
UKM mencipta sejarah melalui satu teknik baru mendapatkan urat untuk pembedahan yang dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Cheras yang bukan hanya mengurangkan masa pembedahan malah juga belanja dan kesakitan selain dari dapat mempercepatkan proses pemulihan pesakit.
Pembedahan bersejarah di negara kita ini dijalankan oleh pakar perunding bedah jantung juga pensyarah kanan, Profesor Madya Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman. Beliau melakukan pembedahan itu dengan menggunakan satu peralatan baru dipanggil Sistem Penggilingan Mikro Pembuluh (VMMS) yang dicipta oleh Dr Peter Hjc. Sporen dari Negeri Belanda.
“Apa yang menarik mengenai kaedah ini ia tidak memerlukan kamera, jadi ia agak murah. Ia begitu mudah kerana anda hanya perlu menarik urat dikehendaki kepada peralatan seperti sebatang besi yang disambung ke sebuah injak. Alat itu dimasukkan ke dalam paha dengan urat yang dikehendaki dimasukkan kedalamnya. Alat itu berputar untuk mendapatkan urat yang dikehendaki dari paha/kaki. Putarannya untuk memasukkan urat kedalamnya dikawal oleh sebuah injak kaki. Ia adalah ciptaan Dr Sporen tetapi dia memerlukan kita dan juga kepakaran kita sebagai pakar bedah jantung untuk menilai kegunaan peralatan itu, iaitu sama ada ia sesuai bagi mendapatkan urat yang diperlukan dan bagaimana alat itu boleh diperbaiki,” kata Dr Ramzisham.
Bagi mengetahui bagaimana kaedah baru ini digunakan dan sumbangannya kepada bidang pembedahan saluran jantung (bedah jantung dan paru-paru), anda perlulah memahami bagaimana satu pembedahan pintasan jantung dijalankan.
Pembedahan pintasan dan memotong urat
Pembedahan pintasan jantung dilakukan untuk pesakit-pesakit yang diserang sakit kerana urat menyalurkan darah ke jantung tersumbat. Kita bolehlah samakannya seumpama usaha canggih menggantikan satu saluran paip air tersumbat dengan paip lain. Apabila urat yang menyalurkan bekalan darah ke jantung (urat koronari) tersumbat akibat plak (timbunan lemak, kolesterol dan bahan lain) pengaliran darah akan tersekat. Ini akan memperlahan atau menghentikan pengaliran darah melaluinya ke jantung hingga membawa kepada sakit pada dada dan serangan jantung. Cara mengatasinya adalah dengan menentukan darah dapat disalurkan ke jantung bagi membolehkan pesakit hidup lebih lama.
Apa yang dilakukan oleh pakar bedah adalah mengeluarkan seutas urat dari peha/kaki lalu menggunakannya sebagai saluran baru untuk memintas urat koronari yang tersumbat itu. Dengan ini urat dari kaki/paha dijahit melintasi urat yang tersumbat itu. Urat diambil daripada kaki pesakit akan bertindak seumpama sebatang jalan baru melintasi jalan yang sibuk dan sesak.
Mengikut tradisi, proses memotong urat dari kaki/paha atau usaha mengeluarkan urat itu memerlukan bahagian belakang kaki dibelah agak panjang bagi mendapatkan urat berkenaan. Ini biasanya meninggalkan parut dari celah kelengkang sehingga ke buku lali. Anda bukan saja terpaksa melupakan impian untuk menyertai pertandingan ratu cantik tetapi proses mengeluarkannya amat sakit sekali. Pemulihan juga mengambil masa yang lama sebelum pesakit boleh berjalan semula.
Cara memotong bahagian dalam kaki ini juga boleh menyebabkan timbul kerumitan lain seperti jangkitan dan luka yang melarat terutama kepada pesakit yang mengidap kencing manis.

Gambar cara lama mengeluarkan urat kaki - Kulit, isi dan lapisan isi dipotong untuk mendapatkan urat berkenaan.
