Kisahku di alam maya: wanita dan penulisan blog

Isnin, 02 Ogos 2010 12:03
Cetak PDF

Oleh Dr Ruzy Suliza Hashim dan Dr Noraini Md Yusof, Pusat Penyelidikan Gender

BANGI, 2 Ogos 2010 - Dalam sebuah blog, seorang penulis wanita dikenali dengan blognya “Mamasita mamamia (

http://mamasita-mamamia.blogspot.com/) melakarkan rayuan ini kepada pembacanya:

http://mamasita-mamamia.blogspot.com/) melakarkan rayuan ini kepada pembacanya:

“Apakah anda fikir dengan menulis dalam blog mengenainya aku berharap boleh mendapatkan semula ‘pekerjaanku’? Harapan itu sudah pun pergi dan nasibku sudah terpaku. Aku tahu akibat yang bakal menimpaku dan aku juga tahu kau tentunya akan berkata betapa silapnya aku kerana mendedahkan rahsia kehidupan ku.

 “Tetapi tahukah kau betapa hancur luluhnya jiwaku untuk membicarakan kisah penuh duka dan amat pedihnya ini? Lebih malang lagi bukan setakat berbicara dan menghimpunkan segala kisah duka nestapaku kepada kamu semua…aku perlukan timbunan sokongan untuk terus bernafas…sesiapa saja boleh turut memberi kekuatanku perlukan.” (diluahkan pada 27 Julai, 2010).

Rintihan pemblog wanita ini hanyalah secebis sahaja daripada lautan kisah dalam dunia blog. Apa dinyatakannya adalah cerita benar penuh emosi mengenai rumah tangganya  yang tidak dapat bertahan dibelit masalah.

Dalam konteks Malaysia, 64 peratus daripada pemblog kita adalah wanita berumur di bawah 25 tahun (http://www.microsoft.com/malaysia/press/archive2006). Tetapi ada satu lagi golongan yang semakin bertambah dengan pesat di Malaysia iaitu “Pemblog Makcik” – wanita berumur sekitar pertengahan 40-an dan lebih lanjut lagi yang semakin mendapat perhatian ramai.

Dalam satu lagi tinjauan global,  pemblog-pemblog wanita merupakan 56 peratus daripada blog yang ditinjau (Karen Trimbath, 2004). Situasi ini menunjukkan seolah-olah dunia blogosfera dikuasai kaum wanita.

Hampir lapan dekad yang lalu,  Virginia Woolf meluahkan perasaannya mengenai keperluan wanita untuk mantap dari segi kewangan dan sekurang-kurangnya mempunyai bilikya sendiri sebagai kriteria penting untuk menceburkan diri dalam bidang penulisan. Senario kini amat berbeza. Apa yang wanita perlukan hanyalah  sebuah komputer siap dengan rangkaian internet.

Dengan kewujudan Sesawang Seluruh Dunia (WWW) dan paling utama kelahiran sesawang blog (weblog), wanita Malaysia, sebagaimana wanita di seluruh dunia mampu menggunakan teknologi ini untuk meluahkan isi hati dan berkongsi pandangan, kehidupan dan pengalaman secara lebih bermakna. Ini dapat dilihat dengan kelahiran blog-blog yang ditulis oleh wanita Malaysia.

Dalam satu penyelidikan diketuai oleh Profesor Madya Dr Ruzy Suliza Hashim dan rakan penyelidiknya – Dr Noraini Md Yusof, Profesor Madya Dr Imran Ho dan Profesor Madya Datin Dr Norizan Abdul Razak – banyak fenomena  menarik penulisan alam maya oleh pemblog wanita ditemui. Ciri setiap blog menonjolkan keperibadian pengarangnya menghasilkan kepelbagaian daripada segi penampilan dan kandungan.

Secara umumnya, terdapat empat jenis blog yang utama: blog saringan di mana kandungan lebih membicarakan hal luar (kaitan kepada perisitiwa dunia, kejadian atas talian dan sebagainya); blog personal di mana kandungan menceritakan hal peribadi bersifat dalaman (pemikiran pemblog dan rintihan psikologi), k-log lebih berupa himpunan keterangan dan pengetahuan mendalam dengan fokus kepada teknologi dan blog-blog keusahawanan.

 

Pemblog wanita rata-ratanya tidak membezakan isu personal dan isu politikal. Pengkaburan mandala di antara personal dan politikal ini berasaskan idea bahawa wanita dan lelaki menghuni dua tempat berbeza – wanita menduduki ruang peribadi yang cenderung ke arah domestik manakala lelaki mendiami ruang awam yang menjurus kepada aspek politik.

