
Oleh Abdul Ghani Nasir
Bangi , 18 Jun - Sektor pendidikan negara hendaklah berorientasikan kemahiran teknologi tinggi dengan lulusan yang mahir dan boleh digunakan bagi mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh kasar dan asing.
Cara ini membolehkan negara kekal pada tahap dan taraf ekonomi tinggi kata Timbalan Ketua Pengarah IPTA, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Profesor Dr Rujhan Mustafa.
Namun selagi wujud kekurangan pekerja dalam sektor yang memerlukan kemahiran tertentu maka tenaga pekerja asing khususnya pendatang terpaksa digunakan hingga menyebabkan pengaliran migran secara haram tidak mudah disekat.
“Walaupun syarat dan prosedur imigrasi yang ketat dilaksanakan, namun sebaliknya industri sangat memerlukan tenaga kerja yang murah ini,” kata Dr Rujhan ketika merasmikan seminar Migrasi, Keadilan Sosial dan Cabaran Pembangunan: Transformasi Perundangan dan Makenisme Penyelesaian Pertikaian Dalam Sektor Pekerja Asing di Malaysia, di sini kelmarin.
Seminar dianjurkan oleh Kumpulan Kolaborasi Kajian Migrasi & Penyelidikan Arus Perdana, Fakulti Undang-Undang UKM itu disertai 100 orang.
Sebagai negara maju di rantau ini, Malaysia, kata beliau lagi adalah pengimport pekerja asing yang terbesar dengan pekerja Indonesia golongan paling ramai.
Namun, di sebalik usaha membawa masuk pekerja secara sah, pengaliran pekerja tanpa izin melibatkan pemalsuan dokumen, pengubahsuaian data peribadi dalam pasport, surat dan permit kerja, sijil kelayakan bekerja dan seumpamnya terus berlaku.
Dr Rujhan berharap negara penghantar pekerja faham akan masalah berkaitan eksploitasi pekerja imigran ke Malaysia.
Masyarakat dan majikan juga tidak kurang menerima kesan daripada tindakan golongan pencari kerja asing itu yang didapati melanggar peraturan.
Kumpulan Kolaborasi Kajian Migrasi diusul secara bersama antara Fakulti Undang-undang UKM dengan Fakultas Hukum Universitas Indonesia pertengahan tahun lalu.![]()