Oleh Abdul Ghani Nasir
BANGI, 1 Julai, 2010 -- Mohd Akhbar Nizam, 17, masih lagi bersekolah dan dijadual mengambil peperiksaan SPM hujung tahun ini, tetapi kegiatan ‘merempit’ lebih memikat hatinya.
Akibat ajakan beberapa rakan sebaya, Akhbar yang menunggang motosikal yang dibeli oleh bapanya untuk bersuka ria dan akhirnya termasuk dalam golongan ‘mat rempit’ yang giat di kawasan Rawang.
Akhbar dan seorang rakannya Mohd Firdaus Ramli, 18, juga dari Rawang adalah di antara 30,000 mat rempit yang ‘meronda-ronda’ jalan raya kita.
Kedua orang pelajar ini tidak begitu pasti apakah mereka bersedia untuk mengambil peperiksaan SPM, tetapi apa yang pasti mereka sudah diterima mengikuti kursus di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan juga di Giat Mara yang membuka ruang pekerjaan bagi mereka.
Remaja ini boleh dikira beruntung kerana dipilih menyertai Kem Perkasa Remaja UKM sejak Mac lalu bersama 31 lagi remaja lelaki yang dipilih dalam satu program intervensi terhadap belia bermasalah yang mempunyai potensi untuk dimajukan.
“Saya tidak sangka selain mahir menunggang motosikal ketika merempit kami remaja sebenarnya turut berkemahiran dan hebat berkayak dan mengemudi kapal layar dalam keadaan mencabar,” kata Akhbar pada majlis penutup Sesi Kem, kelmarin (Isnin 28 Jun) setelah dia bersama rakan sebayanya mendendangkan lagu ‘Taubat’ yang dicipta khas menyatakan kesesalan mereka kerana merempit selama ini.
Ketua Program Kem Perkasa Remaja, Prof Madya Dr Rozmi Ismail yang dianggap sesetengah peserta sebagai ‘ayah’ mengulas: “Bukanlah mudah untuk mengubah tabiat manusia, tetapi dalam usaha ini saya kira kita berjaya mencapai 70 peratus .”
Bagi kumpulan remaja itu, sesi mengubah diri dan mengikis label “Mat Rempit” bermula pada 1 Mac, 2010 apabila mereka melaporkan diri di Kolej Pendeta Za’aba untuk Pra Kem berupa saringan membina profil psikologi dan fisiologi.
Ini diikuti dengan Ujian Pembangunan Kendiri dan Pembangunan dengan hari keempat dipenuhi aktiviti senaman aerobik , suaikenal dan riadah berupa permainan futsal dan bola tampar.
Sesi Perkhemahan iaitu sebanyak empat peringkat dimulakan dengan Kem Kesedaran dan Pembangunan Kendiri dan Kem 2 (Pengurusan Emosi).
“Dua kem ini berjaya membawa peserta mengenali profil diri, teknik komunikasi yang berkesan dan mengawal perasaan marah iaitu suatu perkara yang amat penting untuk aktiviti seterusnya,” kata Dr Rozmi.
Pada Kem 3, iaitu Pemerkasaan Kendiri, peserta dibawa ke Outward Bound School di Lumut dan di sanalah mereka menyertai ekspedisi berkayak ke Teluk Sekadeh iaitu menggunakan 20 kayak dalam bentuk formasi besar ketika berada di laluan kapal.
Peserta berlayar mengelilingi Pulau Pangkor ke Pantai Syawal sebelum berkhemah di tapak khas diikuti sesi berseorangan di dalam hutan bagi menguji ketahanan, kekuatan semangat terutama ketika menghadapi sesuatu di luar dugaan.
Pada Kem 4 di Nur Bukit Unggul, sesi menanam semangat dianjurkan bagi membolehkan remaja terlibat berkongsi pengalaman dengan ikon-ikon negara seperti Jeneral (B) Dato Seri Zaini Said, pahlawan negara yang terlibat dalam perundingan dengan sekumpulan orang bersenjata di Sauk,Grik; Khairol Daud, Presiden Kuala Lumpur Bike; bekas pelumba motosikal negara Wazi Abdul Hamid dan angkawasan negara Dato’ Dr Sheikh Muszaphar Shukor.
“Kem terakhir ini berjaya memberikan kesedaran positif dan memberi peluang remaja ini berkongsi pengalaman berguna khususnya bagaimana menjadi manusia yang berjaya walaupun tanpa kelulusan akademik yang tinggi.
“Perkara yang hendak ditanam oleh para ikon negara ialah semangat dan kemahuan yang tinggi untuk berjaya,” kata Dr Rozmi.
Apakah yang mendorong Dr Rozmi dan rakan beliau menumpukan masa dan perhatian bagi mengatasi masalah ‘Mat Rempit” ? Ini memandangkan ‘merempit’ hanyalah kegiatan sampingan tetapi ada gejala lebih besar tersembunyi di sebaliknya.
