Tamu Laureate: Memperkasakan Wanita Melalui Keusahawanan

Rabu, 07 Mac 2012 17:02
Cetak PDF

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi


BANGI, 7 Mac. 2012 – Dengan wujudnya teknologi canggih sekarang suatu bentuk ekonomi baru kini sedang berkembang yang membuka peluang kepada sesiapa saja menjana pendapatannya sendiri tanpa perlu mencari kerja.

Demikian kata Tamu Laureate UKM Professor Muhammad Yunus yang yakin sesiapa sahaja mampu menjadi usahawan yang berjaya dengan dorongan dan bimbingan yang betul. Ini termasuk golongan miskin.

Beliau telah berucap dalam suatu bengkel untuk usahawan kecil wanita di sini baru-baru ini. Bengkel Wacana Bitara Srikandi itu di anjurkan Pusat Kepimpinan Wanita untuk membantu golongan wanita merealisasikan potensi mereka.

Prof Muhammad Yunus adalah pengasas Grameen Bank di Bangladesh yang dibangunkannya khas untuk menolong orang miskin termasuk pengemis mendapatkan pinjaman kecil untuk memulakan perusahaan kecilan sendiri. Usahanya itu jelas berjaya hingga beliau telah dianugerahkan Hadiah Nobel pada tahun 2006.

Kini beliau mengesyurkan sistem kapitalisme digunakan untuk membantu orang miskin dan terpinggir menjadi suatu gerakan yang beliau ingin merebak ke seluruh dunia.

Beliau menyamakan golongan miskin sebagai pokok bonsai. Benih yang ditanam tidak mengandungi sebarang kecacatan. Sebaliknya kerana pokok itu ditanam dalam pasu kecil, pokok itu hanya mampu membesar kepada had yang terbatas.

Demikian juga dengan golongan miskin. Mereka, katanya, tidak diberi ruang untuk melangkah lebih jauh. Ini bukanlah kesalahan mereka tetapi masyarakat tidak membuka peluang kepada mereka untuk merealisasikan potensi diri mereka.

Timbalan Naib Canselor (Hal–Ehwal Penyelidikan dan Inovasi ) Prof Dato’ Dr Rahmah Mohamed; Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita ,Prof Madya Dr Madeline Berma; usahawan wanita, pensyarah dan pelajar menghadiri acara itu.


Teknologi mencipta kebebasan

 

Dalam suatu perbualan dengan Portal Berita UKM kemudiannya beliau berkata mereka yang ingin membantu golongan itu harus mempunyai keikhlasan manakala cara pemikiran golongan miskin itu juga perlu diubah.


Biasanya terdapat berapa lapisan tanggapan dan perasaan takut yang menghalang orang miskin melakukan perubahan. Lapisan-lapisan itu perlu ditangani dahulu. 

Beliau menyorot kepada pengalamannya memulakan Grameen Bank. Ia telah mengambil masa yang lama untuk meyakinkan golongan miskin itu terutama kaum wanita bahawa mereka mampu menghasilkan pendapatan sendiri.

Pada mulanya tiada orang yang berani mengambil wang untuk memulakan projek yang memberikan pulangan kerana mereka tidak yakin pada diri sendiri. Jadi perasaan sabar amat diperlukan.

Hari ini, katanya, teknologi telah memungkinkan sesiapa saja dapat hidup bahagia tanpa mengira lelaki atau perempuan. Mereka boleh menjaga keluarga tanpa perlu terperuk di pejabat seharian. Mereka memiliki kebebasan untuk menjana pendapatan sendiri tanpa perlu bergantung kepada pekerjaan konvensional.

Beliau berkata dengan bantuan teknologi seorang akauntan, misalnya boleh menjadi seorang pakar yang menawarkan khidmatnya bukan sahaja di tempat permastautinnya tetapi kini dia sudah boleh memasarkan kepakarannya ke seluruh dunia.

Teknologi sudah mencapai satu tahap di mana seseorang itu boleh berhubung dengan dunia dan tidak lagi terbatas oleh lokasi geografi.


Memperkasakan Wanita

Prof Muhammad Yunus mengesyurkan kaum wanita mengambil peluang menyertai ekonomi baru ini.


