Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM sedang melakukan penyelidikan terhadap laluan merentasi pantai timur ke pantai barat di Semenanjung Malaysia yang telah digunakan sejak zaman prasejarah (zaman logam) hingga ke zaman Kesultanan Melaka.
Malah laluan itu juga pernah digunakan tentera Jepun untuk menakluki negara semasa perang dunia kedua dahulu dan juga oleh gerombolan parti komunis Malaya semasa dharurat. Laluan itu merangkumi sungai dan jalan darat.
Kajian menjejaki laluan itu mulanya dilakukan Allhayarham Prof Dr Norhalim Ibrahim semasa berkhidmat di ATMA tahun lalu. Kajian ini kini diteruskan untuk mengesan dengan pasti lokasi sebenarnya kerana ia berpotensi besar menunjukkan kekayaan warisan negara.
Kajian itu kini dikendalikan Felo Penyelidik Kanan ATMA, Prof Madya Dr Asyaari Muhamad dengan kerjasama Felo Penyelidik Utama ATMA, Prof. Dato’ Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Pensyarah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Dr. Norazuan Ibrahim. Kajian itu mendapat bantuan geran $75,000 dari FRGS.
Laluan yang dijejaki sehingga kini ialah dari Pekan ke Kuala Bera dan Tasik Bera melalui Kg Tambangan, Kg Lubuk Lading sehingga ke Muar seperti yang diceritakan oleh penduduk tempatan.
Laluan itu juga melalui Bahau, Negeri Sembilan serta tiga sungai ia itu Sungai Serting, Sungai Jempol hingga ke Sungai Muar. Laluan itu bukan saja digunakan oleh masyarakat tempatan tetapi juga oleh Siam dan penjajah British.
Bagaimana pun laluan itu kini semakin dilupai dan tidak digunakan lagi berikutan dengan pembangunan pesat hinggakan kesan-kesan sejarah dikawasan-kawasan terbabit semakin pupus.
Dr Asyaari kesal tidak adanya usaha untuk memulihara tapak warisan itu seperti yang terdapat di Muar yang telah menjadi tempat persinggahan yang popular satu masa dahulu hingga terkenal dengan aktiviti perdangan.
Laluan penarikan itu mempunyai kesan istimewa kerana bukan sahaja terkenal dari segi politik, budaya dan sosial malah pernah digunakan beberapa tokoh nasionalis.
Pahlawan Melayu, Mat Kilau pernah menggunakan laluan penarikan untuk pulang ke kampungnya di Pahang sebagaimana juga dihikayatkan bahawa pahlawan Hang Tuah juga menggunakannya sebagai laluan perjalanan dari Timur ke Barat.
Pedagang dan pengembara Islam juga menggunakan laluan untuk perluaskan ajaran agama Islam kepada penduduk setempat di kawasan laluan penarikan yang dilalui. Ini terbukti dengan adanya sebuah tapak lama surau di Kg. Serdang, Kuala Pilah yang membuktikan adanya kegiatan agama yang tersebar melalui laluan penarikan itu.
Malah penyelidik juga pernah menjumpai sekeping wang duit tampan dibuat dari logam di Tasik Chini yang dikatakan adalah wang perdagangan.
Walaupun dari kajian awal banyak maklumat dan dongengan yang didapati dari masyarakat orang Asli dan penduduk setempat namun ahli akademik selaku penyelidik harus dapat membedakan maklumat sahih dari yang palsu, kata Dr Asyaari.
Kajian itu akan juga menggunakan tenaga akademik dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan bagi melihat jajaran laluan yang digunakan menerusi sistem GIS untuk dibandidngkan dengan laluan jajaran yang sedia ada.
Beliau berkata penyelidik Barat tidak banyak memperkatakan tentang laluan penarikan ini dan kalau ada pun hanya secara sepintas lalu sahaja tanpa penjelasan sepenuhnya mengenai kegunaan jalan itu.
ATMA kini juga sedang menjalankan projek penyelidikan multi-disiplin mengenai seni tampak yang memperincikan mengenai bank data yang membabitkan kajian dari segi arkeologi, sejarah, geografi dan mengekalkan mutu warisan seni tampak.
Kajian seni tampak juga penting kerana ia berkaitan dengan banyak cabang seni merangkumi seni ukir, seni senjata, seni seramik, seni pahatan orang Islam di kawasan itu.
Dua kertas kerja mengenainya akan dibentangkan dalam sebuah seminar bulan depan yang akan memperincikan peranan seni tampak kepada masyarakat.
Pengkaji-pengkaji ATMA bertujuan dapat menjelaskan perkara sebenarnya tentang penemuan hasil dari kajian untuk tatapan masyarakat kerana ia adalah warisan negara yang perlu dipelihara.
Kita perlu aktif sebagaimana juga negara lain di Asia Tenggara melakukan pemuliharaan serta mengekalkan warisan yang ada untuk generasi akan datang, kata Dr Asyaari. ![]()







