Oleh Kuah Guan Oo
BANGI, 30 Ogos 2010 – Sekumpulan penyelidik UKM telah berjaya menghasilkan bahan yang boleh memelihara keluli lunak (mild steel) dari kemusnahan kakisan (corrosion).
Syarikat minyak dan gas yang terlibat dalam usaha mencarigali, memaju dan mengeluarkan minyak dan gas menghabiskan berjuta-juta ringgit setiap tahun untuk melindungi prasarana mereka seperti paip dan kabel bawah laut dari kakisan.
Dana yang besar juga dikeluarkan membiayai penyelidikan untuk mencari dan mencipta agen-agen yang berkesan dan ekonomik bagi melindungi infrastruktur berharga itu.
Dengan bantuan geran RM200,000 dari Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi (MOSTI), Prof Dr Abdul Amir Kadhum dan pasukannya dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM telah menjalankan penyelidikan untuk mencari satu bahan anti-kakisan yang boleh melindungi keluli lunak.
Beliau berjaya mencipta bahan itu apabila mencampuri molekul belerang dan nitrogen mengikut satu formula yang tepat.
Berasakan konsep bahawa fosforus memberi lindungan terbaik terhadap kakisan, disusuli belerang, nitrogen dan oksigen, Prof Amir dan pasukannya tertanya apakah mereka boleh menghasilkan satu bahan yang lebih baik dari fosforus kalau mereka campur belerang dengan nitrogen.
“Ya, kami dapati ia boleh dan telah dapat menghasilkan bahan anti-kakisan itu yang dapat memberikan perlindungan sehingga 96% kepada keluli lunak semasa diuji dengan pemekatan rendah di makmal,” kata saintis berasal dari Iraq itu.
Beliau berkata semasa ujian, mereka mendapati bahan baru itu tidak akan menganggu atau mencemar apabila ianya dicampur sebagai tambahan pada medium yang dikaji itu.
Molekul bahan anti-kakisan itu akan saling bertindak dengan permukaan keluli lunak itu, lalu menyaluti permukaan itu dengan satu lapisan yang halus dan stabil. Lapisan itu akan menghalang oksigen dan zarah bercas dari permukaan keluli dan seterusnya melindunginya dari kakisan.
Prof Amir berkata, “Daripada kajian kami, kami dapati molekul itu akan larut dalam air tetapi apabila ia bersentuh permukaan logam, molekul itu akan lekat pada permukaan logam dan memberikannya satu perlindungan kakisan yang terbaik.”
Beliau yang telah menetap di sini selama 24 tahun mengajar di UKM telah berumah tangga dengan seorang anak watan.
Beliau yang mempunyai lapan paten untuk ciptaannya termasuk sejenis tambahan bahan api dan penjana berkuasa elektrokimia sedang dalam proses mendapatkan paten untuk agen anti-kakisan itu.
Sementara itu, pintunya sentiasa terbuka untuk mana-mana pihak swasta yang berminat menjalankan lebih banyak ujian dengan tujuan mengeluar dan memasarkan ciptaan kakisannya itu. – ![]()
Prof Dr Amir Kadhum boleh dihubungi di : Alamat e-mail ini dilindungi dari spambots. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk paparkannya
03-8921-6411 (pejabat).