Pakar UKM bangunkan HiCORE, satu perisian peringkat runcit perbankan Islam

Jumaat, 30 Julai 2010 08:26
Cetak PDF

Oleh Kuah Guan Oo

BANGI, 30 Julai 2010 – Perisian untuk perbankan Islam beroperasi di peringkat runcit sudah pun siap sejak kira-kira lima bulan lalu dan kini terpulanglah kepada pihak bank untuk membuat keputusan menggunakannya.

Kumpulan pakar dalam bidang ICT, Perbankan dan Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang merekacipta sistem perisian itu kini sedang menunggu projek mereka itu digunakan supaya dapat menamatkan semua kekeliruan dan aduan di kaunter bank berkaitan peraturan mengikut hukum transaksi di peringkat runcit.

Digelar  “HiCORE” (Holistic Islamic Banking System) Sistem Perbankan Islam Holistik iaitu perisian untuk perbankan runcit telah direkacipta berdasarkan prinsip dan kehendak Syariah, tidak seperti produk kewangan Islam semasa yang dibina daripada sistem perbankan konvensional. Penggunaan sistem perisian terkini itu akan membawa negara ini ke tahap lebih tinggi dalam perbankan Islam.

“Dalam HiCORE, kita rekacipta dari permulaan dengan pandangan daripada pakar-pakar pelbagai disiplin seperti Syariah, Ekonomi dan Perbankan, Komputer dan Teknologi, Perniagaan,” kata ketua kumpulan Prof. Dato’ Dr Halimah Badioze Zaman dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat UKM.

Beliau berkata dengan fokus dan perebutan melaksanakan produk kewangan dan perbankan Islam yang bebas riba dalam pasaran hari ini, HiCORE diolah, direka dan dibangunkan untuk perbankan Islam dengan satu geran dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Dimulakan sebagai satu kolaborasi di antara universiti dan industri iaitu dengan Fuziq Software Sdn Bhd, HiCORE adalah satu sistem maya multi-aras menggunakan modul parameter Senibina Berorientasikan Perkhidmatan (SOA) untuk mewujudkan satu sistem perbankan Islam yang baru berdasarkan prinsip Syariah.

Ini bermakna bahawa prinsip Islam relevan kepada Perbankan Islam disediakan dan dimasukkan ke dalam sistem HiCORE oleh pakar terlibat dari universiti.

Sistem HiCORE terdiri daripada tiga komponen: Modul dan sub-modul; Kerangka Kerja Berasaskan Islam dan Enterprise Application Integrator (EAI).

Kerangka kerja, modul dan sub-modul mengurus sistem pentadbiran, penerangan pelanggan, deposit, pembiayaan, kewangan dan laporan, manakala EAI membolehkan perisian itu digabungkan dengan sistem perbankan konvensional.

Satu ciri unik HiCORE di samping prinsip Syariah dalam sistem itu ialah pengguna akan dapat menambah prinsip Islam yang lain yang didapati sesuai.

Oleh kerana bersandarkan hukum, pengguna akan dapat menggunakan perisian itu untuk mewujudkan produk-produk baru mengikut prinsip Islam. Jika biasanya sesebuah bank memerlukan enam bulan bagi membentuk sesuatu produk Islam yang baru, HiCORE dapat mengurangkan masanya selama empat bulan atau kurang.

      

Isu keselamatan

Prof Halimah berkata oleh kerana bank begitu mengambil berat mengenai keselamatan, HiCORE direkacipta berdasarkan konsep Senibina Multi-aras Berorientasikan Perkhidmatan (SOA) dengan semua ciri-ciri keselamatan untuk melindungi dan menghalang sebarang pencerobohan atau godam.

“Kita akan berbincang dan menangani sebarang kebimbangan pihak bank jika ia membeli dan memasang HiCORE dalam operasi,” kata Prof. Halimah.

Mereka akan menyediakan semua keperluan latihan untuk kakitangan bank bagi menggunakan sepenuhnya perisian itu.

Semua ini akan menjadi sebahagian daripada pakej, tegas beliau, sambil menambah bahawa beliau dan ahli kumpulannya bersedia berkhidmat sepanjang masa disamping  mereka meneroka pula bidang perbankan korporat dan Perbendaharaan Islam.

Prof Halimah berkata beliau dan kumpulan penyelidiknya telah menguji sistem HiCORE melalui pelbagai ujian, termasuklah Ujian Penerimaan Pengguna.

Dalam ujian ini, 15 anggota dari industri perbankan Islam di negara ini telah diundang sebagai satu panel pakar untuk menguji beberapa modul sistem berkenaan termasuk Simpanan Al-Wadiah, Pelaburan Al-Mudharabah dan  Pembiayaan Al-Bai Bithamin Ajil.

Walaupun mereka memberi markah yang tinggi terhadap semua produk Islam yang  ditawarkan oleh HiCORE, pakar-pakar ini bukanlah penggubal dasar bank-bank terlibat, kata beliau.

HiCORE mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ia dinilai dan disenaraikan oleh Institut Kejuruteraan Perisian Carnegie Mellon University Amerika Syarikat pada September tahun lalu.

HiCORE juga memenangi pingat Emas pada ITEX Malaysia 2009 (Pameran Ciptaan, Inovasi dan Teknologi, Malaysia ) dan Anugerah Khas RamRais untuk Rekaan ICT Terbaik 2009.

 Prof Halimah berkata mereka juga telah menerima beberapa pertanyaan, termasuk daripada pihak luar negara mengenai perisian itu dan mengambil langkah untuk mempatenkannya.

Pembiayaan Tersedia

Dengan perbankan Islam menjadi salah satu daripada fokus utama Rancangan Malaysia ke-10 dilancarkan bulan lalu, peneraju perusahaan mempunyai peluang mendapatkan pembiayaan daripada salah satu dana khas ditubuhkan untuk mempromosi inovasi dan teknologi, terutama diusahakan dalam negara.

Paling utama adalah Dana Inovasi Mudharabah sebanyak RM500 juta untuk menyediakan modal berisiko kepada syarikat permodalan Kerajaan, Dana Kemudahan RM20 juta untuk membantu sektor swasta membiayai projek perkongsian sektor awam-swasta atau Dana Pertumbuhan Perniagaan.

Dana pertumbuhan itu yang mempunyai peruntukan awal RM150 juta adalah untuk membiayai peringkat awal pengkomersilan dan pembiayaan modal teroka untuk produk teknologi tinggi.

Ditanya apakah jika dana-dana itu boleh digunakan untuk membiayai HiCORE, Prof Halimah berkata beliau tidak begitu pasti kerana beliau adalah seorang pakar ICT, bukan seorang ahli perniagaan.