Penyelidikan UKM Mendapati Ramai Remaja Ingin Berhenti Merokok Tetapi Gagal

Rabu, 08 Disember 2010 16:34
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI,  8 Dis. 2010 – Satu penyelidikan kualitatif pakar perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengenai tabiat menghisap rokok di kalangan remaja mendapati ramai daripada mereka cuba berhenti sehingga empat kali namun semua percubaan mereka itu gagal.

Dr. Hizlinda Tohid, pensyarah dan pakar perubatan keluarga, di Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Perubatan UKM, Cheras berkata hasil penyelidikan itu adalah selaras dengan kajian lain yang mendapati 78 peratus remaja yang berhenti merokok berbalik semula kepada tabiat itu enam bulan kemudian.

“Kebanyakan daripada mereka bergantung pada semangat untuk berhenti merokok tetapi jelas kadar kembali merokok yang tinggi itu menunjukkan strategi yang lebih berkesan perlu dirancang dan dilaksanakan,” katanya.

Satu kajian (Pemantauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006) menunjukkan 8.7% perokok semasa adalah remaja. Dalam pada itu kajian-kajian lain yang dijalankan disini antara 2000 hingga 2007 menunjukkan antara 30 hingga 37 peratus perokok adalah remaja, suatu peratusan yang lebih tinggi, manakala pada 1986 didapati 16.9 peratus dari perokok adalah remaja dan meningkat kepada 18.2 peratus pada 1999.

Hakikatnya ramai yang tahu akan bahaya menghisap rokok  - ada kira-kira 4,000 bahan kimia dalam asap rokok termasuk racun dan 40 kimia menjadi punca barah tetapi pengetahuan itu tidak berkesan sebagaimana juga kira-kira satu daripada setiap lima kematian di negara ini adalah kerana merokok.

“Namun remaja kita sering suka bereksperimen dengan merokok, mengambil dadah dan minuman keras. Malah ada yang mula merokok ketika masih baru berumur antara 12-14 tahun,” katanya.

Penyelidikan dijalankan oleh Dr Hizlinda itu tertumpu kepada keberkesanan strategi untuk menghentikan merokok dan halangan kepada usaha itu khususnya di kalangan remaja.

Beliau menjalankan penyelidikan itu sebagai disertasi yang dikemukakan untuk memenuhi sebahagian daripada syarat memperoleh ijazah Sarjana Perubatan (Perubatan Keluarga) UKM pada 2009.

Dr Hizlinda membuat kesimpulan bahawa berdasarkan penyelidikan beliau jelas usaha untuk menghentikan tabiat merokok di kalangan remaja kita adalah satu proses yang  kompleks.

“Bukanlah mudah untuk berhenti daripada merokok dan kekal menghindarinya kerana ketagihan kepada nikotin di dalamnya. Ia adalah sama ketagihannya seperti kokain dan heroin apatah lagi menghisap rokok adalah sejenis dadah pelepas gian,” katanya.

Dalam penyelidikannya, beliau mengkaji persepsi 40 orang peserta terdiri daripada 24 remaja (perokok, bekas perokok dan belia tidak pernah merokok), lapan orang guru dan lapan orang doktor mengenai strategi berhenti merokok yang dijalankan kini.

Dr. Hizlinda mengumpulkan data-data melalui pertanyaan, lima temu ramah berkumpulan dan empat temu ramah mendalam.

Hasil temu ramah itu kemudian dianalisis dengan penyelidikannya itu menggunakan Teori Kognitif Sosial sebagai kerangka teorinya.

Pada amnya, sebilangan remaja terlibat, guru sekolah dan juga doktor yang ditanya mengenai punca kegagalan itu memberikan pelbagai halangan yang dapat dibahagikan kepada tiga kategori.

Pertama faktor kelakuan iaitu yang berkaitan dengan ketagihan nikotin dan psikososial pergantungan kepada rokok. Kedua faktor persekitaran yang berkaitan dengan para remaja yang menggalakkan mereka untuk merokok dan faktor ketiga adalah peribadi remaja itu sendiri yang menyebabkan mereka menjadi tegar untuk berhenti merokok.

Beliau menekankan menghisap rokok adalah satu tabiat membawa kepada  ketagihan, merosakkan dan berbahaya. Sebenarnya ia adalah suatu penyebab kematian dan kemudaratan yang boleh dielakkan.

Walaupun begitu banyak penyelidikan menunjukkan hakikat merokok masih diamali dan dianggap sebagai satu perbuatan diterima masyarakat.

Kebanyakan perokok sedar akan kesan membahayakannya tetapi mengetahuinya saja jelas tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan dalam kempen menghentikan tabiat itu.

Penyelidikan dan strategi kempen anti-merokok ditumpukan kepada mencegah dan menghentikan merokok di kalangan dewasa dan bukannya remaja.

“Oleh itu lebih banyak penyelidikan inovatif demi menghentikan tabiat merokok di kalangan remaja diperlukan untuk memastikan keberkesanan strategi dijalankan,” katanya.

Sebab lain untuk menghentikan merokok ialah menjimatkan wang, kemerosotan dalam prestasi kesukanan atau lakonan, penolakan kumpulan sebaya, keluar dengan pasangan bukan perokok, larangan ibu bapa dan melihat orang lain yang diserang penyakit berpunca daripada merokok.

Remaja perempuan pula memberi alasan penolakan oleh teman lelaki, orientasi masa depan dan larangan ibu bapa. Dr Hizlinda mendapati semua remaja terlibat mendakwa mereka tidak pernah menerima sebarang bantuan profesional ketika berusaha berhenti merokok.

Kebanyakan daripada mereka juga berkata mereka mendapatkan nasihat rakan-rakan mengenai cara berhenti merokok dan di antara cara biasa dicuba adalah meminum banyak air, mengunyah chewing gum dan makan gula-gula.

Dr. Hizlinda mengemukakan satu senarai cadangan berupa strategi menyeluruh dan holistik dalam usaha menghentikan tabiat merokok di kalangan remaja untuk menjamin kejayaannya. 

Dr. Hizlinda lulus ijazah Sarjana Muda Perubatan, Sarjana Muda Pembedahan (MBChB) di Universiti Manchester, United Kingdom pada 2000 dan ijazah Sarjana Perubatan  (Perubatan Keluarga) UKM, 2010.


Dr. Hizlinda adalah anggota Akademi Persatuan Pakar Perubatan Keluarga dan anggota Persatuan Perubatan Malaysia.

Beliau boleh dihubungi di Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Perubatan UKM, Cheras telefon: +603-91456119