Jika berat badan pesakit berlebihan atau mengidap kencing manis dia menghadapi risiko kaki dipotong. “Apabila kaki dibelah ia boleh menimbulkan pelbagai masalah. Pesakit yang mengidap kencing manis berdepan risiko jangkitan, jika dia gempal kakinya mungkin terbelah dan luka berkenaan perlu dibalut selama sekurang-kurangnya sebulan dan ada kalanya ini boleh berakhir dengan kaki itu perlu dipotong,” kata Dr Ramzisham.
Dr Ramzisham baru-baru ini menunjukkan bagaiamana teknik VMMS dilakukan ketika dia membedah salah seorang pesakitnya. Tanpa membelah bahagian kaki sepanjang dua atau tiga kaki dengan menggunakan teknik baru ini beliau cuma perlu menebuk lubang dua sentimeter, pilih urat yang perlu dipotong lalu menggunakan alat VMMS untuk mengeluarkan urat itu dengan selamat.
Ini dilakukan dengan memasukkan urat yang sudah ditanda itu ke dalam sebuah motor mikro (alat seperti besi bulat) dengan pemotongnya sendiri. Motor mikro ini dipasang pada sebuah anjak kaki untuk mengawal kelajuan putarannya. Sebaik saja urat dikehendaki berada di dalam batang bulat itu, ia akan berpusing mengikut urat berkenaan hinggalah ke paras diperlukan lalu memotongnya. Apa perlu dibuat selepas ini adalah menarik keluar batang bulat itu dengan urat tadi berada di dalamnya.
Cara mudah menggambarkan apa yang berlaku adalah menganggap motor mikro itu sebagai sebatang penyedut minuman (straw) dan urat ibarat sehelai benang. Bahagian hujung benang itu dimasukkan ke dalam penyedut berkenaan sebelum penyedut ditolak dengan cara memutarnya sehingga seluruh benang telah dimasukkan. Motor mikro yang berputar di dalam kaki pesakit dengan urat di dalamnya mengelakkan urat daripada terjejas.
Seluruh proses memasukkan motor mikro ke dalam kaki dan mengeluarkannya semula dengan urat sekali memakan masa kira-kira dua minit saja. Salah seorang pesakit beliau yang baru saja menjalani pembedahan pintasan, Shahbuddin Yusof berkata beliau menjangka sudah tentu akan ada parut panjang dan akan berasa sakit. “Saya tidak mengalami semua itu. Ini amat baik sekali dan ia tidaklah sesakit yang saya jangkakan,” kata Shahbudin sambil turun dari katil untuk duduk di kerusi tanpa sebarang masalah.
Endokskop berbanding pemotong mikro mengeluarkan urat
Satu lagi teknologi yang sudah digunapakai selama beberapa tahun kebelakangan ini turut memerlukan sedikit saja pembelahan kaki untuk mendapatkan urat. Prosedur itu dikenali sebagai mendapatkan urat secara endoskop. Apa yang dilakukan pakar bedah adalah memasukkan sebuah skop dengan kamera kecil dan memerhatikan urat itu pada skrin tv untuk membantu mengeluarkan urat yang dikehendaki itu.
Mengikut kaedah ini satu urat di paha dikenalpasti diikuti dengan mencucuk dua tempat iaitu satu di celah kelengkang dan satu lagi di bahagian lutut. Selepas memotongnya urat itu ditarik keluar. Cara ini juga kurang sakit dan memendekkan masa pemulihan pesakit.
Jadi mengapa pula kita perlukan satu cara lain untuk memotong urat sedangkan menggunakan skop mengatasi kesan parut selain mengurangkan masa pemulihan bagi pesakit?
Dr Ramzisham menjelaskan bahawa cara menggunakan skop masih mempunyai risiko atau kerumitan lain. Tiga faktor menyebabkan VMMS lebih baik daripada penggunaan skop. Masa, belanja dan risiko.
