Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Hairul Azmi Jahid
BANGI, 16 Dis. 2010 - UKM akan memulakan tujuh projek penyelidikan tumbuhan mikro alga, dengan harapan untuk mengkomersialkannya.
Mikro alga adalah sejenis tumbuhan yang membuat laut dan sungai menjadi hijau dan di anggap sebagai tumbuhan yang mampu menyelesaikan banyak permasalahan dunia sekarang kerana kegunaannya yang pelbagai.
Sekiranya ia dapat dikeluarkan dalam kuantiti yang banyak ia mampu menamatkan masalah kekurangan makanan dan memberi penyelesaian kepada permintaan tenaga yang semakin meruncing.
Empat memorandum persefahaman telah ditandatangani antara UKM yang di wakili oleh Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof Dr Sharim Hj Ahmad dengan Massey Univerity, New Zealand yang diwakili oleh Professor Yusuf Chisti.
Turut menandatangani LoI dengan UKM ialah Pahang Technological Research Sdn Bhd yang diwakili Sazali Mohd Nor; Oasis Biologics diwakili oleh Dr David Boey dan Seri Damai Land diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Normala Kahar.
Dengan termeterai keempat LoI itu penyelidikan dan kemungkinan untuk mengkormersialkan mikro alga akan dapat diterokai.
Antara penyelidikan yang akan dilakukan adalah impak mikro alga sebagai makanan ikan yang diternak di Tasik Chini untuk pembiakannya semula dalam tasik itu bagi mengatasi masalah kekurangan ikan di situ.
Selain itu alga mikro juga akan dibawa ke dalam sawah padi untuk menyuburkan lagi padi yang di tanam. Dianggarkan sebanyak RM50 juta diperlukan untuk menjalankan projek-projek tersebut dari perancangan sehingga ia dapat di komersialkan.
Di harapkan projek-projek itu dapat menjadikan Malaysia sebagai pembekal alga mikro ke dunia.
Turut hadir pada upacara itu adalah Prof Datuk Dr Mushrifah Idris, Ketua Pusat Penyelidikan Tasik Chini. ![]()