Tiga kereta jimat tenaga rekaan pelajar UKM sertai pertandingan dunia di Sepang

Selasa, 06 Julai 2010 18:14
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 6 Julai, 2010 – Tiga  jenis kereta contoh jimat tenaga rekaan kumpulan pelajar  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan turut serta dalam pertandingan Shell Eco-Marathon 2010 yang julung-julung kalinya dilangsungkan di Sepang esok. Ini adalah juga kali pertamanya pertandingan itu diadakan di Asia.

Ketiga-tiga kumpulan pelajar itu, kumpulan UKM-LPG, UKM-Fuel Cell dan UKM-Solar Car, memberi penekanan bukan saja kepada aspek penjimatan bahan pembakar tetapi juga ciri-ciri aerodinamik ketika mereka kereta mereka.

Ketiga-tiga kereta itu akan bersaing dengan pereka-cipta juga pelajar daripada institusi pengajian tinggi dari seluruh dunia yang akan berhimpun di Litar Lumba Antarabangsa Sepang. Ini adalah dalam usaha untuk memajukan lagi industri automotif dan tenaga global.

Ketiga-tiga kereta prototaip itu bersama dengan kumpulan rekacipta mereka telah dipamerkan di Kolej Keris Mas sempena majlis menyambut dan mendaftar pelajar baru UKM ahad lalu.

Naib Cancelor Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin yang berada di situ untuk mengalu-alukan pelajar baru UKM itu telah meninjauketiga-tiga buah kereta itu.

Tiga penyertaan UKM itu adalah produk penyelidikan dan inovasi diusahakan pelajar Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Insitut Penyelidikan Tenaga Solar (SERI), Institut Sel Fuel dan Pusat Penyelidikan Automotif.

UKM-LPG dengan kereta MYNUCAR2 adalah hasil rekacipta 14 pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Bahan menggunakan gas petroleum cecair sebagai bahan bakar.

Ketua kumpulan itu, Muhammad bin Abdul Halim memberitahu badan kereta itu diperbuat daripada kaca gentian yang dipasang pada kerangka besi yang ringan tetapi kukuh bagi melindungi pemandunya.

Dengan reka bentuk mudah dan menggunakan bahan bakar yang menjamin kebersihan persekitaran, MYNUCAR2 selesa untuk dipandu dan ringan kerana dipacu enjin motosikal saja.

Kereta UKM Fuel Cell yang diberikan nama Kencana adalah ilham tiga pelajar Kejuruteraan Mekanikal dan lapan rakan mereka daripada Kejuruteraan Kimia.

Kereta prototaip ini dipacu oleh tenaga elektrik daripada gas hidrogen yang mengalir melalui sel fuel bagi menjana kuasa elektrik yang mengerakkan motor, kata ketua kumpulan, Muhammad Hafiz bin Abd Wahab.

Tenaga alternatif seperti bateri dan kapasitor berkuasa tinggi turut dipasang membolehkan kereta ini memiliki lampu dan semboyan (horn).

Sistem pengendalian digunakan adalah berdasarkan sistem go kart yang membolehkan Kencana dikawal dengan mudah bagi mengelakkan perlanggaran.

Kereta UKM-Solar adalah yang termahal antara ketiga penyertaan itu kerana perekaciptanya terpaksa mengimport kepingan solar dari Jerman.

Ketua kumpulan, Muhammad Hadi Zabidi bin Rosdi memberitahu ketika kepingan solar disinari pancaran langsung matahari yang panas terik, ia dapat menghasilkan kuasa maksimum 348.5 w.

Dalam memasang kepingan solar itu, Hadi bersama 19 orang rakannya memberi perhatian kepada aspek pengimbangan kerana kerangkanya harus menampung juga kepingan solar berkenaan.

Kerangka basikal roda tiga yang diubahsuai telah digunakan untuk memasang badan kereta diperbuat daripada kaca gentian. Badan kereta itu adalah seberat 40 kilogram saja dengan seluruh rekaannya memberi tumpuan kepada bahagian luar badannya yang perlu menampung enam kepingan solar.