“Dadah, Minah Rempit dan wang taruhan ketika perlumbaan haram serta hadiah lain adalah tiga perkara yang menjadi ‘candu’. Ini kerana satu masalah boleh mendorong kepada masalah lain apatah lagi merempit berkait dengan bohsia dan jenayah rogol.”
Beliau dari Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, mengingatkan betapa bahayanya ancaman budaya merempit itu kerana fenomena itu sememangnya ibarat ‘tip of the iceberg’ dalam masalah sosial yang melibatkan remaja.
Beliau menjelaskan sikap tidak ambil berat ibu bapa membiarkan anak-anak berjinak-jinak menunggang motosikal serta penolakan masyarakat terhadap pelajar yang bermasalah – inilah antara faktor penyebab belia terlibat dalam kegiatan Mat Rempit.
Anak-anak yang merasai kurangnya pengawasan daripada ibu bapa itu akan cuba keluar dari rumah secara senyap-senyap atau berasa stres duduk di rumah akhirnya beraksi di jalan raya.
Mat Rempit yang bekerja pula biasanya mengubahsuai motosikal agar ia mampu memecut laju apatah lagi semakin banyak motosikal yang dicipta agar lebih laju.
Dalam mengkaji isu ini, apa yang sering ditonjolkan ialah kegiatan ganas Mat Rempit sebagaimana dilaporkan dalam media elektronik dan akhbar.
Di Bangsar, seorang gadis bisu dikerumuni dan dirompak 20 mat motor di sebuah stesen minyak; di Johor dan Kelantan ibu hamil mati kerana diragut mat motor.
Di Seberang Prai, Balai Polis Kubang Semang dibaling batu; seorang anggota polis cedera parah dan buta dilanggar mat rempit ketika operasi; di Selangor remaja perempuan 13 tahun mengadu dirogol dua mat rempit; Agus Asraf Sumarji, 21, mati akibat ditikam dengan senjata tajam setelah motosikalnya berlanggar salah seorang mat rempit kumpulan lain di stesen minyak Shell di Damansara.
Dr Rozmi berserta empat lagi penyelidik, Prof Madya Dr Rokiah Ismail; Prof. Madya Normah Che Din; Mohd Fauzi Sukimi dan Norhayati Ibrahim telah melakukan kajian Tingkah laku agresif dan aktiviti jenayah di kalangan Mat Rempit pada Februari 2008.
Antara lokasi dituju bagi temuduga bersemuka adalah Taman Tasik Titiwangsa, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Jalan Pasir Tumboh, Kelantan; Dataran Stadium Terengganu dan Dataran Menara, Alor Star.
Temuduga cara ini dijalankan terhadap 564 Mat Rempit di kawasan dikenalpasti sebagai ‘lubuk’ golongan berkenaan. Bagi melengkapkan lagi maklumat yang dikehendaki temuduga mendalam dijalankan terhadap 50 responden.
Kajian mendapati pertembungan nilai dan ideologi antara kelompok masyarakat seperti keluarga, sekolah, penduduk setempat dan pihak berkuasa dengan remaja sehingga wujud pelbagai tekanan, fahaman dan persepsi.
Krisis identiti dan pertembungan dengan konsep sesebuah masyarakat mewujudkan kelompok remaja yang sangat keliru, terumbang ambing dan bersikap mudah marah dan ganas “hostile”.
Kumpulan remaja yang membentuk geng tersendiri ini atau dipanggil ‘deviant cliques’ akan menjerumus kepada sikap agresif, anti-sosial tidak mementingkan pelajaran dan terjebak di dalam aktiviti berbaur jenayah.
Daripada segi profil pula, kajian itu menunjukkan lebih separuh daripada 564 rempit yang dikaji iaitu 327 orang berkelulusan SPM (58 %), 24 STPM (4.3%), 12 memiliki ijazah (2.1 %). Yang lainnya sama ada tidak bersekolah (9 orang) atau belajar sehingga UPSR (13 orang - 2.3 %) dan PMR (76 - 13.5 %).
Kajian itu juga mendapati seramai 46 (8.2%) daripada mereka menganggur, 43 orang bekerja sebagai budak pejabat, 36 pengantar surat, 37 kerja kilang, 51 mekanik dengan 119 lagi dalam berbagai pekerjaan lain dengan 135 lagi masih bersekolah dan 96 lagi pelajar IPT.
Mereka yang dikaji berumur antara 13 hingga 32 tahun dengan umur purata 19.88 tahun iaitu mereka yang seharusnya berada di kolej atau universiti.
Antara mereka seramai 549 adalah remaja Melayu (97.3%), 14 Cina (2.5%) dan seorang India. Hanya empat wanita terlibat dalam kegiatan merempit. Antara mereka itu 18 orang sudah berkahwin dengan 546 yang lain (96.8 %) masih bujang.
Remaja rempit ini membelanja antara RM500-RM1,000 bagi mengubahsuai bahagian seperti ekzos, karburator dan rim motosikal.![]()