Oleh Siti Madihah Ahmad Mahir Pelajar Latihan Industeri dari UiTM
BANGI, 24 Jan. 2011 – Pelajar daripada aliran pengajian Sains Tulen didapati mempunyai tahap komitmen yang paling rendah terhadap alam sekitar jika dibandingkan dengan pelajar aliran pengajian Profesional dan Sains Sosial.
Oleh kerana tahap komitmen terhadap alam sekitar mempengaruhi tingkahlaku mesra alam, maka pelajar aliran Sains Tulen juga didapati mempunyai tahap tingkah laku mesra alam sekitar yang paling rendah berbanding dengan pelajar kedua-dua aliran pengajian yang lain itu.
Rumusan ini adalah dari hasil kajian oleh seorang pelajar Sarjana Psikologi Pendidikan dari Fakulti Pendidikan UKM, Tan Pei San dengan bantuan pensyarah fakulti tersebut, Profesor Madya Dato’ Dr Norzaini Azman.
Kajian itu telah dijalankan ke atas 360 pelajar prasiswazah tahun akhir daripada ketiga-tiga aliran pengajian di UKM menerusi kaedah soal selidik.
Pelajar-pelajar itu dipilih dari lima fakulti yang dikategorikan dalam ketiga-tiga aliran pengajian iaitu Fakulti Sains dan Teknologi (aliran pengajian Sains Tulen), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (aliran pengajian Sains Sosial), serta Fakulti Pendidikan, Fakulti Undang-undang dan Fakulti Kejuruteraan (aliran pengajian Profesional).
Komitmen terhadap alam sekitar ialah sikap memberikan sepenuh tenaga, perhatian dan sokongan kepada isu yang bersangkutan dengan alam sekitar.
Komitmen terhadap alam sekitar dikaitkan dengan pendirian seperti kepercayaan bahawa kesejahteraan alam sekitar mempengaruhi kesejahteraan diri, kesedaran untuk merancang sesuatu dengan mengambil kira kesannya ke atas alam sekitar dan rasa senang hati terhadap perkara-perkara yang boleh memanfaatkan alam sekitar.
Tingkah laku mesra alam sekitar dalam kajian itu merujuk kepada amalan penjagaan alam sekitar oleh responden.
Ia dinilai berdasarkan kekerapan responden mengamalkan perbuatan mesra alam seperti mengasingkan bahan buangan untuk tujuan kitar semula, tidak menggunakan bekas polisterin ketika membeli makanan, menjimatkan penggunaan air dan elektrik serta mengelakkan dari menggunakan kenderaan sendiri tetapi banyak menaiki kenderaan awam atau berkongsi kenderaan.
Hasil kajian ini menyokong satu kajian lain sebelumnya yang dimuatkan dalam Journal of Environmental Education pada tahun 2000 yang mendapati pelajar bidang berkaitan teknologi mempercayai bahawa teknologi dengan sendirinya mampu menyelesaikan masalah alam sekitar.
Namun begitu Tan tidak dapat memastikan adanya trend demikian itu. Beliau mencadangkan kajian lanjutan diadakan untuk mengenalpasti kenapa ujud pandangan demikian dikalangan pelajar sains tulen.
Kajian bertajuk Hubungan Antara Komitmen Terhadap Alam Sekitar dan Tingkah Laku Mesra Alam Sekitar itu mencadangkan kurikulum berkaitan alam sekitar bagi pelajar aliran pengajian berbeza itu dikaji semula memandangkan ia tidak dapat memupuk tingkahlaku yang konsisten dalam penjagaan alam sekitar.
Pengkaji turut mencadangkan usaha pembentukan komitmen yang tinggi terhadap alam sekitar dilakukan melalui aktiviti seperti kempen kesedaran, program gotong-royong dan penyediaan kemudahan seperti tong kitar semula yang mencukupi.
Media juga perlu memainkan peranan menerusi penyiaran rancangan dokumentari atau penerbitan bahan bacaan yang menyentuh isu-isu alam sekitar untuk berterusan mendidik masyarakat mengenainya.
Hasil kajian ini telah dibentangkan di Persidangan Etika dan Profesionalisme Antarabangsa (ICEP 2010) yang berlangsung di sini awal bulan lalu. ![]()