Beliau berkata Grameen Bank telah membantu golongan miskin keluar dari kepompong kemiskinan. Ia membolehkan mereka meminjam wang untuk memulakan perniagaan yang dapat menjana pendapatan sendiri. Hampir kesemua peminjam itu telah membayar balik pinjaman yang mereka ambil.

Dari pengalamannya, beliau mendapati bahawa wanita yang menjalankan usaha itu telah menggunakan hampir keseluruhan pendapatan yang dijana untuk keluarganya manakala bagi kaum lelaki wang yang terhasil itu akan digunakan untuk diri sendiri dahulu sebelum diagehkan kepada keluarga.

Beliau dengan itu merumuskan bahawa meminjamkan wang kepada kaum wanita akan lebih memanfaatkan masyarakat berbanding dengan kaum lelaki.

Maka itu, Prof Muhammad Yunus berpendapat bahawa kaum wanita harus di perkasa dengan peluang menjana pendapatan kerana apabila mereka mendapat pulangan keluarga mereka yang akan mendapat manfaat.

Beliau sedar bahawa usaha memperkasakan kaum wanita akan mendapat tentangan. Biasanya ia ditimbulkan oleh kaum lelaki yang selesa dengan status quo yang menganggap kaum wanita adalah kaum yang harus patuh kepada perintah.

Bagaimana pun beliau agak terperanjat beberapa pertubuhan wanita mulanya turut menentang pandangannya untuk meminjamkan wang kepada wanita untuk dijadikan modal untuk menjana pendapatan.


Cabaran memperkasakan wanita

 

Usaha untuk memperkasakan kaum wanita supaya boleh menjana pendapatan sendiri mungkin dilihat sebagai suatu ancaman kerana di sebalik retorik memperkasakan wanita ada golongan yang tidak mahu melihat kaum wanita mara ke hadapan.


Prof Muhammad Yunus berkata tanggapan yang menghantui kaum lelaki bahawa kedudukan mereka akan terjejas kiranya wanita boleh menjana pendapatan yang lebih dari mereka adalah tidak berasas.

Dari pengalamannya di Grameen Bank, hubungan suami isteri menjadi lebih rapat apabila si isteri dapat menyumbang kepada pendapatan keluarga. Jadi ia sebenarnya telah menguatkan lagi institusi kekeluargaan dan bukan melemahkannya
.

 

Tradisi harus diberi Nafas Baru

Tradisi, katanya, sering menjadi batu penghalang untuk memperkasakan wanita. Kebanyakan tradisi berasal dari keperluan. Persekitaran yang membahayakan pada awal tamaddun manusia, mungkin telah memerlukan kaum wanita duduk menjaga anak-anak di dalam gua. Manakala kaum lelaki keluar memburu makanan.


Tetapi apabila persekitaran telah dapat dijinakkan teknologi peranan wanita juga harus berubah.

Prof Muhammad berkata tradisi adalah sesuatu yang hidup dan berkembang serta harus bergerak mengikut peredaran masa.

Jika dengan memperkasakan wanita usaha itu dapat pula membantu beribu-ribu keluarga keluar dari kemiskinan, tentunya ia harus dijadikan suatu tradisi baru.

Agama juga sering digunakan untuk menyekat kemaraan kaum wanita mengusahakan pendapatan sendiri walau pun agama bukanlah sebenarnya menjadi penghalang kepada kaum wanita mempunyai kewangan yang kukuh, kata Prof Muhammad Yunus.

Sebaliknya kaum lelakilah yang tidak ingin kehilangan status dominannya yang menjadi penghalang, tambah beliau.

Yang menjadi penghalang ialah tafsiran agama dari satu sudut pandangan sahaja. Beliau menyorot kepada Islam sebagai contoh. Sebelum kedatangan Islam kaum wanita tidak mempunyai hak ke atas harta pusaka tetapi Islam telah merobohkan tradisi itu.

Beliau menegaskan bahawa isu sebenar bukannya memberi wanita kuasa ke atas lelaki. Apa yang harus ditekankan adalah menggunakan keusahawanan dan kapitalisme untuk menyelesaikan masalah sosial.