Syarikat Al-Faiz Industries akan biayai penyelidikan UKM mengenai rosel untuk pasaran

Rabu, 01 September 2010 13:36
Cetak PDF

Oleh Kuah Guan Oo

BANGI, 1 Sept. 2010 - Sebuah syarikat makanan telah memeterai perjanjian dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mengeluarkan pektin, antipengoksida dan jeli dari rosel, sejenis tanaman bunga raya yang telah menjadi suatu minuman popular dalam negara.

Ini adalah sebahagian daripada usaha penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan ahli sains UKM yang diketuai Dr Nazaruddin Ramli dari Pusat Sains Kimia dan Teknologi Makanan.

Dr Nazaruddin dan rakan-rakan penyelidiknya, Prof Madya Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin dari Fakulti Farmasi dan Prof Madya Dr Mamot Said dari Pusat Sains Kimia dan Teknologi Makanan dikehendaki menyelesaikan kerja-kerja penyelidikan ke atas rosel ini dalam tempoh 12 bulan untuk syarikat itu, Al-Faiz Industries Sdn Bhd dari Kedah.

Penyelidikan ke atas rosel, suatu tanaman yang baru dimajukan dalam negara ini mendapati ia kaya dengan vitamin C dan antosianin serta sejenis asid organik yang dinamakan asid hidrosisitrit (HCA) pada kadar yang tinggi.

HCA banyak digunakan sebagai bahan utama dalam berbagai makanan tambahan untuk mengurangkan berat badan.

Pendapatan dari usaha mengeluarkan bahan-bahan itu untuk pasaran akan dikongsi pada nisbah 60:40 antara Al-Faiz dan UKM.

Di bawah perjanjian itu Al-Faiz akan mengeluarkan dana sejumlah RM78,540 bagi membiayai penyelidikan itu dengan kedua-dua pihak kelak berkongsi memegang paten keatas ketiga-tiga produk itu nanti.


Perjanjian itu juga menetapkan pasukan penyelidik UKM itu akan mengawal mutu pengeluaran ketiga produk pektin, antipengoksida dan jeli. Mereka juga perlu membuat analisa terhadap produk itu bagi menentukannya selamat untuk digunakan.

Al-Faiz, yang telah ditubuhkan di Jitra Kedah, bergiat dalam pengeluaran dan perniagaan makanan dan minuman. Produk utamanya berasaskan rosel termasuk kordial, minuman untuk tenaga dan jem. Syarikat itu juga mengeluarkan berbagai barangan kosmestik yang hendak di ekspot ke negara jiran.

Dr Nazaruddin yang baru saja mendapatkan paten untuk kerja-kerja penyelidikannya mengeluarkan pektin dari kulit buah naga berkata bahawa kebanyakan daripada pektin yang terdapat dalam pasaran dewasa ini dihasilkan dari apel dan pisang.

Beliau bagaimana pun mendapati bahawa kulit buah naga mengandungi sehingga 20 peratus pektin berbanding hanya 13-14 peratus saja dari apel.

Beliau telah mempatenkan pengeluarannya itu sebagai DF Pectin dan kini sedang berunding dengan sebuah lagi syarikat yang berminat terhadap usaha ini.

Pektin digunakan dengan meluas dalam industeri pembuatan gula-gula sebagai pengelan, pengemulsian dan bahan untuk menyebati jeli dan aiskrim.

Diterjemahkan oleh Rejal Arbee