
Setiap pagi, Dafrizal, pelajar PhD di Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, dengan penuh minat membaca akhbar-akhbar tempatan. Dia tidak membuang masa. Sebenarnya dia sedang menetili dan mengumpulkan data untuk kajiannya mengenai keganasan yang sedang melanda beberapa buah negara pada masa ini. Bagi Dafrizal, 35, yang lulus ijazah sarjana dua tahun lalu dari pusat pengajian itu, perjuangannya untuk mendapat kelulusan lebih tinggi menjadi mudah kerana dia ditawarkan menjadi pembantu penyelidik oleh penyelianya. Seperti pelajar Indonesia yang lain di UKM, Dafrizal, mendapati Malaysia amat mengalu-alukan pelajar asing. Apatah lagi dia amat serasi dengan banyak perkara di sini: bahasa, makanan, budaya dan banyak lagi. Daripada 13 fakulti dan 1 institut pengajian (Graduate School of Business) di UKM, pelajar antarabangsa yang kebanyakannya dari negara-negara Asia, Timur Tengah dan Afrika Utara tertumpu pada bidang kejuruteraan. Terkini, 22 peratus daripada pelajar pasca-siswazah berasal dari Indonesia dan Timur Tengah. Sejajar dengan aspirasi kerajaan Malaysia menjadikan negara ini hub pendidikan tinggi, kita sentiasa membuka pintu seluas-luasnya kepada pelajar asing dengan UKM menerima agak ramai juga golongan ini. Ia kini menjadi tumpuan pelajar dari 35 negara dengan sebahagian besar dari Indonesia diikuti Iran. Sekarang ini kira-kira 30 peratus daripada 9,725 pelajar adalah dari negara asing (2,214). Ia berhasrat menambah pelajarnya kepada 15,000 menjelang tahun 2015 dengan 40 peratus pelajar asing. UKM telah menubuhkan sebuah Pusat Pengurusan Pasca-Siswazah untuk menguruskan pengambilan yang bertambah itu. Pusat ini diketuai oleh Prof.Dato’ Laily bin Din sebagai pengarahnya. Berikutan inilah kita dapat melihat pelajar asing di sekitar pusat berkenaan bagi pelbagai urusan daripada soal akademik hinggalah hal-hal imigresen. Memandangkan Malaysia sebuah negara Islam pelajar dari Indonesia dan Timur Tengah tidak menghadapi masalah menyesuaikan diri mereka. Demi menjamin pendidikan bertaraf tinggi, Prof. Laily menegaskan antara langkah diambil adalah penelitian kebolehan pelajar mengikuti kursus-kursus pilihan mereka. UKM menyediakan pendidikan bermutu dan sebahagian daripada langkah menjamin dan mengekalkan mutu di kalangan pelajar antarabangsa adalah mereka dikehendaki mencapai tahap penguasaan bahasa Inggeris yang baik. “Pelajar asing juga dikehendaki mengambil metodologi kajian bagi meningkatkan pengetahuan mereka sebagai persediaan membuat kajian bertaraf tinggi,” kata beliau. Ini disokong oleh Dafrizal yang berkata: “Saya memperoleh lebih banyak pengetahuan dan wawasan melalui UKM memandangkan ia ada lebih daripada sejuta sumber akademik berupa koleksi buku, e-buku, risalah, e-risalah dan banyak bahan lain.” Hapsaneh, pelajar doktor falsafah dalam bidang psikologi dari Iran juga setuju bahawa UKM memang menyediakan pendidikan bertaraf tinggi. “Penyeliaannya cukup baik dan dengan sendirinya menjamin mutu,” kata beliau. Apa yang membuat kehidupan pelajar Iran itu lebih selesa adalah kemesraan dan sikap murah hati kakitangan dan tenaga pengajar fakulti. Sejajar tahap taraf yang tinggi itu, pelajar-pelajar PhD. UKM juga mengkehendaki pelajar PhD menerbitkan sekurang-kurangnya dua artikel dalam jurnal yang berwasit, manakala pelajar sarjana sebuah artikel. Dengan cara ini mutu penyelidikan mereka bukan saja dinilai oleh penyelia tetapi juga oleh tokoh-tokoh akademik dari luar. Pertembungan pelbagai budaya tidak syak lagi akan menimbulkan masalah. Bagaimanapun bagi Dato’ Dr Laily cabaran mengendalikan pelajar daripada latarbelakang budaya yang berbeza itu membolehkan beliau mencuba pelbagai pendekatan hasil pengalamannya. “Saya perlu menangani dan dalam pada itu mengetahui budaya mereka. Dalam tugas ini saya lebih bersikap terbuka. Kita perlu faham pelajar asing mempunyai masalah mereka sendiri selain hakikat sesetengahnya ada keluarga di sini yang harus diberikan perhatian,” ujar pengarah itu. Walaupun wujud perbezaan budaya di antara pelajar antarabangsa dengan pelajar tempatan, Dato’ Dr Laily berpuas hati dengan tahap kerjasama diberikan setiap kali pusat itu menganjur kegiatan. Ini termasuklah kegiatan pendidikan dan kebudayaan yang dilaksanakan demi meningkatkan mutu akademik pelajar dan bagi menjadikan pengajian mereka di UKM menarik dan penuh makna. Beliau setuju pada mulanya pelajar antarabangsa mengalami masalah sedang mereka cuba menyesuaikan diri dengan keadaan di sini. “Tetapi lama kelamaan mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik terhadap semua perkara termasuk pengajian dan dalam berurusan dengan orang tempatan,” kata Dr Laily. Dalam usaha untuk lebih rapat dan memahami pelajar asing dengan lebih baik lagi, Pusat itu merancang satu siri jamuan teh yang sudah pun dimulakan dengan pelajar dari indonesia diikuti dari Bangladesh. Bagi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa, tahun lalu UKM melancarkan satu kempen promosi yang gigih di 22 negara dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi. Bukan itu saja malah UKM juga menyediakan kemudahan-kemudahan kajian yang mencukupi dan bantuan kewangan seperti zamalah kepada pelajarnya, kata Dr Laily. Pusat bagi Pengurusan Siswazah juga menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar yang mahu mengambil bahagian dalam persidangan dan seminar antarabangsa. Pelajar pascasiswazah yang perlu ke seberang laut dan menemui profesor dalam bidang kajian mereka boleh juga mendapatkan bantuan. Pusat itu juga menganjurkan majlis malam budaya antarabangsa dan karnival sukan seperti futsal dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi. Sesuai dengan dasar kerajaan Malaysia mementingkan pendidikan pascasiswazah, UKM akan menaja Persidangan Antarabangsa bagi Pendidikan Pascasiswazah (ICPE) pada bulan November (2010). Lebih 500 pelajar pascasiswazah dan kakitangan akademik dijangka mengambil bahagian. Dato’ Dr Laily berkata sidang itu yang beliau turut menjadi pengerusi bersama, disokong oleh semua 20 universiti awam di negara ini.