CESMED Bangunkan Instrumen Ukur Indeks Keusahawanan

Khamis, 12 Januari 2012 12:00
Cetak PDF

Oleh Radzuan Ghazali

BANGI, 10 Jan. 2012 - Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Perusahawan Kecil dan Sederhana (CESMED), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menyediakan satu instrumen mengukur indeks psikometriks keusahawanan secara on-line yang dinamakan PIKEN.

PIKEN yang dibangunkan oleh Felo CESMED, Prof Madya Dr Nor Aishah Buang dari Fakulti Pendidikan (FPEND) bertujuan mengukur nilai potensi keusahawanan dari aspek dalaman individu atau psikologi seseorang berasaskan kepada tiga dimensi iaitu sikap, pemikiran dan tingkah laku keusahawanan.

Pengarah CESMED, Prof Dr Mohd Fauzi Mohd Jani berkata PIKEN yang mula dibangunkan sejak 2003 telah beberapa kali diuji ke atas pelbagai kumpulan pelajar universiti dan orang dewasa.

Malah Perbadanan Pembangunan Multi Media (MDEC) telah menggunakan instrumen itu dalam program pre-seednya untuk memilih bakal peserta program yang layak sejak dari tahun 2007 hingga 2011. Ia juga telah digunakan beberapa Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) seluruh Sumatera Indonesia dari tahun 2009 sehingga 2010.

Beliau menambah indeks psikometriks keusahawanan itu sesuai digunakan untuk mengukur nilai potensi keusahawanan individu sebelum menjadi usahawan selain tiga dimensi tersebut mempunyai ciri dalaman individu yang sudah sedia ada dan terbina sebelum menjadi usahawan.

Prof Mohd Fauzi berkata, ketiga-ketiga dimensi tersebut mempunyai peranan penting dalam menentukan sama ada seseorang individu mempunyai kesediaan dalamannya yang cukup mantap sebelum memulakan perniagaan dengan cekap dan jaya setelah menjadi usahawan.

Katanya, PIKEN bukan hanya memberikan indeks keusahawanan secara psikometriks tetapi telah menyediakan saranan selari dengan nilai indeks yang diperolehi.

"Saranan ini memberitahu apa yang harus dilakukan oleh individu tersebut untuk meningkatkan kesedian dalaman dari aspek pemantapan sikap, peningkatan kemahiran berfikir sebagai usahawan dan penambahan pengalaman yang sesuai sebelum menjadi usahawaan”.

Institusi-instiusi pengajian tinggi lain termasuk Kolej MARA, Politeknik, Kolej Komuniti, Kolej Swasta dan sebarang institusi keusahawanan digalak menggunkanan PIKEN untuk mengukur indeks keusahawanan pelajar-pelajar mereka", katanya.

Beliau berkata, data yang diperolehi boleh membantu mereka membuat perancangan program yang tepat bagi mencapai sasaran yang dikehendaki sesuai dengan dasar pendidikan keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi.

Mereka yang berminat menggunakan PIKEN boleh menghubungi Pengarah CESMED ditalian
03 - 89214880 atau Prof Madya Dr Nor Aishah Buang ditalian 019 - 3305709.

Beliau berkata CESMED telah menyedikaan laporan profil individu dan kumpulan yang mengandungi laporan individu, laporan statistik kumpulan, persembahan secara jadual dan rajah serta ramalan graduan yang akan memilih kerjaya sebagai
usahawan dan sasaran membuat keputusan.