Oleh Kuah Guan Oo
Bangi, 25 Ogos 2010 – Pernahkah kita sebagai pengguna terfikir kenapa ikan, udang dan sotong yang dijual dipasar mahu pun disesetengah restoran sentiasa kelihatan segar?
Sememangnya kemajuan sains telah membawa kepada wujudnya ciptaan berbagai kemudahan dan kaedah membolehkan kita menyimpan makanan laut untuk beberapa ketika dalam peti ais dan lain-lain cara yang boleh menentukan kesegarannya tanpa menjadi busuk.
Malangnya terdapat pula peniaga yang tidak bertanggungjawab menggunakan cecair pengawetan mayat, iaitu campuran formaldehid yang digunakan untuk memelihara mayat dari menjadi reput.
Ini adalah suatu cara yang bukan saja menjijikkan tetapi boleh membahayakan kerana bahan itu toksik, alergenik dan karsinogenik iaitu ia boleh membawa kepada penyakit barah bila dimakan. Makan laut secara semula jadi memang mengeluarkan formaldehid tetapi pada tahap yang amat rendah dan tidak membahayakan.
Dalam usaha menolong pengguna tidak ditipu demikian hingga boleh menjejas dan memudaratkan kesihatan, sekumpulan pakar sains UKM diketuai Prof Dr Lee Yook Heng telah menghasilkan satu cara mudah, murah lagi cepat untuk menguji apakah bahan makanan laut yang kita beli itu mengandungi bahan pengawet formaldehid atau tidak.
Akta Makanan yang berkuatkuasa sekarang sememangnya melarang penggunaan formaldehid sebagai bahan pengawet makanan dan tidak tersenarai sebagai salah satu bahan pengawet yang dibenarkan untuk makanan.
Bagaimanapun apa yang lebih membahayakan, lagi lama makanan laut disimpan lagi banyak formaldehid dikeluarkan secara semula jagi, kata Prof Lee.
Beliau menerangkan bahawa Kementerian Kesihatan ada mengambil contoh makanan laut yang diimport untuk menguji samada makanan itu mengandungi bahan berbahaya itu. Walaubagaimanapun hasil ujian di makmal itu hanya dapat diketahui dalam tempoh beberapa hari.
Dan dalam tempoh itu makanan itu mungkin sudah pun dijual kepada pengguna. Dalam keadaan begini syarikat atau penjual terbabit hanya boleh di sinarai hitamkan.
Selain itu ujian dimakmal memerlukan peralatan yang mahal dan kakitangan terlatih.
Maka itu dalam usaha menyediakan kaedah ujian yang boleh digunakan pengguna dengan mudah, sekumpulan penyelidik UKM termasuk lima orang professor sejak 2001 lagi telah berusaha mencari jalan lebih mudah untuk menguji dengan menggunakan enzim, DNA, antibodi dan sel-sel keseluruhan yang boleh digunakan sebagai alat ujian dan dijual di pasaran pada harga yang murah.
Salah satu daripadanya ialah sebuah biosensor terdiri dari enzim yang hanya akan berinteraksi dengan formaldehid dan tidak dengan bahan lain.
Alat itu sudah pun diadakan hanya sebesar duit siling 50sen. Cara menggunakannya amat mudah dengan mengambil setitis air dari ikan atau udang yang hendak diuji dan diletakkan keatas alat itu. Kiranya alat itu bertukar warna bermakna ia mengandungi formaldehid.
Prof. Lee menjelaskan bahawa UKM sudah pun mempatenkan ciptaan mereka itu dan kini sedang berusaha untuk mengedar alat itu ke pasaran supaya dapat di gunakan oleh penjual ikan dan makanan laut, pegawai kesihatan malah pengguna.
Satu lagi jenis biosensor yang dicipta oleh saintis UKM ialah sejenis alat untuk menguji kimia amonia dalam air. Ia dinamakan ‘Alat Sensor Kimiaelektro dan Optik’ dan amat berguna kepada mereka yang prihatin terhadap tahap kebersihan air yang boleh diminum tanpa sebarang was-was. Saintis UKM yang terlibat dalam rekaan ini terdiri daripada Profesor Lee dan Prof. Dr Musa Ahmad.
Didapati bahawa ada kalanya air yang dirawat untuk diedarkan ke rumah diambil dari sungai yang telah pun dicemari bahan kumbahan serta lain-lain bahan bocoran dari tempat buangan sampah. Air itu juga kadang kala mengandungi amonia iaitu sejenis bahan kimia yang berbahaya kepada hidupan air termasuk ikan walaupun ianya tidak begitu toksik kepada manusia.
Walau bagaimanapun apa yang membahayakan ialah apabila terdapat syarikat yang merawat air menggunakan klorin untuk merawat dengan jumlah amonia yang banyak. Reaksi penggunaan amonia ini menghasilkan bahan-bahan kimia lain yang boleh memudaratkan kesihatan manusia.
Loji-loji merawat air harus sentiasa menguji air sungai sebelum dirawat untuk mengetahui tahap kandungan amonia dalam air sungai itu. Sekiranya air sungai berkenaan didapati mengandungi bahan amonia yang tinggi sebagaimana yang berlaku pada tahun 1995 berikutan dengan fenomena El Nino yang menyebabkan air sungai telah cetek sehingga loji rawatan terpaksa ditutup dan pengguna tidak mendapat bekalan air.
Profesor Lee menerangkan bahawa alat sensor yang mereka ciptakan itu adalah untuk menguji tahap amonia dalam air untuk digunakan oleh syarikat loji air.
Alat itu diperbuat dari enzim dan kimia bewarna dan boleh mengesan kedudukan amonia dalam air dalam tempoh kira-kira dua minit saja.
Sebuah syarikat sudah pun memeterai perjanjian dengan UKM untuk mengeluar dan memasarkan alat itu. Syarikat itu kini sedang mendapatkan maklum balas dari pengguna untuk menjadikannya lebih mesra pengguna.
Kedua-dua alat untuk menguji fomaldehid and amonia telah memenangi anugerah antarabangsa di INPEX Amerika Syarikat serta pameran di Brussels, Belgium dan dalam negeri seperti di Itex dan bioteknologi.
Diterjemahkan oleh Rejal Arbee