Dengan meluahkan kisah hidup mereka di alam maya, pemblog-pemblog wanita ini menunjukkan bahawa pengalaman serta masalah wanita mempunyai banyak persamaan. Mereka menggunakan pengalaman peribadi masing-masing untuk mencabar pemikiran kuno serta stereotaip berkenaan liku-liku kehidupan wanita.

Daripada itu, masalah yang wanita anggap terbatas kepada individu, dirasai ketika keseorangan dan dideritai atau terlalu remeh untuk dikongsi bersama, secara kolektifnya menjadi hakikat hidup wanita. Dengan mendedahkan dan berkongsi pengalaman mereka, pemblog wanita Malaysia mampu mengabsahkan kebahagiaan serta kehampaan yang mereka alami untuk pedoman bersama.

Pemblog serius sosio-politik seperti Marina Mahathir, adalah satu contoh baik betapa ruang peribadi dan ruang politik dikaburkan. Blog Marina berjudul “RantingsbyMM”  (http://rantingsbymm.blogspot.com) memaparkan profilnya: “di ruang awam sebagai penulis kolum akhbar, pemblog, sekali sekala pengeluar filem dan TV, dan seorang aktivis”.

Manakala di ruang personal, beliau menyenangi peranannya sebagai isteri dan ibu. Beliau cuba melayan dengan baik suaminya Tara dan bersabar dengan anak-anak mereka Ineza, Haga dan Shaista. Adakah pengkaburan di antara ruang awam dan ruang peribadi ini menggoyahkan kredibiliti blognya? Adakah pembacanya akan menolak keseriusan penulisan blognya dengan pemaparan profil blog yang sedemikian?

Isi kandungan dan  penekanan profil mengalihkan tumpuan kepada siapa beliau dalam lingkungan awam dan siapakah dirinya dalam ruang peribadi. Namun, kandungan blognya menunjukkan betapa seriusnya agenda beliau dengan penulisan bernas mengenai gangguan seksual, HIV, permainan politik Malaysia.

Ada juga blog-blog yang lebih bersifat peribadi kerana memperkatakan kerenah hidup sehari-hari individu tetapi isi kandungan korpus ini masih cenderung juga untuk menjangkaui ruang awam. Contohnya seorang pemblog yang menceritakan perjuangannya dengan sakit barah payudara adalah topik yang amat peribadi.

Dalilah Tamrin yang menggunakan nama samaran Raden Galoh, tokoh bersejarah dari Sejarah Melayu, dalam blognya “Onebreastbouncing” (http://onebreastbouncing. Blogspot.com) menggunakan sesuatu yang peribadi untuk kebaikan bersama. Beliau menjadi aktivis kerana dengan pengalamannya sebagai pesakit barah payudara, beliau dapat memberi pandangan dan iktibar kepada pembaca lain untuk menjauhi gejala barah.

Raden Galoh menulis dengan penuh keikhlasan, apa dicurahkannya begitu personal dan mengusik jiwa. Namun, di sebalik rintihan hati, beliau menjadi pengubat untuk pembaca lain. Raden Galoh memberikan nombor telefon bimbitnya untuk membolehkan pembaca menghubungi beliau mengenai penyakit itu. Jadi tidak hairanlah apabila beliau meninggal dunia baru-baru ini, warga blogosfera Malaysia menangisi pemergiannya.

Pokoknya,  blog memberi ruang untuk wanita bersuara tanpa kongkongan. Ia adalah satu cara baik untuk membina jaringan dan mengurangi pengasingan diri.  Pemblog-pemblog wanita memaparkan kisah cebisan hidup mereka dan cantuman naratif membuahkan suatu kebenaran untuk realiti kehidupan wanita Malaysia.

 

Naratif wanita di ruang maya mungkin merupakan “kisahku” – pengalaman seorang individu. Namun, secara kolektifnya, kisah itu membolehkan pelbagai teladan dan iktibar dikongsi dan difahami orang ramai. Kepada ramai wanita, sama ada di alam maya atau alam fizikal, pengalaman hidup sebagai wanita ada banyak persamaannya, dan paparan naratif pemblog wanita menunjukkan bahawa sesuatu yang peribadi itu sebenarnya mempunyai agenda politikal yang digarap untuk kebaikan semua.Diterjemahkan oleh A Ghani Nasir.

Prof Madya Dr Ruzy Suliza Hashim boleh dihubungi melalui email: Alamat e-mail ini dilindungi dari spambots. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk paparkannya atau telefon 03-8921-6481