dipersalahkan hingga menimbulkan ketegangan dalam perkahwinan. Sedangkan penyelesaiannya terletak di kedua dua pihak suami dan isteri yang memerlukan kerjasama untuk meningkatkan kualiti kehidupan seks mereka.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin; Pengarah Pusat Perubatan UKM, Dato’ Dr. Raymond Azman Ali, para dekan, ketua jabatan, pensyarah dan pelajar perubatan turut hadir.