Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
BANGI 22 Jun 2012 – Seorang profesor UKM yang telah berjaya menerbitkan lebih 240 kertas penyelidikan menyeru badan korporat bersedia memberi geran bagi menggalakkan kakitangan akademik universiti melakukan penyelidikan.
Pihak swasta Malaysia patut mencontohi syarikat gergasi Korea Selatan dan Jepun yang banyak menghulurkan geran yang menggalakkan warga akademik universiti melakukan penyelidikan kerana menganggapnya sebagai pelaburan jangka panjang.
Profesor Dr Bohari Mohd Yamin dari Fakulti Sains dan Teknologi UKM berkata sokongan demikian perlu supaya kakitangan akademik universiti di Malaysia mampu bersaing dengan institusi-institusi terkenal di negara maju.
Prof Bohari yang telah pun menerbit 241 kertas penyelidikan, berkata negara tidak harus berterusan bergantung kepada kerajaan sahaja menyediakan geran penyelidikan kerana peruntukan sebanyak RM20,000 atau RM30,000 sahaja tidak lagi mencukupi bagi bidang seperti sains.
Selain itu peraturan yang lebih efisien untuk mendapatkan geran penyelidikan perlu disediakan supaya usaha penyelidikan tidak terhalang hanya kerana kerenah birokrasi. Ini juga dapat mengurangkan kos dan birokrasi.
Beliau berkata kini terdapat terlalu banyak langkah dan peraturan yang perlu direntasi seorang saintis yang hendak memohon mendapatkan geran penyelidikan hingga memakan masa yang amat lama.
Prof Bohari mencadangkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melicinkan peraturan untuk meluluskan geran penyelidikan selain berusaha mendapatkan rakan kongsi swasta yang sesuai untuk sesuatu kerja penyelidikan.
Malah beliau berpendapat sektor swasta mesti digalakkan untuk menubuhkan institut penyelidikan sendiri dengan kerjasama universiti supaya dana lebih besar boleh disediakan untuk melakukan penyelidikan.
Beliau juga sedih dengan sikap sektor swasta yang mahu meraih keuntungan cepat tanpa membuat pelaburan jangka panjang hingga telah menghalang kemajuan inovasi. Jika sektor swasta mahu menambahkan keuntungan, mereka patut bersedia menghulurkan dana bagi membolehkan penyelidikan dijalankan dan ia harus dianggap sebagai pelaburan untuk jangka masa panjang.
Selain itu pakar sains juga mesti menganggap penyelidikan sebagai suatu karier dan bukan lagi suatu tugas sampingan.
Katanya, matlamat pada akhirnya adalah memajukan negara supaya dapat bersaing di peringkat global yang amat mencabarkan.
Prof Bohari turut melahirkan harapan universiti tempatan tidak lagi memandang rendah terhadap warga sendiri dengan memberi layanan lebih kepada penyelidik asing. Layanan yang diberikan seharusnya berdasarkan merit dan bukannya warna kulit.
Beliau juga mencadangkan UKM menggesa pensyarah-pensyarahnya menulis sekurang-kurangnya dua kertas setahun, khasnya bagi mereka dalam bidang Sains, Teknologi dan Kejuruteraan. Bagaimana pun sasaran minimum ini masih belum tercapai oleh kebanyakan universiti tempatan.
Para akademik, katanya, perlu membuat lebih banyak kajian. Ini bermakna budaya kerja juga mesti diubah dengan para penyelidik bekerja lebih dan tidak ala kadar sahaja.
Dalam usaha menjadikan institusi-institusi pengajian tinggi awam menjadi lebih bersaing, Prof Bohari mencadangkan kemasukan ke universiti demikian dibuat berdasarkan ujian kemasukan khas (“entrance examination”) yang wujud di negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Jerman serta juga Korea Selatan.
Peraturan ini akan dapat menetapkan piawaian kualiti kemasukan pelajar-pelajar. Memandangkan UKM adalah di antara universiti tempatan yang diberi autonomi, penapisan kemasukan demikian boleh dipertimbangkan.
Ini juga bermakna kerajaan harus meliberalisasikan lagi universiti tempatan dengan mengurangkan kawalan pusat demi kebaikan taraf pengajian tinggi di Malaysia.
Prof Bohari telah berjaya menerbit 241 kertas penyelidikan di jabatan Kimia dan Teknologi sejak tahun 2000 hasil usaha sama dengan penuntut-penuntut PhD di fakulti Sains dari seluruh dunia.
Kebanyakan kertas penyelidikan yang di terbit dalam jurnal-jurnal seluruh dunia melaporkan kajian dalam pembentukan sebatian-sebatian baru yang ada pelbagai ciri, seperti anti-oxidant dan pendaflour (fluorescence).
Kajian yang sedang diusahakan sekarang adalah untuk menentukan aplikasi bahan-bahan baru ini. Bagaimanapun, pendaftaran hak cipta atau paten adalah proses yang makan masa kerana memerlukan penyediaan banyak dokumen untuk dikemukakan di dalam dan luar negara.
Prof Bohari pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Pohang di Korea Selatan, University of Karachi di Pakistan dan University of Canterbury di New Zealand. Beliau juga adalah Pengurus Makmal Penghabluran X-Ray di Institusi Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi UKM. ![]()