Malaysia Mempunyai Pakar yang Cukup Untuk Melindungi Biodiversiti Negara kata Prof UKM

Selasa, 09 November 2010 18:42
Cetak PDF

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Saliman Leman


BANGI, 9 Nov. 2010 – Negara kini mempunyai kepakaran ahli sains dan penyelidik secukupnya untuk memelihara serta memanfaatkan kekayaan kepelbagaian bio tumbuhan dan haiwan yang terdapat dalam hutan belantaranya.


Professor Emeritus Dato’ Dr Abdul Latiff Mohamad dari Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi UKM berkata Malaysia sudah pun diakui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai salah satu daripada 12 buah negara terkaya dalam kepelbagaian bio di dunia.


Oleh sebab itu para saintis, pakar dan penyelidik patut melindungi, memulihara dan memanfaatkan “lubuk genetik”  yang tersimpan dalam berbagai jenis tumbuhan dan haiwan yang terdapat dalam hutan belantara negara untuk perubatan, makanan dan peninggalan warisan.


“Kerajaan telah menyediaakan dana besar untuk pendidikan dan para saintis, penyelidik dan pakar harus menyumbang kepakaran mereka terhadap pemuliharaan serta memanfaatkan harta karun ini untuk negara dan masyarakat,” kata ahli botani veteran itu yang memulakan kerjayanya sebagai seorang tutor di UKM pada 1975 sebelum menjadi seorang pensyarah pada 1979.


Dilahirkan di Kota Baru 62 tahun lalu, beliau telah menerima ijazah BSc (Kepujian) dalam bidang botani dari Universiti Malaya pada 1974, ijazah sarjana dalam jurusan Taksonomi Tumbuhan Tulen dan Gunaan pada 1975 dan ijazah PhD dalam Sistematik Tumbuhan pada 1978 kedua-duanya dari University of Reading, England.


Prof Latiff berkata Malaysia boleh memainkan peranan utama dibidang sains dan pemuliharaan biodiversiti di mana kaji selidik boleh merentasi sempadan merangkumi ASEAN, Persidangan Negara-negara Islam (OIC) serta negara-negara dunia ketiga.


“Kepelbagaian flora and fauna adalah suatu lombong bio dan harta khazanah bukan saja untuk negara tetapi juga dunia amnya.


“Misalnya, terdapat banyak bahan perubatan yang belum diketahui dari tumbuh-tumbuhan serta berbagai khazanah laut sekeliling termasuk batu karang yang boleh digunakan sebagai ubat contohnya deman malaria yang bukan hanya terdapat di sini tetapi juga di negara lain di dunia,” katanya.


Beliau waktu muda telah banyak menumpukan tenaga terhadadp penerbitan setiap hasil penyelidikannya tetapi kini telah mula berfikir bagaimana beliau boleh membayar balik budi kepada masyarakat, negara dan agama.


“Tidaklah adil bagi saya selepas dididik dan dilatih melalui dana kerajaan dan pembayar cukai, saya tidak membalas budi. Itulah sebabnya kenapa  saya perlu memberi perhatian kepada usaha memelihara biodiversiti negara serta memanfaatkan kekayaannya itu demi kebahgiaan masyarakat dan negara.” 


Beliau telah menerbitkan berbagai rencana dalam jurnal, bab-bab buku termasuk buku ‘meja kopi’ serta dalam perpustakaan virtual untuk memberi keterangan mengenai haiwan dan tumbuh-tumbuhan sebagai satu langkah jangka panjang untuk meningkatkan aktiviti ekopelancongan dan teknologi bio.


“Kita mahu lebih ramai pelancong kemari untuk melihat bunga gergasi Rafflesia, orang utan atau kera. Kita juga perlu melakukan lebih banyak kajian bio untuk mencungkil khasiat berbagai tumbuhan, haiwan, bakteria, kulat dan juga batu karang sebagai ubat bermacam penyakit. Kita harus memanfatkan organisma yang terdapat dalam negara kita dan dengan itu juga dapat membantu meningkatkan industri teknologi bio negara.”


Prof Latiff yang telah menyelia berpuluh-puluh penuntut di peringkat PhD dan sarjana serta sarjana muda dalam kerjaya selama 31 tahun berpendapat bahawa UKM sendiri mempunyai bilangan saintis, penyelidik dan pakar secukupnya yang mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan pakar luar negara, yang boleh melakukan penyelidikan teknologi bio terhadap khazanah hutan kita, khasnya di Sabah dan Sarawak sebelum hutan asli itu dicemarkan.


Oleh sebab itu, beliau telah banyak berjuang supaya setiap negeri mengujudkan hutan simpanannya dengan mewartakan sekurang-kurangnya sebuah hutan simpanan dalam setiap negeri, sama seperti mereka mahu memiliki universiti sendiri.


Serentak dengan itu usaha untuk mengenal pasti, menklasifikasi dan mengkatalogkan semua flora dan fauna yang terdapat di dalam hutan simpanan supaya kita tahu apa sebenarnya yang kita melindungi dan memelihara itu hingga mempunyai alasan kukuh untuk mengekalkan kesemua hutan simpanan itu, katanya.


