Melioidosis di Malaysia: Ancaman baru daripada penyakit lama (Dikemaskini)

Selasa, 24 Ogos 2010 08:36
Cetak PDF

Oleh Kumpulan Penyelidik Melioidosis UKM

BANGI, 24, Ogos 2010 – Kemunculan berbagai jenis penyakit baru telah menjadi satu ancaman besar bagi negara-negara dunia ketiga. Dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini tidak kurang dari 30 jenis penyakit baru telah muncul. Keujudan penyakit-penyakit baru ini adalah satu ancaman getir di dunia ketiga.

 


Dalam pada itu banyak pula penyakit lama kembali menghantui negara-negara itu seperti batuk kering, demam malaria, taun, disenteri,
sakit kerongkong dan radang paru-paru (pneumonia) selain dari penyakit baru yang masih belum dapat diubati atau dirawat dan vaksin melawannya belum ditemui.

 


Antara penyakit baru yang amat mencabar ialah AIDS yang mula muncul kira-kira 20 tahun lalu dan telah pun menjangkiti lebih dari 24 juta orang dewasa diseluruh dunia.


Di Malaysia ramai begitu keliru dengan kemunculan sejenis lagi penyakit dikenali sebagai melioidosis. Ramai tertanya-tanya: apa itu melioidosis? Apakah asal usulnya dan mengapa ia dengan tiba-tiba menjadi begitu ganas dan mudah meragut nyawa? Apakah ia ejen bagi sejenis penyakit baru?


Kenapa penyakit ini telah kembali di Malaysia masih belum dapat dirungkaikan. Hakikatnya ia sudah pun menjadi suatu cabaran baru kepada kesihatan negara.


Paling tidak ia seharusnya mencetuskan satu keazaman politik untuk menyekatnya dari merebak di masa depan melalui diagnosis, rawatan dan pengurusan yang lebih baik. Kesedaran orang ramai terhadap penyakit itu seharusnya ditingkatkan melalui kegiatan pendidikan dan program kemasyarakatan.


Segala keperluan baik teknikal dan tenaga perlu disediakan untuk mengesan dan menyekat merebaknya penyakit yang boleh membawa maut ini demi kepentingan kesihatan awam.

 

Tentunya pembiayaan untuk membolehkan penyelidikan berterusan oleh para saintis kita harus ditambah dan diperluaskan kepada aspek strategik mengenainya supaya dapat ditangani dengan lebih berkesan.


Penyakit yang boleh mengancam nyawa ini sebenarnya mula dikesan di Kuala Lumpur hampir 100 tahun lalu dan berlaku sekali sekala hingga 1932 tetapi kini telah kembali menghantui kita.


Mungkin ramai rakyat Malaysia terperanjat bahawa banyak telah pun diketahui mengenai melioidosis; sejenis penyakit disebabkan oleh kuman Pseudomonas pseudomallei, kini dikenali sebagai Burkholderia pseudomallei.


Penyakit itu mula dikesan di Rangoon Burma (kini Yangon Myanmar) pada 1912 yang menyebabkan sehingga 38 orang meninggal kerana radang paru-paru di kalangan penagih morfin dan rakyat miskinnya.


Tetapi sebahagian besar pengetahuan mengenainya diperolehi di Malaysia atau ketika itu Malaya. Pada 1913 Fletcher mencatatkan kejadian penyakit yang serupa seperti yang berlaku terhadap penagih dadah di Burma, di dalam makmal haiwan di Insitut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur.


Ini diikuti dengan satu lagi laporan jangkitan manusia pada 1917 dari Kuala Lumpur menyebabkan satu laporan ringkas mengenai penyakit itu dibuat dan kejadian sekali-sekala di Malaya sehingga 1932.


Penyelidikan terhadap penyakit yang tidak banyak diketahui ketika itu diaktifkan semula di Malaysia pada tahun-tahun 1960-an oleh saintis dan pelajar di insitut penyelidikan dan di UKM yang baru ditubuhkan.


