Oleh Shahfizal Musa
( Lihat video - Proses pembesaran sel kulit dengan kadar yang lebih pantas setelah diasingkan dan ditambah dengan nutrien )
BANGI, 5 Julai 2010 – Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mencapai kejayaan baru dalam perubatan tumbuhsemula melalui satu kaedah pemuliharaan kulit menggunakan tisu dari pesakit sendiri. Usaha tumbuhsemula kulit ini boleh memberi faedah kepada mangsa kebakaran, pesakit kencing manis dan mereka yang menderita pemusnahan kulit yang teruk.
Dengan menggunakan teknologi tumbuhsemula ini kumpulan penyelidik UKM ini yang diketuai Profesor Dr Ruszymah Idrus, Ketua Pusat Kejuruteraan Tisu UKM, telah dengan jayanya menumbuhkan kulit manusia dimakmal menggunakan darah dan sel kulit pesakit itu sendiri. Usaha ini akan dapat membantu mangsa kebakaran dan pesakit kencing manis pulih lebih cepat sambil mengenepikan risiko penolakan tisu.
Inovasi dalam kejuruteraan tisu kulit ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila mereka memenangi Anugerah Pingat Emas Geneva di Pameran Antarabangsa Ciptaan, Teknik dan Produk Baru pada 2004. Kaedah yang menggunakan tisu dan darah pesakit sendiri ini telah dipatenkan sebagai ‘Kulitku’.
Sebuah makmal cGMP(Amalan Pekilangan Baik semasa) sedang dibina di UKM untuk membolehkan ujian klinikal ke atas manusia mulai tahun depan. Sebaik saja kaedah ini diluluskan ia akan tersedia untuk memberi faedah kepada pesakit yang mengalami kerosakan kulit yang teruk termasuk ramai pesakit kencing manis dan mangsa kebakaran.
UKM baru-baru ini telah memeterai satu perjanjian melesen dengan Cell Therapies Pty Ltd (CT) dari Melbourne, Australia untuk membolehkan ujian klinikal yang diiktiraf antarabangsa dapat dilakukan keatas Kulitku.
Prof Ruszymah dan ahli kumpulannya berjaya menggunakan kaedah baru ini dalam perubatan moden. Kaedah menggunakan dua lapisan penuh sebati ini ( “bi-layered fully autologous tissue engineered skin”) dipercayai adalah yang pertama di dunia.
“Terdapat banyak kulit pengganti di dunia tetapi setahu kami teknik kulit dua lapis dan cara memotong kulit yang baik daripada pesakit dan kemudian melalui kejuruteraan tisu membuat ia tumbuh di dalam makmal dan kemudian memindahkannya semula kepada pesakit berkenaan bagi menggantikan kulit yang rosak itu, adalah satu inovasi. Belum ada sesiapa membuatnya,” kata Prof Ruszymah.
Apa yang dimaksudkan dengan cara ini adalah kulit boleh ditumbuhkan untuk pesakit yang menderita akibat kebakaran teruk dimana sebahagian besar kulit telah terbakar.
Apa yang diperlukan hanyalah satu bahagian kecil kulit sihat daripada pesakit itu untuk proses pertumbuhan kulit. Dengan itu tidak perlu lagi mendapatkan sepotong besar kulit sihat yang masih ada untuk menutup luka.
Walaupun ada kulit pengganti lain di pasaran yang turut menggunakan sel-sel manusia tetapi ia tidak sebati sepenuhnya kerana menggunakan bahanbio daripada binatang sebagai kerangka membina kulit berkenaan.
Kulit pengganti ini biasanya menggunakan kollagen diambil daripada tikus, lembu atau babi. Bagaimanapun, Kulitku menggunakan darah pesakit sendiri sebagai bahan bio. Tinjauan di pasaran menunjukkan Kulitku lebih selamat dan tidak ada produk yang sama, kata Prof Ruszymah.
Sebati sepenuhnya: Daripada pesakit kembali kepada pesakit
Tidak seperti kulit diperbuat dengan cara lain yang biasanya menggunakan bahan tiruan atau tidak asli, Kulitku menggunakan organisma dari pesakit sendiri untuk menumbuhkan kulit baru dan kemudian ditampal semula kepada pesakit berkenaan.
Kejayaan ulung ini juga menepati kehendak agama Islam kerana kita mengunakan tisu dan darah pesakit itu sendiri dan bukan dari bahan dimana kesahihan halalnya diragui. Kaedah membuat kulit tiruan yang ada menggunakan kollagen, gelatin atau bahan lain yang diambil daripada binatang.
Dalam keadaan biasa ianya tidak menepati kehendak Halal. Tetapi apabila nyawa terancam ulama memutuskan bahan tiruan yang tidak sahih kedudukkan halalnya masih boleh digunakan apabila tidak ada pilihan lain.
“Dengan kaedah Kulitku sumber kulit boleh dikenalpasti dengan jelas. Tidak timbul persoalan kulit terlibat dicampuraduk dengan bahan tidak halal kerana ia datang daripada pesakit sendiri. Bagi kulit pengganti kami memastikan semua enzim dan kimia yang digunakan tidak berasal daripada binatang.
“Dengan inovasi ini kami berharap akan dapat menembusi pasaran halal dunia terutama di Timur Tengah, InsyaAllah,” kata Prof Ruszymah.
