MANIS, Halgums meterai MoA giat penyelidikan hidrokolloid makanan halal

Rabu, 18 Januari 2012 09:36
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto Shahiddan Saidi


BANGI, 17 Jan. 2012 – Pusat Inovasi Teknologi Manisan (MANIS), Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM akan bekerjasama dengan Halgums (M) Sdn Bhd untuk menjalankan penyelidikan ke atas hidrokolloid makanan halal serta penjualan produk hasil dari penyelidikannya.

Satu Memorandum Persetujuan ditanda tangani diantara FST dan Halgums di sini hari ini yang membuka jalan kepada kerjasama itu. Ia ditandatangani oleh Dekan FST, Prof Dr Sahrim Ahmad dan Pengerusi Eksekutif Halgums, Dato’ Mohamad Rafiaai Moktar.

Ketua MANIS, Prof Madya Dr Nazaruddin Ramli dan Pengarah Urusan Halgums, Md Rosli Md Sharif menandatanganinya sebagai saksi.

Kerjasama itu berfokus kepada perundingan, penyelidikan dan pembangunan produk dan seterusnya latihan industri dan seminar yang berkaitan. 

Prof Sahrim berkata Halgums akan mengkomersialkan hasil penyelidikan oleh MANIS. Produk keluarannya termasuk produk konfeksi, roti, mi, ais krim dan makanan emulsi yang lain. 

Berucap di majlis itu beliau berkata MANIS merancang untuk mewujudkan kiosk makanan berkhasiat di bangunan baru FST dalam tahun ini. 

“Adalah menjadi harapan FST agar produk-produk penyelidikan yang dilakukan oleh MANIS akan dapat dipasarkan melalui kiosk itu”. 

MANIS, katanya, telah diperuntukkan makmal baru yang dilengkapkan dengan peralatan loji pandu dan makmal analisis dan berharap dengan adanya kelengkapan demikian ia akan dijadikan pusat rujukan oleh industri konfeksi dan makanan.

Dr Sahrim berkata Halgums adalah salah sebuah syarikat pengkomersialan produk pertanian terutama rumpai laut.  

Selain itu ia juga menjalankan pengkomersialan produk makanan yang berasaskan bahan yang menggunakan hidrokolloid. 

“Semoga kerjasama ini dapat meningkatkan kualiti produk itu dengan menggunakan campuran hidrokoloid (halgum)”. 

(Hidrokolloid adalah suatu jenis polimer larut dalam air, mampu membentuk koloid dan mengental larutan atau membentuk gel. Ia termasuklah agar-agar, pektin dan gelatin.) 

Dr Sahrim berharap untuk memohon mendapatkan hak harta intelek ke atas semua produk yang dihasilkan supaya dapat dimajukan sehingga ke tahap antarabangsa. 

MANIS ditubuhkan pada 1 Jan. 2011 dengan matlamat menjadi pusat rujukan kepada industri untuk menjalankan kegiatan penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengan produk konfeksi. 

Jaringan antara industri dan UKM merupakan salah satu Indeks Pencapaian Utama (KPI) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dalam mengitiraf kecemerlangan Universiti Penyelidikan. 

Dato’ Rafiai telah menyerahkan sekeping cek RM37,400 kepada UKM bagi menjayakan R&D berkenaan pada majlis itu.

Halgums yang sudah bergiat kira-kira empat tahun memasarkan sebahagian besar produknya di Pulau Pinang dan bahagian utara Semenanjung. 

Ia akan mula menggunakan sebuah makmal di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Malaysia (MTDC) di sini, tidak lama lagi.