Stesen Kerja HIRAPS Mudahkan Doktor

Syafawati
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Ahmad Mahyudi Zainoldin


BANGI,  1 Dis. 2011 – Sebelum merekacipta BRIM Binder khusus untuk menyekat pendarahan teruk mangsa nahas jalan raya, Profesor Madya Dr Ismail Mohd Saiboon dan tiga lagi rakannya sudah pun merekabentuk sebuah alat inovasi untuk digunakan di Jabatan Kecemasan.

HIRAPS, iaitu Sistem Pemulihan Pernafasan Berintegrasi di Hospital, dicipta oleh Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan UKM, Cheras itu bersama Prof Dato’ Dr Mohamad Abdul Razak, pegawai pembantu perubatan, Bala Krishnian a/l Muniandy dan Pengurus Kejuruteraan PPUKM, Azizi Mustafa.

Dr Ismail yang juga Pakar Perunding Perubatan Kecemasan dan Pakar Bedah Trauma (Ortopedik) memberitahu Portal Berita UKM bahawa HIRAPS sudah pun dipatenkan. Beberapa hospital dalam negara juga telah memesannya.

Beliau bekata HIRAPS adalah suatu stesen bekerja yang mempunyai peralatan yang digunakan untuk merawat pesakit dalam keadaan tenat atau nazak.

“Ia sudah pun dipasang di Jabatan Kecemasan PPUKM dan telah digunakan.” HIRAPS sebenarnya adalah inovasi mereka yang pertama dengan BRIM Binder yang kedua.

HIRAPS direkacipta sejak 2004 dan telah pun memenangi beberapa anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ia didapati amat berguna untuk pesakit dalam kecemasan yang dibawa masuk ke jabatan kecemasan.

“Selalunya kita kena bekerja dengan pantas untuk mendapatkan alatan dengan cepat. Jadi HIRAPS menukar konsep peralatan yang diperlukan yang sebelum ini disusun secara horizontal atau mendatar kepada sistem di mana kita mendapat alatan itu secara mencancang iaitu secara vertikal.

“Dengan ini kita dapat meluaskan kawasan bekerja di bahagian kecemasan dan membolehkan doctor dan petugas lain lebih mudah bergerak. Jadi tidak berlaku perlanggaran, kadang-kadang tercucuk jarum dan sebagainya. HIRAPS ini membolehkan kawasan kerja dapat disediakan dengan lebih teratur dan tersusun. Ia sesuai digunakan untuk kawasan-kawasan yang kecil.

“Ia boleh diibaratkan sebagai mengubah konsep rumah teres kepada kondominium apabila kawasan tanah tidak besar dengan membina rumah secara vertikal. Itulah konsep HIRAPS,” kata Dr Ismail.

 
Beliau menjangkakan sesebuah stesen kerja HIRAPS akan dipasarkan dengan harga dalam lingkungan RM55,000.

Satu lagi produk yang sedang diusahakan oleh kumpulan ini adalah pembersih tangan (sanitizer).

Buat masa ini Ketua Pegawai Eksekutif Compleo Technology Sdn Bhd, Abdul Rahman Hisham yang mengurus produk baru dan inovasi Dr Ismail dan rakan-rakannya telah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat untuk mengeluarkan sanitizer itu, kata Dr Ismail. Compleo Tech adalah sebuah syarikat terbitan UKM.

Harga bagi sanitizer belum lagi ditetapkan kerana perjanjian di antara pembuat dengan Compleo masih belum termeterai.


Terakhir Dikemaskini pada Jumaat, 02 Disember 2011 15:18