UKM tawar Zamalah Jayakan Program Kerajaan Menambah Penyandang PhD

Isnin, 18 April 2011 00:00
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir


BANGI, 18 April,2011 - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berharap untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 5,000 lulusan  PhD menjelang tahun 2015 sebagai sumbangan kepada usaha menjayakan Program MyBrain15 kerajaan bertujuan melahirkan 60,000 pemegang ijazah kedoktoran itu pada tahun 2020.


Sejajar itu, UKM telah mengatur beberapa strategi bagi mencapai matlamat itu termasuk menawarkan lima jenis zamalah, melakukan tranformasi terhadap beberapa fakulti serta menubuhkan pusat pengajian luar pesisir.


Pengarah Pusat Pengurusan Siswazah, Prof Dr Aini Hussain berkata Program MyBrain15 merupakan salah satu agenda kritikal dikendalikan Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha mencapai Wawasan 2020.


Antaranya Kerajaan telah merangka beberapa pelan transformasi termasuk Pelan Transformasi Ekonomi(PTE) yang menggariskan model ekonomi baru berasaskan inovasi.


Program MyBrain15 menawarkan MyPhd, MyMaster, PhD Industri dan Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI). Ia adalah salah satu agenda kritikal negara yang bermatlamat untuk mewujudkan kelompok sumber manusia yang berpengetahuan tinggi sebagai pemangkin kepada penyelidikan dan inovasi.


“Seiringan dengan itu, UKM mensasarkan 15,000 pelajar siswazah yang berdaftar menjelang 2015,” katanya.


Untuk itu UKM kini menawarkan lima jenis Zamalah iaitu Zamalah Perdana UKM, Zamalah Universiti Penyelidikan, Zamalah Universiti Kebangsaan Malaysia,  Zamalah Geran Penyelidikan dan Zamalah Dana Operasi Universiti Penyelidikan (OUP) sebagai sebahagian strategi mencapai matlamat itu. Sejumlah RM5 juta diperuntukan untuk zamalah itu tahun ini.


“Skim Zamalah Perdana UKM baru diluluskan Majlis Pengurusan Universiti (MPU) dan iklan untuknya dijangka dikeluarkan dalam tempoh terdekat untuk pengambilan Sesi 2011/2012,” katanya.


Kini seramai 3,160 pelajar sedang mengikuti pengajian peringkat PhD di UKM.


“UKM meletakkan harapan yang tinggi dan berkeyakinan bahawa rancangan kami ini adalah realistik dan boleh dicapai,” kata Prof Aini.


Semua pelajar sepenuh masa penyelidikan di UKM layak memohon mendapatkan bantuan di bawah skim-skim zamalah itu yang merangkumi semua bidang dengan keutamaan diberikan kepada bidang yang memperkasa  lapan nic penyelidikan UKM.


Dalam usahanya mencapai sasaran itu strategi UKM ialah juga melakukan transformasi terhadap beberapa fakulti supaya lebih menjurus kepada program-program siswazah, tambah beliau.


“Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa) dan Pengurusan Pusat Pembangunan Siswazah telah mengenalpasti fakulti yang akan menjurus kepada program pengajian siswazah.


“Kelompok fakulti yang menjurus siswazah perlu mensasarkan pendaftaran pelajar siswazah (70%) dan prasiswazah (30%) dengan pelajar prasiswazah dijadikan feeder kepada program-program siswazah fakulti.


Fakulti itu terdiri dari Fakulti Perubatan, Fakulti Pendidikan dan Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina berdasarkan statistik 2010. Fakulti lain perlu mensasarkan kepada nisbah 50:50 menjelang 2015.


UKM kini mempunyai 14 institut dan Graduate School of Business (GSB) yang menjurus kepada 100% pelajar siswazah dalam program mereka.


“Menjelang 2015, semua fakulti disasarkan mempunyai sekurang-kurangnya nisbah 50-50 untuk pelajar siswazah dan prasiswazah dengan tiga fakulti mempunyai nisbah 70% pelajar siswazah dan 30% prasiswazah,” katanya.


Mengenai penubuhan pusat pengajian pesisir pantai, beliau menjelaskan ia dimulakan dengan meningkatkan perjanjian kerjasama pendidikan (PKP).


Sehingga kini UKM telah berjaya menjalankan beberapa kerjasama pendidikan dengan beberapa Universitas di Indonesia melibatkan Fakulti Pendidikan, Fakulti Sains dan Teknologi dan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan.


Terkini Fakulti Undang-Undang (FUU ) telah mengadakan program kerjasama PhD dengan  Universiti Hunan di China.


Untuk MyPhD dan MyMaster, ia tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.


Calon sasaran adalah seperti berikut:  Graduan yang belum bekerja dan tidak berpendapatan tetap; Kakitangan Swasta atau Pensyarah IPTS.



Program MyBrain15 pemangkin penyelidikan dan inovasi

Program MyBrain15 adalah salah satu program agenda kritikal di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Matlamat program adalah untuk mewujudkan kelompok sumber manusia yang berpengetahuan tinggi sebagai pemangkin kepada penyelidikan dan inovasi.