Beliau gembira dengan usahanya hingga membawa kepada Kerajaan Perlis mewartakan hutan simpanannya pada 1998 sementara Kerajaan Pulau Pinang telah memulakan langkah untuk mewartakan Pulau Jerejak setelah menjadikan Pantai Acheh sebagai Taman Negara dan Bukit Panchor pula sebagai taman negeri. Begitu juga Kerajaan Kedah sedang mewartakan tiga kawasan hutan sebagai hutan simpanan negeri.


Prof  Dr Latiff telah menceritakan bagaimana suatu ketika dahulu beliau telah pulang ke Kota Baru Kelantan untuk mengumpul pokok-pokok untuk kajian. Kebetulan sedang mereka mengambil sejenis pokok untuk kajian, seorang makcik lalu berdekatan dan telah menanya mereka kegunaan pokok yang dicabut itu.


Wanita tua itu memberitahu mereka bahawa pokok itu dikenali orang di situ sebagai “kenerak” (atau Goniothalamus umbrosus - Annonaceae) yang boleh mencetuskan keguguran kandungan awal jika daun, ranting dan akar pokok itu direbus dan airnya diminum. 


Rakannya, Prof Dato’ Dr Laily bin Din, yang melakukankajian terhadap pokok itu telah mengenal pasti sebatian pokok itu yang dipanggil goniothalamin.


Seorang lagi rakannya, Prof Dr Azimahtol Hawariah Lope Pihie, menjalankan ujian sebatian ke atas tikus dan mengesahkan bahawa ia berkesan. Beliau kemudiannya berjaya menghasilkan satu ubat berkesan untuk mengubati barah payudara di peringkat awal. Ubat itu telah pun di patenkan oleh mereka.


“Tetapi publisiti mengenai penemuan itu oleh BERNAMA pada masa itu mungkin tidak bersesuaian kerana kebetulan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru saja mengumumkan dasar  Kerajaan mahu meningkatkan jumlah penduduk Malaysia ke 70 juta bagi menyokong proses industrilisasi negara.


“Teman-teman mengambil kesempatan mengejek kami tentang ubat kami bagi mengggugurkan sedangkan orang sibuk mahu lebih ramai anak!” ketawa beliau.


Tun Dr Mahathir mengumumkan dasar meningkatkan jumlah penduduk ke 70 juta bagi mengujudkan pasaran dalaman yang boleh membantu menggiatkan proses perindustrian, semasa berucap di perhimpunan agong Umno pada Sept, 1982.


Penemuan beliau mengenai khasiat afrodisiak Tongkat Ali (Eurycoma longifolia) hampir memupuskan pokok itu apabila ramai orang masuk  hutan mencarinya.


“Hampir semua pokok tongkat ali dalam hutan berdekatan telah dicabut orang, sehingga saya sendiri tidak dapat mencarinya.” Beliau bagaimana pun gembira hasil penyelidikan telah dimanfaatkan dengan ada kedai yang menyediakan “kopi  tongkat ali” dan sebagainya.


Prof Latiff berkata potensi perubatan daripada bahan biodiversiti adalah luas dan benar. Beliau berkata terdapat satu kes di mana seorang saintis barat pergi duduk bersama satu puak kaum asli di Thai Utara dan beliau mendapati kaum wanita puak itu menggosok sejenis daun ke dada untuk membesarkan payudara mereka.


Saintis itu membawa pulang daun itu untuk kajian dan menjumpai sebatian berkenaan dan telah dipatenkannya dan kini dipasarkan, tetapi saintis itu kini di dakwa oleh Kerajaan Thai.


“Anda boleh bayangkan betapa besar pasaran untuk ubat itu,” tambah Prof Dr Latiff yang telah menerbitkan beratus-ratus penerbitan, Beliau kemudian di anugerahkan D.P.S.K yang membawa gelaran Dato’oleh mantan Sultan Kelantan manakala UKM pula mengiktirafkan sumbangannya dengan memberikan gelaran Professor Emeritus pada 2008.


Beliau juga telah  menyandang pelbagai jawatan nasional seperti sebagai pengerusi WWF Malaysia dan  pengerusi Yayasan Pulau Banding.


Di peringkat antarabangsa, beliau pernah dilantik sebagai perunding selain fellowship penyelidikan seperti Fellow, Linnean Society of London; Fellow Academy Science Malaysia.


Beliau juga menjelaskan mahu terus berkhidmat selama dua tiga tahun lagi sebelum bersara terus untuk bermain dengan cucu-cucunya selain membuat kerja-kerja amal untuk NGO.


Beliau telah bersara daripada UKM pada June 2004 dan kini masih bekerja sebagai pensyarah kontrak. –


Prof.Emer. Dato’ Dr Abdul Latif Mohamad boleh dihubungi melalui Alamat e-mail ini dilindungi dari spambots. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk paparkannya atau Alamat e-mail ini dilindungi dari spambots. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk paparkannya

Tel: 603-8921 3110 

Berita Penyelidikan

Arkib Berita