Sejak itu penyelidik kita telah banyak membuat keterangan yang memberi pemahaman lebih baik mengenai melioidosis. Ahli akademik dan pelajar dari universiti kita sendiri telah menyelongkar penyakit itu di pelbagai peringkat siasatan saintifik termasuk asas mikrobiologi, asal-usul dan perkembangan penyakit, pertahanan diri dan kajian punca penyakit.


Banyak hasilnya telah dilaporkanyang memberikan pemahaman lebih terhadap penyakit baru ini. Penyakit  burkholderia pseudomallei ini yang merebak dari manusia ke manusia juga dilaporkan.


Peraturan yang tidak menghendaki jangkitannya perlu dilaporkan menyebabkan orang ramai dan kakitangan kerajaan termasuk juga pakar perubatan tidak mengenali penyakit ini.


Kumannya boleh merebak di tengah-tengah orang ramai melalui beberapa cara termasuk sedutan, makan atau suntikan menerusi luka pada kulit  daripada tanah yang tercemar.


Sepasukan kumpulan penyelidik mengenainya telah ditubuhkan di UKM yang memulakan siasatan terhadap asal-usul dan perkembangan melioidosis seawal 1977 di kampus sementara di Jalan Pantai, Kuala Lumpur. Ini membawa kepada pemahaman tentang bagaimana kuman berkenaan mampu menyebabkan terjadinya penyakit di peringkat molekul.


Kini kumpulan penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) sedang mengkaji penyakit itu dari segi genetik melalui faktor-faktor yang ditentukan oleh bahan di dalam genomnya. Di Universiti Malaya satu lagi kumpulan sedang mengkaji manifestasi klinikal melioidosis: yang dengan sendirinya akan meningkatkan diagnosis, rawatan, pencegahan dan pengurangan kematian. 


Melioidosis adalah sejenis penyakit lama yang sering berlaku di rantau tropika dunia. Hari ini ia nampaknya telah merebak ke kawasan-kawasan ia jarang berlaku, akibat daripada mudahnya perjalanan antarabangsa.


Saintis penyelidik di Malaysia sememangnya telah lama menyedari butiran mengenai melioidosis adalah penting kerana ia mengancam nyawa dan jika tidak dirawat, pesakit boleh maut. Walaupun kuman menyebabkan penyakit itu boleh menyerang kuda, biri-biri, kambing, babi, lembu dan binatang lain, tetapi betapa ia semakin banyak menyerang manusia telah menarik perhatian sejak akhir-akhir ini.


Ia didapati merebak di Asia Tenggara dengan kebanyakan jangkitan terhadap manusia dilaporkan di Thailand, Malaysia, Vietnam, Kemboja, Laos dan Myanmar. Di Thailand 2000 hingga 3000 kes baru dirawat setiap tahun.


Di Malaysia, pendedahan kepada B pseudomallei adalah tinggi menurut penyelidikan serologi: 17-22 peratus di kalangan petani iaitu pesawah dan 26 peratus di kalangan penderma darah.


Kuman B. pseudomallei adalah penghuni asal tanah dan air di kawasan tropika. Ia sememangnya berada di kawasan basah atau lembab seperti bendang, ladang getah, kawasan hutan dibersihkan, tapak pertanian diteroka dan di mana terdapat taliair selain longkang dan parit.


Kegiatan meneroka hutan dan pembangunan kawasan tanaman mengganggu tanah dan mengalakkan pengeluaran kuman ini.


Kumpulan Penyelidik ini terdiri dari Professor Dr. Rahmah Mohamed,
Prof Datuk Mohamed Noor Embi, Prof Dr Sheila Nathan, Dr Mohd Firdaus M. Raih, Dr Amir Rabu and Prof Dr Ghazally Ismail. 

Diterjemahkan oleh Abdul Ghani Nasir

Terakhir Dikemaskini pada Jumaat, 17 September 2010 17:17