Penerima Anugerah UNESCO Ikrar Pelihara Tasik Chini

Khamis, 26 Januari 2012 09:42
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Mohd Noor Ramly


BANGI, 24 Jan. 2012 – Ketua Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) UKM, Prof Dato’ Dr Mushrifah Idris berikrar memastikan tasik itu terus dipelihara dan tidak pupus seperti Tasik Mentiga yang sudah kering dan hilang daripada peta.

Pemeliharaan dan penyelidikan rapi perlu dilakukan di Tasik Chini kerana terdapat pembangunan pesat di situ seperti penanaman kelapa sawit dan pelbagai usaha perlombongan di situ yang boleh memberikan impak nyata, kata Prof Mushrifah, penerima Anugerah Hari UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) Malaysia 2011.

Beliau berkata kini apa saja logam berat yang tinggi harganya di pasaran seperti mangan dan kromium akan dilombong.

“Di sinilah letaknya cabaran kepada kami sebagai penyelidik. Kalau ada pihak yang hendak melombong, kita tidak boleh tegah. Tugas kami adalah memberitahu pelombong mengenai cara mengurangkan hakisan.

“Kini tiggal dua saja lagi tasik yang natural, Tasik Bera dan Tasik Chini. Tasik yang lain semuanya sudah ‘bungkus’. Ia mengikut umurnya. Jika ia tasik natural, makin lama makin tua. Jadi semakin lama ia banyak terjejas oleh penghakisan, pemendapan, jadi makin lama ia akan mendak jika kita tidak berusaha menjaganya.” kata beliau. 

Prof Mushrifah yang lulus ijazah sarjana muda dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) mendapat ijazah PhDnya dari King’s College, London dengan pengkhususan dalam bidang penyelidikan kadar penyerapan logam berat dalam tumbuhan.

Beliau berkata tidak ramai yang membuat kajian mengenai tasik.

Beliau juga adalah penyelidik pertama Malaysia yang mendapat Zamalah UNESCO untuk biotek pada 1998.

PPTC baru saja mendapat geran FRGS berjumlah RM550,000 dalam usahanya untuk mengekalkan Tasik Chini sebagai salah satu tasik di bawah simpanan bio UNESCO. Projek itu dikenali sebagai UNESCO Biosphere Reserve.

Malaysia adalah di antara 100 buah negara tersenarai dalam laman sesawang ‘manusia dengan biospera’. Lebih daripada 100 buah negara terlibat.

“Jadi banyak perkara yang kita sudah pelajari seperti Amalan Pengurusan Terbaik selain PPTC membantu kerajaan negeri cara pengurusan bidang itu”.

Prof Mushrifah berkata ECER (East Coast Economic Rim) telah memperuntukkan RM30 juta bagi membolehkan PPTC membina sebuah makmal hijau di tengah-tengah hutan, di tepi tasik.

Projek itu adalah di bawah Tasik Chini Development Project dan juga Tasik Chini Rehabilitation Project. Kini enam projek sudah selesai dijalankan di bawah East Coast Economic Development Council (ECERDC). Tumpuan mereka sekarang ialah untuk menyiapkan makmal itu.

Beliau menerangkan betapa pentingnya prasarana disediakan. “Kita ada saintis, kita ada kepakaran, tetapi kita perlukan peruntukan dan peralatan dalam usaha melahir serta membina satu generasi yang cenderong kepada bidang teknikal.

“Ini dengan sendirinya boleh menjadikan Tasik Chini pusat latihan di rantau Asia Tenggara kerana buat masa ini belum ada lagi pusat seumpama di rantau ini.

“Kita di pihak UKM menggembleng tenaga dan kewangan untuk menjaga dan mempertahankan kawasan-kawasan sekitar Tasik Chini supaya tidak menjadi macam Tasik Mentiga.

“Kita tidak mahu perkara demikian berulangan. Kalau kita tengok gambar lama, Tasik Mentiga semulanya adalah sebesar Tasik Chini, tetapi kini sudah kering.”

Beliau berkata apa yang dikaji di Tasik Chini, bukan sekadar untuk penyelidikan dan sains, tetapi untuk digunakan di tempat-tempat lain.

Hasil kajian boleh digunakan untuk menggubal prosedur-prosedur baru begitu juga Akta-akta “sebab kita tahu impaknya dari pelbagai sudut.

“Itu sebabnya kita kena berdamping dengan kementerian-kementerian untuk membimbing mereka apabila hendak melaksana sesuatu. Katakan mereka hendak mengubah peraturan atau panduan, mereka akan tercari-cari hendak mengubah daripada sudut apa. Jadi di sinilah tugas saintis membimbing mereka,” tambah beliau.

PPTC pernah mendapat bantuan RM6 juta daripada PETRONAS yang ingin melihat bagaimana ia mampu membersihkan cemaran petrokimia.

Ia menggunakan tumbuh-tumbuhan untuk tujuan itu dan mengkaji juga sama ada tumbuhan di kawasan Tasik Chini ada kegunaannya.

Pusat itu telah mencuba beberapa spesies pokok untuk mengkaji apakah ia dapat membersihkan hidrokarbon.

Prof Mushrifah juga kagum dengan orang asing yang bersedia duduk lam dengan orang Asli di negara ini. “Tetapi saya rasa orang kita yang tahu sepenuhnya bahasa Orang Asli, hanya seorang saja iaitu Prof Emeritus Dato’ Dr Hood Saleh.

“Beliau duduk dengan orang Asli, belajar dengan Orang Asli, faham budaya Orang Asli. Walaupun saya duduk bersama dengan mereka tetapi saya tidak ada kesempatan hendak diam lama bersama mereka.

“Lagi pun Prof Hood adalah seorang antropologis. Bidang saya sains keracunan dalam alam sekitar, iaitu eko-toksilogi. Jadi saya cuba pertahankan kawasan Tasik Chini daripada dimusnah oleh pembangunan,” katanya.

Zamalah yang diterima oleh Dr Mushrifah selama lapan bulan membawanya ke Paris. “Saya bernasib baik sebab sering pergi ke pejabat UNESCO. Akhirnya saya memperoleh pinjaman untuk bekerja selama lima tahun di ibu negara Perancis itu sambil menimba pelbagai pengalaman dan kemahiran,” katanya.

Prof Mushrifah berpendapat kini adalah mudah untuk ke Tasik Chini berbanding kira-kria 20 tahun lalu. Perjalanan dari ibu kota menaiki kenderaan hanya memerlukan kira-kira dua setengah jam saja.

Pengunjung dari Kuala Lumpur boleh melalui Lebuh Raya Karak dan terus ke Chenor ikut tepi jalan menuju ke Tasik Chini atau memasuki tasik melalui Gambang.

Mereka juga boleh ke Tasik Chini menggunakan Lebuh Raya SILK melalui LEKAS terus ke lebuh raya Kuala Pilah dan dari situ melalui jalan pintas dalam Felda Jengka, keluar ke Muadzam lantas tiba di Tasik Chini.