Beliau menyamakan apa yang dilakukannya kepada usaha menanam bunga mawar. Pohon bunga itu mulanya ditanam dalam pasu dengan tanah baja dan disiram; apabila pohon itu sudah membesar dan boleh tumbuh sendiri, pokok mawar itu akan dipindahkan ke taman.
“Kami ambil sel kulit daripada pesakit dan kami tumbuhkannya mengikut keperluan pesakit berkenaan. Sebaik saja saiz yang diperlukan diperolehi kulit yang sudah tumbuh itu dipindahkan kembali kepada pesakit.
“Proses ini hanya mengambil masa dua hingga tiga minggu. Sebagai contoh kami hanya memerlukan kulit 3 sentimeter persegi daripada seorang pesakit dan dalam masa dua hingga tiga minggu ia boleh tumbuh menjadi kulit sebesar 10 sentimeter persegi untuk ditampal kepada pesakit tersebut,”kata Prof Ruszymah.
“Apa yang dimaksudkan dengan kejuruteraan kulit sebati ialah sumber kulit itu adalah daripada pesakit itu sendiri, ditumbuhkan kepada saiz lebih besar di dalam makmal dan kemudian ditampal semula kepada pesakit yang sama. Tidak ada risiko penolakan kulit itu kerana ia berasal daripada badan pesakit itu sendiri dan bukan orang lain atau daripada bahan tiruan,” beliau menekankan.
Sebagai contoh beliau menerangkan bahawa seorang yang menjalani pemindahan buah pinggang akan terpaksa mengambil pil anti penolakan seumur hidupnya. “Tetapi tidak dalam kes ini kerana kulit yang kami tumbuhkan datangnya daripada pesakit itu sendiri jadi badannya tidak akan menolak kulit tersebut.”
Kencing manis dan mangsa kebakaran



Penggantian kulit selalunya diperlukan oleh mereka yang menghidapi kerosakan kulit yang teruk. Contohnya pesakit kencing manis yang mengalami ulser pada kaki mereka.
Biasanya penyakit ini akan melarat hingga ada kalanya kaki pesakit terpaksa dipotong untuk mengelak jangkitan merebak ke badan pesakit.
Mereka yang akan mendapat manfaat besar daripada kaedah penumbuhan kulit ini adalah mangsa kebakaran yang mengalami keadaan melecur teruk akibat terperangkap dalam kereta atau bangunan yang terbakar.
Pesakit melecur teruk tidak boleh mengharapkan penyembuhan dalaman kerana ia tidak mampu bertindak dengan cukup pantas untuk menghasilkan sel pengganti, untuk menumbuhkan kulit baru, kata Prof Ruszymah.
“Penyelesaian untuk masalah yang boleh membawa maut ini adalah dengan kaedah ‘Tampal Kulit Terbelah’ (Split Skin Grafting) atau pun SSG yang berfungsi seperti menggali sebuah lubang untuk menampal lubang yang sedia ada.
“Pakar bedah akan menghiris kulit yang masih sihat daripada badan pesakit yang masih elok dan kulit tersebut akan ditampal ke bahagian yang melecur,” katanya.
Kekurangan pada cara menggunakan SSG adalah: Pertama sekali kesakitan akibat kulit yang sihat dihiris untuk digunakan di bahagian yang rosak.
Kedua SSG selalunya akan meninggalkan parut pada bahagian kulit yang dihiris.
Ketiga SSG tidak praktikal dalam kes badan pesakit mengalami kebakaran teruk hingga tidak terdapat kulit sihat yang mencukupi untuk dihiris bagi menampal bahagian melecur teruk.
Prof Ruszymah berkata dengan Kulitku ia tidak perlu mendapatkan kulit besar yang masih sihat.
“Kajian ke atas haiwan menunjukkan kadar waktu sembuh yang lebih cepat jika dibandingkan dengan SSG, apa yang lebih penting adalah parut yang tinggal adalah jauh lebih kecil,” katanya lagi.
Menumbuhkan kulit
Apabila pesakit memerlukan kulit gantian, sebahagian kecil kulit sekitar 3 cm persegi akan diambil dan dibawa ke makmal. Tisu kulit tersebut akan dihancurkan dengan mencampurkanya ke dalam sebuah enzim yang dikenali sebagai collaganes. Setelah hancur kulit tersebut akan kembali ke paras sel dan apa yang tinggal adalah sel kulit.
Sel kulit ini akan diambil dan dikulturkan dengan nutrien, yang mana ia akan bercambah menjadi kulit semula. Apabila jumlah sel telah cukup, kulit yang lebih besar akan terbentuk .
Kulit autologous yang dicipta oleh Prof Ruzymah terbukti dapat memberi sumbangan yang besar kepada pesakit.
Langkah Seterusnya
Untuk membawa teknologi ini kepada pesakit, proses mesti dimulakan dalam makmal khas dan melalui ujian klinikal, untuk memastikan ia tidak akan memudaratkan pesakit. Sebuah makmal khas sedang dibina untuk proses pengkulturan dan pembinaan tisu kulit. Ini akan membolehkan ujian klinikal dibuat ke atas manusia.
Prof Ruszymah berkata kejayaan tercapai dengan komitmen dan semangat pasukanya yang tidak kenal penat lelah dan juga pucuk pimpinan UKM yang sentiasa menyokong inovasi dan idea baru.
Beliau juga merayu untuk sumbangan dana untuk R&D dalam bidang kajian kejuruteraan tisu, kerana ia adalah barisan hadapan dalam bidang perubatan bio-teknologi. ![]()