By Kuah Guan Oo
BANGI, 26 Ogos 2010 – Para penyelidik dan saintis UKM telah berjaya menghasilkan sejenis lilin, wax ester yang banyak digunakan untuk toner, ia itu dakwat pencetak, dari minyak sawit.
Permintaan wax ester kini semakin meningkat dengan pertambahan penggunaan komputer dan pencetak. Malangnya jenis lilin ini kini hanya dihasilkan dari sarang lebah yang tidak banyak meningkat. Oleh sebab itu pengeluarannya terhad dan harganya pun mahal.
Masalah ini akan dapat diatasi dengan pengeluaran toner yang lebih murah berkat ciptaan Prof Dr Mohd Ambar Yarmo, dari Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan di Fakulti Sains dan Teknologi UKM.
Beliau dan pasukan penyelidiknya sedang melakukan penyelidikan mengenai kegunaan asid oleic yang diperolehi daripada minyak sawit, sebagai pelincir bio, apabila mereka telah menghasilkan wax ester itu.
Prof Ambar, seorang pakar dalam bidang pemangkinan kimia, sains permukaan dan kimia analisis, berkata beliau sedang mencari lebih banyak kegunaan industri bagi minyak sawit dan antara hasilnya ialah wax ester itu.
Prof Ambar berkata “menukar alcohol berlemak kepada wax ester bukanlah satu kaedah baru tetapi apabila ia diperolehi daripada minyak sawit melalui satu proses yang mudah dan murah, ia adalah satu peluang komersil yang baru,”
Beliau berkata pasukannya telah berjaya memperolehi alkohol berlemak daripada minyak sawit dan mereka telah menukar alkohol berlemak itu kepada wax ester khas dengan kimia dan peralatan biasa.
“Ini bermakna wax ester khas ini boleh dikeluarkan secara komersil dan apabila dapat diguna dalam proses membuat dakwat toner, ia pasti boleh menurunkan harga toner di pasaran,” katanya.
Beliau berhasrat hendak mengeluarkan wax ester dari minyak sawit itu secara besar-besaran untuk kepentingan pengguna.
Pasukannya telah pun memohon mendapatkan paten bagi proses ciptaan mereka itu yang kini dalam pertimbangan. Selesai menerima paten beliau bersedia berbincang dengan mana-mana syarikat swasta yang berminat mengeluarkan wax ester khasnya untuk pasaran toner.
Prof Ambar yang berkelulusan sarjana muda sains dengan kepujian dari UKM pada tahun 1979 dan Doktor Falsafah (Ph.D) dari Wales pada tahun 1983, adalah seorang professor kimia di Fakulti Sains dan Teknologi UKM sejak 2006. Beliau juga mengetuai Program Kimia Oleo UKM.
Selain dari toner, wax ester kini banyak digunakan sebagai bahan dalam pengilap kereta dan lantai. ![]()
Diterjemahkan oleh Abdul Ghani Nasir
Prof Dr Mohd Ambar Yarmo can be contacted at:
Alamat e-mail ini dilindungi dari spambots. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk paparkannya
, Tel: 03-8921 3872 (Pejabat)