“Menggunakan cara endoskop memerlukan kita memerhati skrin dan menyalurkan gas karbon dioksida. Memotong kulit dan isi mengambil masa setengah jam hingga sejam untuk mengeluarkan urat. Langkah memasukkan gas akan menyebabkan kaki pesakit membengkak sehingga ke paras celah kelengkang. Sekiranya gas diserap ke dalam badan ia boleh menyebabkan tekanan darah pesakit meningkat ketika pembedahan dan mengakibatkan pendarahan. Ini mungkin juga merosakkan urat dan boleh membawa maut,” kata Dr Ramzisham.
Semakin lama pembedahan itu berjalan maka lebih besar lagi risikonya kepada pesakit. Dengan endoskop biasanya ia mengambil masa sejam sedangkan menggunakan VMMS urat yang dikehendaki boleh dikeluarkan dalam masa dua minit saja. Ini adalah pengurangan sehingga lebih 90 peratus dari masa yang dihabiskan bila menggunakan kaedah endoskop.
Lebih selamat untuk pesakit
Dr Ramzisham merujuk kepada satu penyelidikan oleh Dr John H Alexander, seorang Profesor Madya di Universiti Duke, Amerika Syarikat yang diterbitkan pada 16 Julai, 2009 dalam keluaran New England Journal of Medicine yang mengaitkan kadar kematian yang tinggi bila memperolehi urat secara endoskop.
“Mengeluarkan urat secara endoskop menyebabkan pesakit kurang mengalami kejutan bermakna dia boleh pulih lebih cepat. Begitu juga parut pada kakinya kurang dan dia juga tidak perlukan masa lama dirawat di hospital. Tetapi apa yang berlaku adalah uratnya terganggu dan boleh sakit hingga melarat. Daya ketahanan urat yang dipotong juga boleh terjejas waktu mengeluarkannya,” kata Dr Ramzisham.
Ini menjadikan teknik VMMS lebih baik kerana urat terpelihara.
Pembedahan pintasan jantung lebih murah
Satu lagi kelebihan VMMS berbanding prosedur endoskop adalah kosnya yang lebih murah. Dr Ramzisham berkata kaedah ini juga mengurangkan trauma kepada pesakit membolehkan pesakit pulih lebih cepat dan boleh kembali cergas menjalani kehidupan. Dengan kosnya yang lebih murah pembedahan ini juga dapat diberikan kepada golongan miskin.
Berbeza dengan endoskop yang memerlukan satu set peralatan pakaibuang bagi setiap pembedahan, peralatan VMMS boleh digunakan berulangkali dengan penyelenggaraan yang minimum.
“Apa yang menarik mengenai kaedah mengeluarkan urat cara mikro ini adalah ia tidak memerlukan sebuah kamera, jadi ia begitu murah. Ia amat mudah saja iaitu dengan mengaitkannya pada urat dan putar anjak dan alat itu akan berpusing memasukkan urat kedalamnya dan memotong urat itu apabila ukuran urat yang dikehendaki sudah diperolehi.
“Peralatan itu juga boleh digunakan berkali tidak seperti kaedah endoskop dimana semua peralatannya dibuang selesai satu pembedahan, “ kata Dr Ramzisham.
Bagaimana ini berlaku dan apa selepas ini?
Ketika ini paten sistem VMMS dimiliki oleh Dr Sporen yang menemui Dr Ramzisham dan dua lagi pakar bedah untuk menguji dan meneliti sama ada ia sesuai digunakan bagi pembedahan pintasan.
“Alat itu adalah ciptaan Dr Sporen tetapi dia memerlukan kami dan kepakaran kami sebagai pakar bedah jantung untuk menilai peralatan ini sama ada ia sesuai dan bagaimana ia boleh diperbaiki. Untuk ini kami mengadakan bengkel di Bangkok dan mencubanya keatas mayat baru. Kami mengujinya ke atas lima tubuh manusia yang baru meninggal dan kemudian kami menghantar urat berkenaan ke makmal untuk mengetahui sama ada dinding dalam urat itu rosak atau tidak. Dalam pembedahan pintasan jantung adalah penting untuk memastikan bahawa urat yang digunakan kekal terpelihara bagi menjamin ia boleh bertahan lama,” tegas Dr Ramzisham. ![]()