Ini adalah penting bagi memastikan usaha Kerajaan untuk menjadikan pembangunan ekonomi berteraskan inovasi dapat dicapai dengan jayanya. Di bawah program ini, Kerajaan mensasarkan untuk mencapai sebanyak 60,000 pemegang PhD di kalangan rakyat Malaysia. Program yang ditawarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi adalah MyPhD yang terbuka kepada semua graduan yang layak dan kakitangan sektor swasta.


Objektif program ini adalah untuk meningkatkan jumlah kumpulan tenaga kerja profesional tempatan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi berteraskan inovasi dan kreativiti yang mampu menjana pertumbuhan sektor ekonomi dan industri tempatan.


Program MyMaster pula merupakan feeder kepada program pembiayaan pengajian di peringkat PhD iaitu MyPhD. Objektif program ini adalah untuk merangsang dan menggalakkan graduan yang berkaliber meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi dalam bidang-bidang yang penting selaras dengan agenda pembangunan negara.


Program ketiga ditawarkan adalah PhD Industri memberi tumpuan kepada para profesional dan pengamal industri dalam menghasilkan inovasi dan meningkatkan daya saing melalui penyelidikan berasaskan industri.


Program ini juga adalah insentif Kerajaan untuk menggalakkan perkongsian pengetahuan antara pengamal industri dan ahli akademik dalam melahirkan profesional yang berpengetahuan tinggi.


Di bawah Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI) tumpuan diberikan kepada usaha meningkatkan kualiti tenaga pengajar di IPTA selaras dengan objektif PSPTN iaitu “Memperkasa Institusi Pengajian Tinggi”.


Kerajaan mensasarkan 75% pensyarah berkelayakan PhD atau setaraf di IPTA bertaraf Universiti Penyelidikan manakala sebanyak 60% di IPTA lain di bawah Rancangan Malaysia Ke-10. Pengajian ini terbuka kepada pensyarah/ tutor/ fellow yang berkhidmat di IPTA sahaja.


Pihak kementerian juga telah menggariskan 14 rancangan tindakan yang harus diusahakan oleh universiti. 


Tindakan itu adalah:

· Menggalakkan kolaborasi penyelidikan di kalangan pelajar Malaysia dan antarabangsa di universiti penyelidikan.

· Menawarkan program PhD dalam bidang-bidang perintis sains dan teknologi serta memfokuskan penyelidikan yang bersifat indigenous.

· Mewujudkan kaedah program Phd bukan-konvensional seperti program penyelidikan gunaan berdasarkan industri.

· Mewajibkan nisbah penyelia: pelajar PhD kepada 1:5

· Mewajibkan pengalaman penyelidikan di makmal luar negara kepada pelajar PhD (bagi bidang pengajian yang relevan).

· Mengusahakan kolaborasi dengan industri bagi memberi pengalaman kepada ahli akademik agar penyelidikan dijalankan relevan dengan keperluan dan fokus industri.

· Mewujudkan kolaborasi antara universiti dan makmal penyelidikan komersial di sektor swasta dan institut penyelidikan.

· Memberi insentif kepada ahli akademik yang berjaya mengkomersial dan mempatenkan produk.

· Memastikan penyelia PhD mempunyai kompetensi penyeliaan yang tinggi.

· Mengambil pelajar cemerlang dari seluruh pelusuk dunia untuk pengajian PhD di IPT Malaysia.

· Mengambil profesor tersohor dunia sebagai staf universiti untuk menarik lebih ramai pelajar terbaik dunia mengikuti pengajian PhD di Malaysia.

· Menetapkan sasaran bilangan pelajar PhD, bilangan paten dan pengkomersialan produk yang jelas.

· Memberi penekanan bermakna kepada penerbitan berwasit dan output penyelidikan yang boleh di paten dan dikomersialkan (untuk disiplin yang relevan) sebagai kelayakan kenaikan pangkat.

· Membiayai penyelidikan berimpak tinggi yang boleh menghasilkan penemuan dan ciptaan penting dengan tujuan meraih hadiah-hadiah berprestij dunia, seperti Hadiah Nobel pasca 2020.


Walaupun kerajaan melalui KPT, JPA, MARA dan Mosti telah memberi bantuan biasiswa dan dana untuk tujuan pengajian pasca-siswazah kepada graduan Malaysia, namun angka petunjuk bagi Penyeldikan dan Pembangunan (R&D) negara masih jauh terkebelakang berbanding beberapa negara pesaing.


Bagi penerbitan dalam bidang Sains dan Teknologi dalam jurnal berwasiat, Malaysia berada di kedudukan terbawah berbanding dengan Taiwan, Korea, Finland dan Siingapura iaitu sebanyak 993 penerbitan.


Malaysia juga berada di tempat terbawah berbanding negara-negara itu di segi bilangan paten, di mana hanya 98 paten dianugerahkan pada 2006.


Lantas Malaysia berhasrat menjadi pelopor dan perintis dalam bidang kritikal seperti bio-teknologi, sains bio-perubatan, Hab Halal dan Kewangan Islam.


Justeru itulah bilangan pemegang ijazah PhD negara perlu ditambah memandangkan 8,000 penyandangnya pada masa ini tidak akan dapat menyokong keperluan
negara dalam pembangunan bidang-bidang kritikal tersebut, menurut pandangan Kementerian Pelajaran Tinggi. 

Berita Penyelidikan

Arkib Berita