Pelabuhan di Sungai Mas, Kedah wujud sebelum Melaka lagi

Isnin, 19 Julai 2010 17:26
Cetak PDF

Oleh Shahfizal Musa

BANGI, 19 Julai 2010 - Sungai Mas di Lembah Bujang adalah sebuah pusat perniagaan maritim dan pelabuhan tukar barang sejak abad ke-5, iaitu jauh lebih awal daripada peranan dimainkan Melaka pada abad ke-15.

Beribu-ribu artifak dari seluruh dunia dijumpai di kawasan itu oleh sekumpulan ahli arkeologi dan sarjana dipimpin oleh Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman. Artifak berkenaan menunjukkan Sungai Mas, 20 km dari Sungai Petani adalah sebuah pelabuhan tukar barang ketika zamannya lama sebelum Melaka menjadi pusat perdagangan di rantau ini.

Kerja-kerja menggali dan ekskavasi di kawasan itu dijalankan di antara 2005 hingga 2007 menjumpai bahan-bahan tertanam di bumi sekitar Sungai Mas adalah serpihan siramik dari China, Parsi, Asia Barat dan manik dari India.

Hasil penemuan itu dibentangkan oleh pelajar siswazah, Farhana Binti Abdullah di  Seminar Penanda Arasan Penyelidikan Arkeologi UKM dalam kertaskerjanya bertajuk  “Penemuan Siramik China di Lembah Bujang”.

“Siramik China adalah antara yang terbaik dan paling diminati. Kewujudan siramik China itu menunjukkan Sungai Mas menjadi pelabuhan persinggahan untuk pedagang dari seluruh dunia,” tambahnya.

Antara artifak ditemui adalah siramik dari Asia Barat bertarikh antara 800 -  1000 selepas Masihi dipercayai adalah pecahan kaca (disebut sebagai kaca Islam)  berwarna biru atau hijau.

Terdapat  juga siramik dari China dari Dinasti Tang  seperti peralatan batu dan di samping porselain dari Dinasti Ming dan Ching dalam penggalian pada 2005. Terdapat juga serpihan siramik dari Parsi dan Belanda.

Sungai Mas juga adalah pusat bagi pengeluaran manek kaca monokrom yang dikenali sebagai manek Indo-Pasifik di Asia Tenggara. Manek berasa dari India juga ditemui.

Prof Nik Hassan memberitahu beberapa candi yang juga ditemui di sepanjang sungai di Sungai Mas adalah untuk memenuhi keperluan rohani penduduk. Candi-candi itu didapati ujud sejak abad ke-6 menandakan kawasan itu sudah pun dihuni oleh manusia ketika itu.

Candi-candi itu didapati dibina daripada batu bata diperbuat daripada bahan tempatan menunjukkan penduduk ketika itu sudah pun ada kemahiran membuat bata.

Penemuan di Sungai  Mas menimbulkan perbinjcangan hangat di kalangan ahli arkeologi  kerana penyelidikan dan penggalian di Lembah Bujang dijalankan sejak lebih 100 tahun termasuk pada zaman penjajah. Persoalannya mengapakah penemuan itu tidak dihebahkan sepanjang masa itu.

Bagaimanapun, Farhana berkata Sungai Mas telah tidak diselidik secara lebih menyeluruh sehijggalah satu projek untuk menggali sebuah terusan dibuat pada 1980. Penggalian inilah yang telah membawa kepada penemuan beribu-ribu serpihan artifak dijumpai tertanam di situ.